BANDAR BARU BANGI – Program POV Siri ke-2 anjuran IKRAM Muda berjaya menghimpunkan seramai 43 orang peserta dalam satu sesi wacana berimpak tinggi yang berlangsung di Tumbuh Coffee, Setia Alam Sari di sini pada petang Ahad lalu.
Program itu membincangkan topik hangat bertajuk “Pergelutan Menjadi Malaysia: Memahami Mengapa Malaysia Belum Selesai Menjadi Negara Bangsa yang Diidamkan”, menampilkan jemputan khas, Dr. Abdul Muqit Muhammad, yang dikendalikan oleh Saudara Arif Suhaimi selaku moderator.

Wacana ini mengupas secara mendalam sejarah awal pembentukan serta dinamika pembinaan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa. Dr. Abdul Muqit turut menyerlahkan beberapa cabaran utama yang perlu diuruskan secara berkesan demi memperkemas identiti negara menerusi semangat “Nasionalisme Malaysia” antaranya:
i) Ketidakseimbangan Pandangan
Menangani perbezaan persepsi dalam pembentukan negara bangsa, terutamanya kecenderungan kefahaman nasionalisme yang terlalu sempit berasaskan kaum atau agama tertentu.
ii) Kematangan Politisi
Meneliti serta menambah baik budaya politik tanah air agar lebih matang, konstruktif, dan berorientasikan penyelesaian.
iii) Peranan Aktif Rakyat
Memperkasa penglibatan masyarakat awam dalam merancakkan wacana berkaitan negara bangsa serta menggiatkan usaha nyata di peringkat akar umbi.
iv) Pengukuhan Sistem Pendidikan
Memperkasakan sektor pendidikan secara strategik dan sistemik sebagai wadah utama membentuk warganegara yang menyatupadukan Malaysia seperti yang diidamkan.

Penganjuran siri wacana ini membuktikan komitmen berterusan IKRAM Muda dalam menyediakan platform minda terbuka bagi generasi muda membincangkan hala tuju dan masa depan pembinaan negara bangsa Malaysia.




