Maal Hijrah merupakan peristiwa penting yang sentiasa mengajak umat Islam melakukan muhasabah dan pembaharuan diri.
Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bukan sekadar perpindahan tempat, tetapi suatu transformasi besar yang melahirkan masyarakat berasaskan iman, ilmu, akhlak dan peradaban. Peristiwa ini mengajar bahawa kejayaan tidak akan tercapai tanpa pengorbanan, kesungguhan dan istiqamah dalam mempertahankan prinsip.
Bagi pelajar tahfiz, hijrah mempunyai makna yang sangat dekat dengan kehidupan mereka. Menuntut ilmu dan menghafaz al-Quran sebenarnya merupakan satu perjalanan hijrah yang berterusan; hijrah daripada kejahilan kepada ilmu, daripada kelemahan kepada kekuatan dan daripada kelalaian kepada kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT.
Setiap ayat yang dihafaz dan setiap ilmu yang dipelajari menjadi sebahagian daripada proses pembentukan diri yang akan menentukan masa depan seseorang.
Dalam dunia yang semakin mencabar, pelajar tahfiz tidak boleh melihat peranan mereka hanya sebagai penghafaz al-Quran semata-mata. Umat Islam hari ini memerlukan generasi al-Quran yang mampu menyumbang dalam pelbagai bidang kehidupan.
Negara memerlukan golongan profesional, pendidik, pentadbir dan pemimpin yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, tetapi turut menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam membuat keputusan dan menjalani kehidupan.
Atas sebab itu, pendidikan tahfiz perlu difahami sebagai proses melahirkan insan yang seimbang antara ilmu wahyu dan ilmu akademik.
Al-Quran bukan sekadar untuk dihafaz, tetapi perlu dihayati sehingga membentuk pemikiran, akhlak dan cara hidup. Sejarah Islam membuktikan bahawa ramai tokoh ilmuwan berjaya menguasai pelbagai disiplin ilmu tanpa memisahkan diri daripada al-Quran.
Bagi pelajar STPM Tahfiz khususnya, tempoh pengajian di peringkat prauniversiti merupakan fasa yang sangat penting dalam menentukan hala tuju masa depan.
Mereka perlu mengimbangi tuntutan hafazan, akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah. Cabaran ini sememangnya tidak mudah, namun ia merupakan latihan yang membentuk disiplin, daya tahan dan kematangan diri.
Dalam menghadapi cabaran tersebut, para pelajar perlu memahami bahawa kemuliaan seorang hafiz atau hafizah bukan hanya terletak pada banyaknya hafazan yang dimiliki.
Sebaliknya, kemuliaan itu terserlah melalui akhlak, adab dan keperibadian yang dibentuk oleh al-Quran. Matlamat utama pendidikan tahfiz bukan sekadar melahirkan individu yang mampu menghafaz al-Quran, tetapi melahirkan insan yang menjadikan al-Quran sebagai manhaj kehidupan.
Harapan terhadap generasi tahfiz sebenarnya sangat besar. Masyarakat mengharapkan lahir daripada institusi tahfiz golongan profesional yang berakhlak, ilmuwan yang berwibawa, pendidik yang ikhlas dan pemimpin yang amanah. Mereka diharapkan menjadi contoh terbaik dalam menggabungkan kecemerlangan ilmu dengan kemuliaan akhlak.
Harapan ini selari dengan firman Allah SWT:
وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٖ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا
Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.” (Surah al-Furqan: 74)
Ayat ini menggambarkan cita-cita besar Islam dalam membina generasi yang bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, tetapi juga mampu memimpin manusia ke arah kebaikan. Bagi seorang guru, ayat ini turut menggambarkan harapan terhadap anak-anak didik yang dibimbing sepanjang tempoh persekolahan.
Justeru, semangat hijrah perlu diterjemahkan melalui usaha membaiki diri secara berterusan. Pelajar yang masih lemah dalam pengurusan masa perlu berhijrah kepada disiplin yang lebih baik. Pelajar yang kurang memberi perhatian kepada akademik perlu meningkatkan kesungguhan dalam pembelajaran.
Pelajar yang kurang dekat dengan al-Quran perlu memperkukuh amalan murajaah dan tadabbur. Hijrah yang sebenar ialah perubahan yang membawa peningkatan dalam ilmu, akhlak dan amal.
Untuk mencapai matlamat tersebut, beberapa perkara perlu diberi perhatian. Antaranya ialah menjadikan murajaah sebagai amalan harian, mengurus masa dengan baik, memilih sahabat yang positif, memanfaatkan teknologi secara berhemah dan sentiasa memperbaharu niat bahawa segala usaha menuntut ilmu adalah ibadah kepada Allah SWT.
Namun demikian, kecemerlangan akademik dan kejayaan kerjaya tidak seharusnya menghakis identiti seorang pelajar tahfiz. Dalam mengejar cita-cita dan kejayaan masa hadapan, peliharalah akhlak dan prinsip hidup yang telah dibentuk melalui tarbiah al-Quran.
Anak-anak pelajar tahfiz yang dikasihi,
Mungkin suatu hari nanti kalian akan melanjutkan pengajian ke universiti, menjadi pensyarah, doktor, jurutera, peguam, pegawai kerajaan atau pemimpin masyarakat.
Namun, biarlah kejayaan itu tidak mengubah jati diri yang telah dibina selama ini. Jagalah adab terhadap ibu bapa, hormatilah guru-guru yang pernah mendidik kalian dan sentiasalah merendah diri walau setinggi mana ilmu yang dimiliki.
Buat para Muslimah, peliharalah kemuliaan diri yang telah diasuh sepanjang berada dalam lingkungan pendidikan tahfiz. Tudung labuh, jubah dan pakaian yang longgar bukan sekadar pakaian sekolah, tetapi lambang kefahaman terhadap tuntutan syariat dan identiti seorang Muslimah.
Jangan sesekali meninggalkan prinsip tersebut hanya kerana ingin menyesuaikan diri dengan suasana baharu. Biarlah kesederhanaan dan kesopanan terus menjadi perhiasan diri walau di mana kalian berada.
Begitu juga halnya dengan para pelajar lelaki. Peliharalah sahsiah dan penampilan yang mencerminkan keperibadian seorang hafiz al-Quran.
Berpakaianlah dengan sopan, menjaga aurat, berbicara dengan hikmah dan menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat. Masyarakat akan lebih mudah menghormati al-Quran apabila mereka melihat akhlak yang terpancar pada diri para penghafaznya.
Sesungguhnya kejayaan yang sebenar bukan hanya apabila seseorang memperoleh keputusan yang cemerlang atau berjaya memasuki universiti yang diimpikan.
Kejayaan yang lebih besar adalah apabila seseorang mampu mempertahankan iman, akhlak dan prinsip hidupnya ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran kehidupan. Inilah bentuk hijrah yang paling bernilai di sisi Allah SWT.
Peristiwa hijrah Rasulullah SAW juga mengajar bahawa kejayaan memerlukan perancangan yang teliti dan usaha yang bersungguh-sungguh. Baginda mengambil segala sebab yang diperlukan sebelum bertawakal kepada Allah SWT. Pengajaran ini amat relevan kepada pelajar tahfiz. Kejayaan tidak datang hanya dengan harapan dan doa, tetapi memerlukan disiplin, kesungguhan dan pengorbanan.
Bersempena dengan Maal Hijrah tahun ini, artikel ini juga hadir dengan rasa yang sedikit berbeza buat penulis.
Setelah diberi peluang mendidik dan berkongsi pengalaman bersama para pelajar tahfiz, khususnya pelajar STPM Tahfiz selama enam tahun, penulis akan meneruskan amanah pendidikan di sebuah sekolah yang menawarkan aliran STPM biasa. Perubahan tempat berkhidmat ini merupakan sebahagian daripada perjalanan seorang pendidik dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
Walaupun tempat dan suasana akan berubah, keyakinan penulis terhadap masa depan para pelajar tahfiz tidak pernah berubah.
Penulis percaya bahawa kalian memiliki potensi besar untuk menjadi generasi yang memimpin masyarakat dengan ilmu dan akhlak. Teruskan menjaga al-Quran, menghormati ibu bapa dan guru serta berusaha menjadi manusia yang membawa manfaat kepada orang lain.
Dalam perjalanan hidup yang masih panjang, akan ada pertemuan dan akan ada perpisahan. Namun jangan sesekali meninggalkan al-Quran dan jangan pernah berputus asa daripada rahmat Allah SWT.
Peganglah firman Allah SWT ini sebagai bekalan sepanjang perjalanan hidup:
إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسۡتَقَٰمُواْ تَتَنَزَّلُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُواْ وَلَا تَحۡزَنُواْ وَأَبۡشِرُواْ بِٱلۡجَنَّةِ ٱلَّتِي كُنتُمۡ تُوعَدُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. (Surah Fussilat: 30)
Ayat ini mengingatkan kita bahawa orang yang beristiqamah di atas jalan Allah tidak perlu takut menghadapi masa hadapan dan tidak perlu bersedih dengan perubahan yang berlaku dalam kehidupan. Selagi hubungan dengan Allah SWT dan al-Quran terus dipelihara, akan sentiasa ada cahaya yang memimpin langkah menuju kebaikan.
Akhirnya, sempena Maal Hijrah ini, marilah kita menjadikan hijrah sebagai titik permulaan untuk memperbaharu tekad dan memperkukuh azam. Semoga para pelajar tahfiz terus menjadi generasi al-Quran yang cemerlang dalam ilmu, unggul dalam akhlak, teguh dalam prinsip dan berjaya memimpin masyarakat ke arah kebaikan.
Jika ada satu doa yang ingin dititipkan oleh seorang guru kepada anak-anak didiknya, maka doa itu adalah agar kalian terus menjadi penyejuk mata ibu bapa, kebanggaan guru-guru dan pemimpin kepada orang-orang yang bertakwa.
Semoga setiap langkah hijrah yang kalian lalui sentiasa dipimpin oleh cahaya al-Quran, diberkati dengan ilmu yang bermanfaat dan dihiasi dengan akhlak yang mulia.
Selamat Menyambut Maal Hijrah 1448 H. Semoga Allah SWT menjadikan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa berhijrah menuju kebaikan, istiqamah dalam perjuangan dan teguh memegang amanah al-Quran hingga ke akhir hayat.
Dr Mohd Yusri Ibrahim
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)




