Ketika ingin menulis artikel ini, saya teringat akan kata-kata Buya Hamka yang tidak asing lagi iaitu “Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja.”
Sekali diimbas, perumpamaan ini keras juga. Namun jika dibaca kali kedua, mesej yang dibawa sangat mendalam dan sangat bermakna. Ungkapan beliau yang ringkas ini mengandungi pesanan untuk kita berfikir tentang hakikat kehidupan manusia.
Hidup manusia tidak boleh sekadar diukur dengan bernafas, bekerja, makan dan mengumpul harta. Jika kehidupan hanya berputar pada rutin tersebut, tidak banyak bezanya manusia dengan makhluk lain seperti haiwan yang turut hidup dan berusaha untuk memenuhi keperluan dirinya.
Islam mempunyai perspektif yang holistik terhadap kehidupan manusia. Kehidupan manusia di dunia ibarat mengusahakan ladang yang akan dituai di akhirat. Baik benih yang disemai, baiklah hasil yang dituai di akhirat kelak.
Seiring dengan tujuan itu, Allah SWT menciptakan akal untuk manusia gunakan dalam membuat pilihan dan pertimbangan. Akal sahaja tidak cukup, iman dan takwa menjadi pedoman agar manusia boleh berjalan seiring dengan kehendak syariat dalam kehidupan.
Sibuk tidak semesti berjaya
Manusia adalah makhluk yang mulia. Keistimewaan manusia bukan terletak pada kemampuannya bekerja, tetapi pada tujuan mengapa dia bekerja dan bagaimana kehidupannya memberi manfaat kepada orang lain.
Dalam dunia hari ini, ramai yang bangun setiap pagi dengan jadual yang padat. Ada yang bergegas ke pejabat, mengendalikan syarikat, mengajar di sekolah, merawat pesakit, berniaga atau mengurus keluarga.
Kesibukan menjadi ukuran kejayaan, seolah-olah semakin sibuk seseorang, semakin bermaknalah kehidupannya. Namun, di sebalik semua kesibukan itu, kita terlupa untuk berhenti bertanya, apakah sebenarnya tujuan kita hidup?
Islam tidak membiarkan persoalan ini tanpa jawapan. Al-Quran menjelaskan bahawa tujuan hidup manusia adalah untuk menjadi hamba Allah SWT. Firman-Nya:
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” (Surah az-Zariyat: 56)
Namun, penghambaan kepada Allah SWT bukan hanya diterjemahkan melalui ibadah khusus seperti solat, puasa atau haji semata-mata. Hakikat penghambaan yang sebenar turut terpancar melalui akhlak, amanah dan hubungan sesama manusia. Semakin hampir seseorang kepada Allah SWT, semakin banyak manfaat yang dirasai oleh manusia di sekelilingnya.
Oleh sebab itu, Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain.” (Riwayat at-Ṭabarani, 5787)
Inilah ukuran kejayaan yang sering dilupakan dalam masyarakat moden. Kita sering bertanya, “Apakah yang aku akan peroleh?” sedangkan Islam mengajar kita bertanya, “Apakah manfaat yang boleh aku berikan?”
Jadilah walaupun satu daripada ribuan kebaikan
Bayangkan jika setiap orang memulakan hari dengan satu niat yang mudah: Hari ini aku ingin memudahkan urusan sekurang-kurangnya seorang manusia. Mungkin seorang guru bersabar melayan pelajar yang banyak kerenah. Seorang doktor menyampaikan berita kepada pesakit dengan penuh ihsan.
Seorang pegawai kaunter melayani pelanggan dengan senyuman. Seorang majikan menghargai pekerjanya walaupun pekerja itu sering menimbulkan masalah. Seorang jiran membantu jirannya yang ditimpa musibah. Seorang pengguna media sosial memilih untuk menyebarkan kebaikan daripada menyebarkan kebencian.
Perkara-perkara ini kelihatan kecil, tetapi masyarakat yang sejahtera sebenarnya dibina oleh ribuan kebaikan kecil yang dilakukan secara konsisten. Malangnya, dunia kontemporari semakin mendorong manusia menjadi individualistik. Kita mengenali ramai orang di media sosial tetapi tidak mengenali jiran di sebelah rumah.
Lebih memburukkan lagi keadaan, yang dikenali di media sosial tidak semestinya wujud di alam fizikal. Kita pantas memberi reaksi terhadap isu global, tetapi lambat membantu ahli keluarga sendiri. Kita berlumba-lumba membina imej, tetapi terlupa membina hubungan.
Kebaikan bermula dengan diri sendiri
Islam mengajar keseimbangan. Kita diperintahkan berbuat baik kepada semua manusia, namun dalam masa yang sama mengetahui keutamaan tanggungjawab kita terhadap diri, keluarga dan orang-orang sekeliling.
Mencintai diri dengan memberikan haknya adalah satu keperluan yang mendesak pada hari ini. Diri sendiri perlu dibangunkan dengan sebaiknya, fizikal dengan gaya hidup sihat, mental dengan kesihatan emosi yang baik, spiritual dengan iman dan takwa yang utuh. Apabila diri sendiri menjadi sejahtera, kebaikan-kebaikan dapat disebar dengan mudah dan banyak.
Akhirnya, kehidupan yang bermakna bukanlah kehidupan yang dipenuhi dengan jawatan, kekayaan atau kemasyhuran. Kehidupan yang bermakna ialah kehidupan yang meninggalkan kesan baik kepada orang lain.
Buatlah baik kepada diri dan orang lain, walaupun sebesar zarah. Di sisi Allah, tiada amal soleh yang remeh, semuanya menyumbang kepada pahala dan menjadi benih yang baik yang bakal dituai di akhirat kelak.
Mungkin kita tidak mampu mengubah dunia dalam sehari. Namun kita mampu mengubah kehidupan seseorang melalui satu senyuman, satu pertolongan, satu doa yang dipanjatkan dengan Ikhlas atau satu urusan yang dipermudah.
Pada akhirnya, manusia tidak diingati kerana berapa lama dia hidup atau sebesar mana jawatannya. Manusia diingati kerana kebaikan yang ditinggalkannya. Dan itulah kehidupan yang sebenar iaitu hidup sebagai hamba Allah yang taat, yang sentiasa berusaha menjadi sebab orang lain memperoleh kemudahan, ketenangan dan kesejahteraan.
Prof. Madya Dr Hamidah Mat
Dekan
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)




