Beberapa tahun lalu, bekerja dari rumah dianggap sebagai simbol kecemasan global. Situasi pandemik yang berlaku telah memaksa organisasi menutup pejabat, memindahkan mesyuarat ke skrin digital dan menukar ruang makan rumah menjadi workstation sementara.
Namun, selepas dunia kembali bergerak seperti biasa, satu perkara menjadi semakin jelas. Work From Home (WFH) atau Bekerja Dari Rumah (BDR) bukan lagi sekadar solusi sementara, sebaliknya, sedang membentuk struktur tatacara kerja baharu dunia moden.
Lebih daripada 60 peratus organisasi global kini mengamalkan model kerja hibrid sama ada secara penuh atau separa. Malaysia turut memperlihatkan trend yang sama apabila semakin banyak sektor swasta mula menawarkan fleksibiliti lokasi kerja.
Bahkan, berkuat kuasa 15 April 2026, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim turut mengumumkan pelaksanaan dasar BDR untuk penjawat awam secara berperingkat dan terpilih.
Namun, di sebalik slogan “fleksibiliti” dan “kebebasan bekerja”, muncul satu persoalan yang semakin sukar dijawab secara jujur. Adakah manusia benar-benar bekerja dari rumah, atau sekadar berada di rumah sambil kelihatan seperti bekerja?
Inilah dilema terbesar budaya kerja digital masa kini. Teknologi berjaya meruntuhkan dinding pejabat fizikal, tetapi dalam masa yang sama turut meruntuhkan sempadan psikologi antara disiplin dan kelonggaran.
Budaya baharu yang membimbangkan?
Dahulu, produktiviti sering dikaitkan dengan kehadiran fizikal. Selagi seseorang duduk di pejabat dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, pekerja tersebut dianggap “bekerja”. Namun, dunia digital mengubah logika tersebut secara drastik.
Hari ini, seseorang pekerja boleh hadir ke semua mesyuarat melalui Google Meet, membalas mesej di Microsoft Teams dan kelihatan aktif dalam kumpulan WhatsApp pejabat, tetapi hasil kerja sebenar masih tidak bergerak.
Fenomena ini melahirkan budaya baharu yang semakin membimbangkan, iaitu “productivity theatre”. Pekerja kelihatan sibuk, tetapi output sebenar tidak setanding masa yang digunakan. Dalam konteks tertentu, status “online” menjadi lebih penting daripada penyelesaian tugasan.
Lebih membimbangkan, budaya ini mula menghasilkan satu bentuk keletihan moden yang pelik. Manusia sentiasa kelihatan bekerja, tetapi semakin kurang benar-benar fokus bekerja. Saban hari, pekerja digital menerima ratusan notifikasi dan mesej sehingga mengganggu fokus mendalam terhadap tugasan utama.
Ramai pekerja menghabiskan sebahagian besar waktu kerja untuk membalas mesej dan menghadiri mesyuarat, bukannya menghasilkan kerja bernilai tinggi. Akibatnya, ramai individu berasa letih walaupun tidak benar-benar produktif.
Integriti BDR dan perspektif Islam
Dalam keadaan beginilah integriti menjadi isu paling kritikal dalam budaya kerja moden. Hakikat sebenar bekerja dari rumah bukan berkaitan dengan laptop, Internet atau aplikasi mesyuarat.
Sebaliknya, sistem tersebut sedang menguji karakter manusia pada tahap paling jujur. Ketika tiada ketua berdiri di belakang, tiada rakan sekerja memerhati dan tiada suasana formal pejabat mengawal tingkah laku, apa sebenarnya yang dilakukan oleh seorang pekerja?
Di sinilah nilai integriti diuji secara senyap. Integriti bukan sekadar slogan korporat dalam modul latihan sumber manusia. Integriti bermaksud menyelesaikan tugasan walaupun tiada sesiapa memerhati. Pekerja yang berintegriti memahami makna tanggungjawab bahawa mereka dibayar gaji berdasarkan amanah dan hasil kerja, bukan semata-mata kewujudan dalam talian.
Namun, dalam perspektif yang lebih besar, budaya bekerja dari rumah sebenarnya bukan sekadar menguji disiplin profesional, tetapi turut menguji hubungan spiritual manusia dengan Allah SWT.
Dalam Islam, pekerjaan bukan sekadar medium mencari pendapatan, sebaliknya sebahagian daripada ibadah apabila dilaksanakan dengan amanah, jujur dan penuh tanggungjawab.
Konsep tersebut menjadi semakin penting dalam era BDR kerana sistem kerja moden memberi ruang kebebasan yang sangat luas kepada pekerja.
Ketika tiada ketua memerhati, tiada rakan sekerja berada di sisi dan tiada suasana formal pejabat mengawal tingkah laku, manusia sebenarnya sedang diuji dengan sifat-sifat mahmudah dalam diri seperti amanah, disiplin, istiqamah, kejujuran dan rasa tanggungjawab.
