Keputusan PISA 2025: Lihat Aspek Kemenjadian Insan Sejahtera, Sikap dan Suasana Sekolah

Keputusan PISA 2025: Lihat Aspek Kemenjadian Insan Sejahtera, Sikap dan Suasana Sekolah

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil maklum perbincangan meluas mengenai keputusan Programme for International Student Assessment (PISA) 2025 yang menunjukkan kemerosotan pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik, Sains dan literasi membaca berbanding 2018 dan 2022. IKRAM mengakui kemerosotan ini adalah isu serius yang memerlukan tindakan pemulihan bersepadu.

IKRAM turut mengalu-alukan langkah proaktif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memasukkan Pelan Transformasi Pendidikan Matematik dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.

Namun, IKRAM ingin menarik perhatian umum dan pembuat dasar kepada satu set data PISA 2025 yang kurang mendapat liputan — iaitu kemenjadian Insan Sejahtera, sikap, motivasi dan suasana pembelajaran pelajar.

Data ini menunjukkan beberapa pencapaian membanggakan:

1. Sebanyak 80% pelajar Malaysia melaporkan rasa ingin tahu yang tinggi (purata OECD: 73%)
2. Sebanyak 79% berusaha lebih gigih apabila kerja sekolah menjadi sukar (OECD: 60%).
3. Hanya 7% berpendapat sekolah membazirkan masa mereka (OECD: 24%).
3. Kadar ponteng sekolah di Malaysia turut jauh lebih rendah berbanding purata dunia.
4. Pelaksanaan larangan telefon bimbit di sekolah meningkat mendadak daripada 64% (2022) kepada 84% (2025).

Pada masa yang sama, terdapat kepincangan yang mendesak tindakan.

1. Hanya 37% pelajar Malaysia memiliki “growth mindset” berbanding purata OECD 69% — jurang paling besar dalam keseluruhan data ini. Jurang ini perlu ditangani melalui pedagogi yang membina keyakinan, meraikan proses pembelajaran dan menjadikan kesilapan sebagai sebahagian daripada pembelajaran.
2. Kadar buli turut meningkat kepada 27% berbanding purata OECD 20%.
3. Sumbangan status sosioekonomi kepada jurang pencapaian sains kekal lebih tinggi daripada purata OECD.
4. Penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak juga merosot ketara sejak 2022.

IKRAM menggesa Kementerian Pendidikan dan pihak sekolah mempertimbangkan langkah berikut:

1. Menjadikan “growth mindset” sebahagian daripada pedagogi dan budaya sekolah, bukan program motivasi bermusim.
2. Memperkukuh program antibuli merangkumi buli siber dengan penglibatan ibu bapa dan guru.
3. Menyasarkan sokongan akademik tambahan kepada pelajar berlatar belakang sosioekonomi rendah.
4. Memperkukuh inisiatif Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ibu bapa berkaitan sokongan pembelajaran anak-anak.

IKRAM sedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, pertubuhan masyarakat sivil dan ibu bapa dalam usaha memperkasakan aspek bukan akademik ini, selari dengan hasrat membina Insan Sejahtera yang seimbang dari segi ilmu, sikap dan akhlak.

Dr Omar Yaakob
Ketua Kumpulan Fokus Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia