Fatih, Mawadda Raih Anugerah Tokoh Pelajar Unggul

MUSLEH

SERDANG – Fatih Mohd Faizal dari SMI Hidayah, Johor Bahru dan Mawadda Abu Bakar dari SMA Riyadatul A’mal (SMART Al-Amin), masing-masing telah meraih Anugerah Tokoh Pelajar Unggul (Kategori Banin dan Banat) dalam majlis Hari Anugerah Musleh (HARUM) 2026.

Berlangsung di Auditorium Radin Umar, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini pada Sabtu, 8 Ogos lalu, anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Jusni Yusoff, yang turut merasmikan HARUM 2026.

Majlis itu juga meraikan 20 penerima Anugerah Murabbi Inspirasi, sebagai penghargaan kepada para pendidik yang telah memberikan sumbangan bermakna dalam membimbing dan membangunkan potensi pelajar.

HARUM 2026 telah dihadiri hampir 300 orang warga Institusi Pendidikan IKRAM seluruh negara, yang menyaksikan penyampaian sebanyak 37 kategori anugerah merangkumi 129 penerima melibatkan pelajar, guru serta lebih 30 sekolah.

MUSLEH HARUM

Majlis anjuran Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) ini menjadi wadah untuk mengiktiraf kecemerlangan, menghargai sumbangan serta menyemarakkan budaya apresiasi dalam kalangan warga institusi pendidikan di bawah rangkaian MUSLEH.

Dalam majlis ini, pencapaian sekolah-sekolah melalui kecemerlangan ilmu syariah serta kecemerlangan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dalam pelbagai mata pelajaran turut diiktiraf, termasuk Pendidikan al-Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan Bahasa Arab.

Selain penyampaian anugerah, HARUM 2026 turut menampilkan sesi khas “TED Talk Testimonial Alumni” oleh Abdullah Zubayr Mohd Aizaini, yang juga merupakan alumni SRI dan SMI Hidayah Johor Bahru, bertajuk “The Art of Becoming: Building Resilience and Steering Purpose” yang menyelami persoalan berkaitan daya tahan, kegagalan, keyakinan diri dan tujuan hidup.

Beliau yang juga Ketua IKRAM Muda Pusat, turut mengetengahkan kepentingan menjadikan Allah SWT sebagai tujuan dan kompas dalam kehidupan, di samping terus membina kemampuan untuk menghadapi cabaran serta ketidakpastian yang mendatang.

Melalui HARUM 2026 yang bertemakan “Menggilap Potensi, Membina Legasi”, pengiktirafan tersebut diharap bukan sekadar meraikan siapa yang mencapai keputusan terbaik atau tertinggi, sebaliknya menjadi ruang untuk menghargai pelbagai bentuk usaha dan potensi yang terdapat dalam ekosistem pendidikan.

Moga majlis penghargaan sebegini menjadi pemangkin bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja mampu mencapai kecemerlangan, tetapi mampu meneruskan legasi pendidikan Islam dalam membina insan rabbani yang memberi manfaat kepada agama, masyarakat dan ummah.

Sumber: FB MIEB

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia