Penagih Dadah: Stigma Masyarakat Halang Pemulihan?

stigma pemulihan dadah

Berdasarkan pengalaman kami di Pertubuhan IKRAM Malaysia, dalam program dakwah dan sokongan komuniti bersama bekas penagih serta banduan di penjara, kami melihat bahawa stigma sering menjadi “hukuman kedua” selepas addiction itu sendiri.

Ramai individu sebenarnya mahu berubah. Mereka mahu kembali kepada keluarga, bekerja semula dan hidup normal. Tetapi apabila masyarakat terus melabel mereka sebagai “penjenayah”, “tidak boleh dipercayai” atau “gagal”, mereka kehilangan keyakinan untuk mendapatkan bantuan.

Akhirnya mereka:

  • takut tampil mendapatkan rawatan,
  • malu untuk hadir ke masjid atau program komuniti,
  • sukar mendapat pekerjaan, dan
  • kembali kepada persekitaran lama yang akhirnya menyebabkan relaps.

Kadang-kadang yang paling menyakitkan bukan addiction itu sendiri, tetapi rasa ditolak oleh masyarakat.

Di penjara, kami bertemu ramai individu yang menangis bukan kerana hukuman, tetapi kerana mereka merasakan tiada siapa lagi percaya mereka boleh berubah.

Sedangkan dalam Islam, manusia tidak dinilai hanya pada masa silamnya. Islam adalah agama taubat, rahmah dan islah. Nabi SAW sendiri tidak menghina pendosa, tetapi membimbing mereka kembali kepada Allah dan masyarakat.

Jika stigma terus dikekalkan, maka kita sebenarnya sedang menutup pintu pemulihan yang kita sendiri mahu mereka lalui.

Perlu bantuan, bukan hukuman

Apakah peranan masyarakat, keluarga dan NGO dalam mengubah persepsi bahawa addiction adalah isu yang memerlukan bantuan, bukan penghukuman sosial?

Kita percaya kita perlu mengubah naratif daripada “menghukum manusia” kepada “menyelamatkan manusia”.

Addiction bukan sekadar isu jenayah. Dalam banyak kes, ia berkait dengan trauma, kemiskinan, keretakan keluarga, tekanan emosi dan masalah kesihatan mental. Sebab itu pendekatan semata-mata menghukum tidak mencukupi.

Peranan keluarga sangat besar. Banyak individu pulih bukan kerana takut hukuman, tetapi kerana masih ada seseorang yang percaya kepada mereka.

Peranan masyarakat pula ialah membuka ruang kedua:

  • menerima bekas penagih kembali bekerja,
  • tidak memandangkan rendah dan memperlekehkan mereka, dan
  • memberi peluang untuk mereka membina kehidupan baru.

NGO dan institusi agama juga perlu menjadi jambatan pemulihan, bukan hanya tempat memberi ceramah.

Di IKRAM, kami melihat apabila dakwah hadir bersama kasih sayang, kaunseling, sokongan komuniti dan bimbingan rohani, individu lebih mudah kembali stabil dan mempunyai harapan.

Masjid juga perlu dilihat sebagai ruang pemulihan masyarakat. Kadang-kadang seseorang yang diterima duduk di saf masjid lebih dekat kepada perubahan berbanding seseorang yang sentiasa dipandang hina.

Bina ekosistem pemulihan

Islam tidak pernah mengajar kita membuang manusia. Islam mengajar kita membimbing manusia. Kita perlu membina ekosistem pemulihan, bukan sekadar sistem hukuman.

Pertama, kita perlu mengubah bahasa dan cara kita bercakap tentang penagihan. Label seperti “sampah masyarakat” atau “bekas banduan tak boleh berubah” hanya menguatkan stigma.

Kedua, komuniti perlu menyediakan peluang reintegration seperti:

  • peluang pekerjaan,
  • latihan kemahiran,
  • sokongan keluarga,
  • mentor komuniti, dan
  • akses rawatan yang berterusan.

Ketiga, institusi agama, NGO dan agensi kerajaan perlu bergerak secara kolaboratif. Pemulihan tidak boleh dilakukan secara silo.

Dalam pengalaman kami di lapangan, ramai sebenarnya mampu berubah apabila:

  • mereka diterima,
  • didengari, dan
  • diberi rasa bahawa hidup mereka masih bernilai.

Akhirnya kita perlu bertanya kepada diri kita: Adakah kita mahu mereka terus terpinggir atau kita mahu mereka kembali menjadi ayah, ibu, anak dan anggota masyarakat yang berfungsi?

Ketahuilah apabila seorang insan dipulihkan, sebenarnya sebuah keluarga sedang diselamatkan.

Malaysia sudah sampai ke tahap untuk menilai semula pendekatan polisi dadah secara lebih holistik dan matang.

Perbincangan mengenai dekriminalisasi penagih tidak sepatutnya dilihat sebagai menghalalkan dadah, tetapi sebagai usaha menilai pendekatan yang lebih berkesan berasaskan maqasid syariah, kesihatan awam dan pemulihan insan.

Islam sememangnya tegas terhadap kemudaratan dadah. Tetapi dalam masa yang sama, Islam juga menuntut rahmah, keadilan dan peluang bertaubat.

Jika seseorang itu sakit, mengalami ketagihan dan mahu berubah, persoalannya ialah:

Kita masih boleh bertegas terhadap pengedaran dan sindiket dadah. Tetapi bagi pengguna dan individu yang bergelut dengan addiction, pendekatan rawatan, diversion dan pengurangan stigma mungkin lebih dekat dengan semangat rahmah dan maqasid syariah.

Pendekatan berteraskan rahmah dan maqasid syariah bukan tanda kelemahan negara, tetapi tanda kematangan sebuah masyarakat yang mahu:

  • menyelamatkan nyawa ,
  • memulihkan insan,
  • menguatkan keluarga,
  • mengembalikan manusia kepada fitrah, dan
  • memberi harapan.

Puan Faridah Maludin

Ketua Kumpulan Fokus (Dadah)

Kluster Sosial

Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia