Adab dan Budi Menjadi Penawar Ketegangan Masyarakat

sebar kebaikkan

Mutakhir ini, massa dan masyarakat umum diasak dengan pelbagai tekanan kehidupan yang menjelmakan situasi agresif, langsang dan negatif. Kehidupan seharian yang semakin mencabar dipenuhi pelbagai titik geseran – daripada tekanan ekonomi, krisis kos sara hidup, hinggalah kepada kelelahan emosi.

Di peringkat global pula, dunia menyaksikan landskap geopolitik yang sangat tidak stabil; konflik bersenjata, penindasan dan perpecahan berlaku di pelbagai ceruk benua. Keresahan, ketakutan dan pertikaian seolah-olah berada di mana-mana, mengancam ketenteraman jiwa dan keamanan sejagat.

Dalam suasana yang serba mencabar ini, apakah respons kita? Apa pendirian yang sepatutnya kita pegang? Dan apakah tindakan pragmatik yang perlu kita ambil sebagai individu serta ahli masyarakat yang bertanggungjawab?

Mesej utama kita mestilah jelas: Jangan pernah menjauh selain daripada kebahagiaan dan perdamaian.

Kekasaran bahasa di tempat awam

Sering kali kita dihidangkan dengan berita pertengkaran mulut atau pergaduhan fizikal yang bermula daripada perkara remeh, seperti perbalahan di kedai runcit, perebutan tempat letak kereta, kes salah faham di jalan raya (road rage), mahupun insiden provokasi dalam acara awam seperti semasa sambutan perayaan atau Hari Kebangsaan.

Dalam kes-kes sebegini, kekasaran bahasa, caci maki, insentif provokasi dan sikap langsang menjadi bahasa utama yang digunakan. Kegagalan mengawal emosi dan ketiadaan adab menyebabkan perselisihan kecil yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan berbincang secara tenang bertukar menjadi permusuhan yang teruk.

Untuk memahami betapa mudahnya ketegangan berlaku dalam masyarakat kita hari ini, kita boleh melihat kepada insiden-insiden pergaduhan serta pertelingkahan di ruang awam yang kerap berlaku di tanah air.

Isu-isu remeh seperti perselisihan faham ketika memandu di jalan raya, salah faham dalam urusan jual beli di premis perniagaan, hinggalah kepada provokasi di media sosial kini kerap bertukar menjadi pertengkaran fizikal mahupun maki hamun yang melampau. 

Fenomena ini mencerminkan hakikat bahawa sifat sabar dan kesantunan bahasa semakin terhakis, manakala emosi cepat menguasai akal apabila rasa hormat-menghormati digadaikan demi menegakkan ego masing-masing.

Keretakan hubungan sesama anggota masyarakat ini menunjukkan betapa pentingnya kita kembali menghayati keindahan budi dan ketinggian bahasa sebagai cermin sanubari bangsa yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Ketegangan menular di platform maya (digital magnification)

Yang menjadi kebimbangan kita adalah bilamana isu ini tidak berhenti di tempat kejadian semata-mata tapi menular di alam maya dan nyata! Kehadiran telefon pintar dan media sosial menjadikan setiap insiden kekasaran awam ini berpotensi dirakam dan ditularkan dalam sekelip mata.

Rakaman video yang dimuat naik tanpa kearifan emosi dengan pantas boleh mencetuskan perdebatan hangat dalam talian. Impaknya amat dahsyat, antaranya ialah:

1. Buli Siber dan Doxxing: Warganet yang bertindak sebagai “hakim alam maya” mula menghujani pelaku dengan kecaman berantai, mendedahkan maklumat peribadi, menyerang ahli keluarga serta mengancam mata pencarian mereka.

2. Perluasan Trauma dan Kerosakan Jiwa: Hukuman awam menerusi platform maya kerap kali melampaui kadar kesalahan asal. Ia mewujudkan seksaan emosi dan penderitaan jiwa berpanjangan bukan sahaja kepada pelaku, malah kepada mangsa dan masyarakat yang kerap dihidangkan dengan naratif toksik.

3. Normalisasi budaya langsang: Pembudayaan tular ini mendidik masyarakat untuk membalas dendam menerusi kuasa penularan (viral culture) bukannya menerusi undang-undang, saluran rasmi atau adab penyelesaian yang matang.

Respons kita: Menjadi penawar, bukan pemangkin 

Apabila gelombang kekasaran dan keagresifan melanda, apakah respons yang sepatutnya dizahirkan oleh masyarakat yang inginkan kedamaian?

Jawapan kita bukan dengan menambah kebisingan atau membalas provokasi dengan kejahatan, sebaliknya menjadi penawar (healer) dan bukannya pemangkin (catalyst) kepada kerosakan. Setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah pasti ada cara penyelesaiannya. Antaranya adalah dengan:

1. Mengawal emosi dan lisan menerusi tapis kebaikan 

Kita dituntut untuk menolak kebiasaan bertindak balas secara emosional (reactive). Sebelum menekan butang kongsi (share), menulis komentar atau menyebarkan video ketegangan di media sosial, tapis dan tanyalah diri: Adakah tulisan ini membawa kedamaian atau menyemarakkan lagi api kebencian?