Dalam konteks ini, pekerja perlu mencontohi sifat Rasulullah SAW dalam menyempurnakan amanah kerja. Sifat siddiq membentuk kejujuran dalam melaksanakan tugasan walaupun tidak dipantau.
Sifat amanah memastikan setiap kerja disiapkan dengan penuh tanggungjawab. Sifat tabligh melahirkan komunikasi yang jelas dan telus sesama pasukan kerja, manakala sifat fathonah membantu pekerja mengurus masa, emosi dan tugasan secara bijaksana.
Lebih penting, budaya BDR juga menuntut penghayatan sifat ihsan dalam pekerjaan. Ihsan bukan sekadar bekerja kerana KPI, penilaian tahunan atau gaji bulanan, tetapi bekerja dengan kesedaran bahawa Allah SWT sentiasa melihat setiap usaha yang dilakukan.
Dalam dunia digital hari ini, status dalam talian boleh dipalsukan, kamera mesyuarat boleh dimatikan dan aplikasi kerja boleh dibiarkan terbuka sepanjang hari. Namun, amanah kerja tetap tercatat dari sudut moral dan spiritual.
Oleh sebab itu, pekerja yang benar benar memahami konsep ihsan tidak akan mengambil kesempatan terhadap fleksibiliti kerja. Mereka tidak memerlukan pengawasan melampau untuk menjadi produktif kerana dorongan utama hadir daripada kesedaran dalaman dan rasa tanggungjawab kepada Allah SWT.
Pemantauan ekstrem BDR
Malah, dalam konteks BDR, integriti menjadi lebih penting berbanding era kerja konvensional kerana sistem kerja moden semakin bergantung kepada kepercayaan. Majikan tidak lagi mampu memantau setiap minit pergerakan pekerja. Organisasi yang cuba mengawal semuanya melalui software pemantauan ekstrem akhirnya mewujudkan budaya kerja toksik dan penuh paranoia.
Beberapa syarikat antarabangsa dilaporkan menggunakan teknologi surveillance seperti pengesanan papan kekunci, tangkapan skrin automatik dan kamera pemantauan semasa WFH. Pendekatan yang terlalu mengongkong tersebut bukan sahaja menurunkan moral pekerja, malah meningkatkan tekanan psikologi.
Ternyata, masalah sebenar bukanlah tentang kekurangan teknologi pemantauan. Sebaliknya, masalah sebenar ialah krisis kepercayaan.
Budaya kerja masa depan tidak boleh dibina atas asas ketakutan. Organisasi perlu bergerak kepada budaya berasaskan kepercayaan dan akauntabiliti.
Dalam analogi mudah, sesebuah organisasi ibarat kapal besar di tengah lautan. Nakhoda tidak mungkin dapat melihat setiap pendayung pada setiap masa. Namun, kapal tetap akan sampai ke destinasi jika semua individu jujur menjalankan peranan masing-masing.
Malangnya, tidak semua pekerja bersedia menghadapi kebebasan tersebut. Ada yang menjadikan fleksibiliti sebagai alasan untuk melonggarkan disiplin. Ada juga yang mula mencampurkan waktu kerja dengan hiburan digital sehingga produktiviti merosot secara perlahan.
Malah, muncul sindiran sinis dalam kalangan masyarakat bahawa “Work From Home” telah bertukar menjadi “Watch From Home”. Netflix terbuka pada satu skrin, sementara aplikasi mesyuarat terbuka pada skrin yang lain.
Krisis sempadan tempoh kerja
Walau bagaimanapun, menyalahkan pekerja semata-mata juga tidak adil. Hakikatnya, ramai pekerja moden sedang berdepan satu lagi krisis yang kurang dibincangkan, iaitu kerja yang tidak pernah benar-benar tamat. Jika dahulu manusia “balik kerja”, hari ini kerja seolah-olah tinggal bersama mereka di rumah.
Notifikasi e-mel yang masuk pada pukul 11 malam dianggap normal. Mesej berkaitan tugasan pada hujung minggu dilihat sebagai komitmen kerja. Mesyuarat selepas waktu pejabat semakin diterima sebagai budaya biasa.
Gejala burnout dalam kalangan pekerja hibrid juga dilihat meningkat secara konsisten kerana sempadan antara kehidupan peribadi dan pekerjaan semakin kabur. Ramai individu tidak lagi tahu bila sebenarnya mereka sedang bekerja dan bila mereka benar-benar berehat.
Teknologi yang kononnya memudahkan hidup turut mencipta budaya kerja tanpa henti. Masalah utama bukan pada lokasi bekerja. Rumah bukan punca produktiviti merosot. Pejabat juga bukan jaminan disiplin meningkat. Sebaliknya, punca sebenar terletak pada kegagalan manusia mengurus sempadan kehidupan secara sihat.
Peranan EQ
Dalam konteks ini, kecerdasan emosi atau EQ memainkan peranan yang sangat besar. Tidak semua pejabat merupakan ruang yang sihat secara emosi. Ada pekerja yang sebenarnya lebih produktif di rumah kerana kurang politik pejabat, kurang tekanan sosial dan kurang gangguan toksik.
Bagi sesetengah individu, mereka mampu berfikir dan melaksanakan tugasan dengan lebih baik apabila bekerja dalam suasana tenang bersama keluarga.
Apabila seseorang dapat makan makanan rumah sendiri, melihat wajah anak ketika rehat atau mengurus emosi dalam ruang yang lebih selamat, tahap tekanan psikologi menjadi lebih stabil. Keadaan tersebut secara tidak langsung membantu meningkatkan fokus dan kesejahteraan mental.
Perkara tersebut membuktikan bahawa manusia bukan mesin yang hanya memerlukan meja dan komputer untuk berfungsi secara optimum
Faktor emosi mempunyai hubungan langsung dengan produktiviti. Pekerja yang berasa dipercayai cenderung bekerja dengan lebih bertanggungjawab. Sebaliknya, pekerja yang sentiasa berasa dicurigai akhirnya kehilangan motivasi dalaman.
Cabaran pengurusan masa
Namun, fleksibiliti tanpa disiplin akhirnya akan menghasilkan kekacauan. Oleh sebab itu, pengurusan masa menjadi antara cabaran terbesar budaya BDR. Tanpa struktur jelas, ramai individu gagal membezakan antara masa kerja, masa rehat dan masa peribadi. Akibatnya, hidup menjadi bercampur aduk sehingga tubuh berada di rumah tetapi mental masih “di pejabat”.
Dalam konteks ini, konsep pengurusan masa 8-8-8 menjadi semakin relevan untuk disesuaikan dengan gaya kerja moden. Lapan jam bekerja, lapan jam rehat dan lapan jam tidur bukan sekadar formula klasik, tetapi mekanisme asas untuk menjaga keseimbangan hidup manusia.
Malangnya, ramai pekerja moden sudah kehilangan struktur tersebut. Masa yang dahulu dihabiskan dalam kesesakan trafik sebenarnya boleh ditukar menjadi ruang pembangunan diri.
Ada yang mula bersenam, membaca, memasak atau meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Namun, ada juga yang menggunakan lebihan masa tersebut untuk terus bekerja tanpa henti sehingga keletihan menjadi identiti baharu kehidupan profesional.
Budaya “sentiasa available” akhirnya mencipta generasi pekerja yang penat secara emosi tetapi sukar berhenti. Keadaan menjadi lebih rumit apabila masyarakat moden mula mengukur komitmen berdasarkan tahap kesibukan
Individu yang lambat membalas mesej dianggap tidak produktif, sedangkan mungkin sedang fokus menyelesaikan tugasan besar. Dalam dunia kerja digital, manusia semakin sukar membezakan antara sibuk dan berkesan.
Akhirnya, masa depan BDR tidak boleh hanya dibincangkan dari sudut teknologi atau polisi organisasi semata-mata. Perbincangan sebenar perlu menyentuh persoalan lebih besar tentang disiplin, integriti, kesihatan mental dan budaya kerja manusia moden.
Keupayaan mengurus tanggungjawab
Kita sedang memasuki era kerja yang memerlukan tahap kematangan psikologi lebih tinggi berbanding sebelumnya. Dunia kerja masa depan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pengawasan fizikal. Sebaliknya, sistem moden semakin bergantung kepada keupayaan manusia untuk mengurus kebebasan secara bertanggungjawab.
Majikan perlu berhenti melihat pekerja sebagai individu yang perlu sentiasa dikawal. Dalam masa yang sama, pekerja juga perlu berhenti menyalahgunakan fleksibiliti sehingga merosakkan kepercayaan organisasi. Budaya kerja masa depan memerlukan keseimbangan antara autonomi dan akauntabiliti.
Akhirnya, persoalan terbesar tentang BDR bukan sekadar sama ada manusia bekerja dari rumah atau di pejabat. Persoalan sebenar ialah sama ada manusia masih mempunyai amanah, ihsan dan nilai moral untuk bekerja dengan jujur ketika tiada siapa memerhati.
Dalam dunia digital hari ini, kamera dan audio boleh dimatikan, status boleh dipalsukan dan aplikasi kerja boleh dibiarkan terbuka sepanjang hari. Namun, ada satu perkara yang tidak boleh dimanipulasi sepenuhnya iaitu amanah terhadap kerja yang dipikul.
Pada akhirnya, manusia bukan sekadar bekerja untuk majikan atau organisasi. Sebaliknya, setiap tugasan yang disempurnakan dengan jujur mencerminkan hubungannya dengan Maha Pemberi Rezeki.
Nurul Nisha Mohd Shah
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau
Mohd Radzman Basinon
Pengarah Kreatif
Sixtysix Action Academy