2. Menjarakkan diri daripada naratif toksik

Jauhi perdebatan kusut, provokasi perkauman mahupun perselisihan awam yang tidak membina. Jiwa dan minda masyarakat perlu dipelihara daripada terus direndam dalam persekitaran yang negatif.

Pendirian kita: Teguh bersama kebenaran, kebahagiaan dan perdamaian 

Pendirian kita mestilah konsisten dan berprinsip. Kebahagiaan dan perdamaian bukan sekadar slogan di atas kertas, tetapi merupakan manifestasi dan inti pati kepada ajaran Islam yang membawa rahmat kepada seluruh alam (rahmatan lil ‘alamin).

1. Menolak ekstremisme, kezaliman dan pencerobohan 

Pendirian kita amat jelas: Kita berdiri menentang sebarang bentuk kezaliman, kedegilan ekstrem, sikap langsang dan pencerobohan, sama ada ia berlaku dalam bentuk kekasaran bahasa di jalanan mahupun perselisihan geopolitical global yang menindas golongan lemah.

2. Ketenangan dan keadilan berbanding kemenangan sorak 

Keamanan sejati lahir daripada keadilan dan adab. Kemenangan dalam hujah atau kepuasan memenangi pergaduhan yang akhirnya merosakkan hubungan ukhuwah serta ketenteraman awam hanyalah satu kemenangan sia-sia.

Tindakan kita: Langkah pragmatik di lapangan 

Pendirian dan respons yang baik mesti diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan nyata yang boleh merubah landskap persekitaran kita:

1. Membina budaya dialog dan adab ikhtilaf 

Suburkan wacana yang sihat di peringkat keluarga, komuniti dan organisasi. Gantikan sikap ketegaran dan keagresifan dengan adab berbeza pandangan (adab ikhtilaf). Pendidikan emosi dan kawalan kendiri mesti dipupuk sejak dari rumah dan sekolah.

2. Memperkasa solidariti dan kemanusiaan

Melalui platform Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), kita menggembalakan sokongan moral, bantuan kemanusiaan dan advokasi keamanan kepada mereka yang terkesan, sama ada mangsa krisis geopolitik antarabangsa mahupun mereka yang terancam akibat krisis sosial dalam negara.

3. Menguasai media sosial dengan naratif rahmah 

Penuhi alam maya dengan kandungan yang menyebarkan kedamaian, mesej kebahagiaan, penyelesaian masalah serta inspirasi kebaikan bagi mengimbangi banjir kandungan toksik yang merosakkan jiwa masyarakat.

Kembali kepada pintu kebaikan 

Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan kita menerusi sabdanya untuk menjadi miftah lil khair, mighlaq lish syarr, iaitu menjadi pembuka kepada pintu-pintu kebaikan dan penutup kepada pintu-pintu kejahatan.

Dalam mengharungi era yang serba mencabar ini, marilah kita memastikan setiap langkah, pertuturan, penulisan dan tindakan kita senantiasa mendekatkan diri dan masyarakat kepada kebahagiaan serta perdamaian kerana selain daripada jalan perdamaian dan kebahagiaan, apa jua jalan kekasaran yang dipilih hanya akan menempah kehancuran dan penderitaan bersama.

Keindahan budi dan ketinggian bahasa merupakan cermin sanubari sesuatu bangsa yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Sasterawan Negara Usman Awang (1983), keikhlasan menjadi teras utama dalam menabur jasa kerana “bukan mudah menabur budi, kalau tidak ikhlas dibuang.”

Hakikat ini ditegaskan lagi oleh Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (2006) melalui cetusan pemikirannya bahawa budi ialah asas kelangsungan tamadun, “sendi bangsa ialah budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.”

Oleh itu, ketinggian peradaban kita tidak dinilai pada kemewahan harta, sebaliknya pada kesantunan tutur kata dan ketulusan amalan. Sepertimana pepatah warisan yang diabadikan dalam Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, oleh Dewan Bahasa dan Pustaka:

Yang merah saga, 
Yang kurik kundi;
Yang indah bahasa,
Yang baik budi.

Peliharalah warisan budi dan bahasa ini agar terus menjadi akar yang mengukuhkan jati diri bangsa sampai bila-bila. 

Dr. Rosfazila Abd Rahman
Pensyarah kanan / Penyelidik / Ketua Pasca Siswazah
Jabatan Pengajian Sosial & Kemanusiaan
Fakulti Sains Sosial (FSS)
(Penulis merupakan seorang ahli akademik dalam bidang Sosiologi dan Antropologi yang aktif membincangkan isu budaya organisasi dan kemanusiaan, Universiti Islam Selangor (UIS))

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia