Desak Tindakan Tegas Tangani Jenayah Seksual Kanak-Kanak

Desak Tindakan Tegas Tangani Jenayah Seksual Kanak-Kanak | IKRAM

Wanita IKRAM, MAP Desak Tangani Serius Ancaman Pemangsa Seksual dan Perlindungan Strategik Kanak-kanak Tanpa Mengira Jantina

Wanita IKRAM Malaysia bersama Pertubuhan Malaysia Membanteras Pornografi (MAP) menggesa masyarakat, institusi pendidikan dan pihak berkuasa untuk memperkukuh langkah pencegahan serta perlindungan kanak-kanak daripada jenayah seksual tanpa mengira jantina, sama ada dari sudut pelaku mahupun mangsa.

Rentetan kes seorang guru wanita berusia 42 tahun di Seremban yang didakwa atas lima pertuduhan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Kanun Keseksaan (Akta 574), yang melibatkan amang seksual fizikal serta bukan fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 14 tahun, ia adalah satu tamparan hebat yang membuka mata kita kepada satu realiti, iaitu jenayah seksual tidak menetapkan jantina (genderless) [1].

Jenayah seksual terhadap kanak-kanak tidak boleh dilihat melalui lensa stereotaip jantina semata-mata. Tumpuan utama mesti diberikan kepada perlindungan mangsa, pencegahan eksploitasi digital, ketegasan institusi dan penambahbaikan sistem saringan terhadap individu yang mempunyai akses kepada kanak-kanak. Tiga perspektif utama yang perlu difahami oleh semua pihak untuk mendepani krisis ini ialah:

1. Perlindungan kanak-kanak mesti bebas daripada stereotaip jantina

Selama ini, wacana keselamatan kanak-kanak sering memberi tumpuan kepada risiko pelaku lelaki dan mangsa perempuan. Walaupun realiti ini penting untuk terus ditangani, masyarakat juga perlu mengakui bahawa kanak-kanak lelaki turut berisiko menjadi mangsa eksploitasi seksual, termasuk dalam situasi yang melibatkan individu dewasa yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik, mengasuh atau menjaga mereka.

Anggapan bahawa kanak-kanak lelaki “lebih kuat”, “pandai menjaga diri” atau “tidak mudah menjadi mangsa kepada wanita” adalah tanggapan berbahaya yang boleh menutup ruang perlindungan, sokongan emosi dan pelaporan. Kanak-kanak lelaki juga boleh mengalami pengantunan seksual dan manipulasi hubungan, khususnya melalui medium digital. Hal ini boleh mengakibatkan kesan trauma, kekeliruan emosi, rasa malu dan tekanan sosial kepada mereka.

Dalam masa yang sama, kami menegaskan bahawa isu ini tidak wajar disempitkan kepada pelaku wanita semata-mata. Fokus sebenar ialah penyalahgunaan kuasa, eksploitasi kedudukan amanah dan kegagalan sistem untuk mengesan serta menghentikan risiko salah laku seksual lebih awal.

2. Pihak yang dipertanggungjawabkan mesti disertai akauntabiliti yang tinggi

Guru, pendidik, jurulatih, pengasuh, fasilitator dan mana-mana individu yang bekerja dengan kanak-kanak memegang amanah besar. Apabila sempadan profesional dilanggar, terutama melalui komunikasi peribadi di luar waktu persekolahan, hubungan rahsia di aplikasi digital, perkongsian bahan tidak senonoh, sentuhan tidak selamat dan eksploitasi meningkat tanpa disedari.

Kami menyeru agar semua institusi yang melibatkan kanak-kanak memperkukuh kod etika, garis panduan komunikasi siber, latihan perlindungan kanak-kanak dan tatacara aduan yang selamat. Hubungan antara orang dewasa dan kanak-kanak mesti sentiasa berada dalam kerangka profesional, telus dan boleh dipertanggungjawabkan.

3. Mangsa lelaki perlu diberi ruang selamat untuk melapor dan dipulihkan

Mangsa lelaki sering berdepan halangan psikologi dan sosial untuk tampil membuat aduan. Mereka mungkin takut diejek, dianggap lemah, tidak dipercayai atau disalah anggap sebagai “bersetuju” dengan perlakuan tersebut akibat gangguan ego kelelakian dan mitos akil baligh. Lebih membimbangkan, sebahagian masyarakat masih meremehkan penderitaan mangsa lelaki kerana terperangkap dalam mitos maskuliniti yang tidak sihat.

Kami menegaskan bahawa semua kanak-kanak, tanpa mengira jantina, berhak mendapat perlindungan, sokongan psikososial dan akses kepada keadilan. Mangsa tidak boleh dipersalah, dipermalu atau dipaksa berdiam diri demi menjaga reputasi institusi semata-mata.

Desakan tindakan bersama:

Melihat kepada kerumitan isu ini, Wanita IKRAM Malaysia dan Pertubuhan Malaysia Membanteras Pornografi (MAP) menuntut reformasi segera dalam sistem kawalan serta perlindungan kanak-kanak:

  • SOP saringan tanpa mengira jantina dan ketegasan teguh KPM: Menyokong penuh prinsip ketegasan tanpa kompromi yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi tindakan merehatkan serta-merta guru bermasalah [4]. Namun, kami mendesak agar garis panduan integriti dan saringan psikologi berkala ini dikuatkuasakan tanpa berat sebelah terhadap semua warga pendidik tanpa mengira jantina. Tiada kelonggaran boleh diberikan kepada guru wanita atas dasar persepsi keibuan semata-mata.

 

  • Tindakan serta-merta terhadap aduan tanpa melindungi reputasi institusi: Menyokong penuh amaran keras Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri, agar kes salah laku membabitkan pendidik ini tidak sama sekali “dibekukan di dalam peti ais” (kept in cold storage) [2]. Mengambil iktibar daripada kelemahan tadbir urus kes gangguan seksual, kami menuntut agar mana-mana guru yang berdepan aduan berasas dikeluarkan serta-merta daripada ekosistem sekolah tanpa kompromi [5]. KPM mesti menggunakan kuasa sedia ada di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 untuk merehatkan atau menggantung kerja mereka tanpa perlu menunggu kes tular [5].

 

  • Penambahbaikan pendaftaran pesalah untuk semakan terkawal: Kami mendesak agar sistem daftar pesalah seksual terhadap kanak-kanak diperkukuh sebagai alat saringan institusi, bukan sebagai pangkalan data awam terbuka. Seiring dengan cadangan pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang sedang dirangka [2], majikan, sekolah, pusat jagaan, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pihak berautoriti yang berkaitan perlu mempunyai saluran rasmi untuk membuat semakan latar belakang (vetting process) secara sah, terkawal dan boleh diaudit sebelum pemangsa mendapat akses kepada murid.

 

  • Latihan wajib perlindungan kanak-kanak dan pengesanan grooming: Semua institusi yang bekerja dengan kanak-kanak perlu menyediakan latihan berkala berkaitan keselamatan kanak-kanak, termasuk pengesanan awal jerat online grooming (pengantunan dalam talian), etika komunikasi digital, sempadan profesional, pelaporan aduan dan sokongan kepada mangsa. Latihan ini perlu merangkumi realiti semasa bahawa mangsa dan pelaku boleh terdiri daripada mana-mana jantina.

 

  • Sokongan psikososial kepada mangsa dan keluarga: Mangsa jenayah seksual memerlukan perlindungan, kaunseling trauma, sokongan keluarga dan persekitaran yang tidak menghukum demi pemulihan sepenuhnya. Pada masa yang sama, ahli keluarga pelaku yang tidak bersalah juga tidak wajar menjadi sasaran stigma, gangguan atau hukuman sosial akibat penyebaran maklumat yang tidak terkawal di media sosial.

 

Kesimpulan

Kasih sayang dan perlindungan kita kepada generasi masa depan mesti dizahirkan melalui ketegasan sistem yang tegas, adil, berasaskan data dan bebas daripada stereotaip. Jangan biarkan anak-anak kita, sama ada lelaki mahupun perempuan, menderita dalam sepi akibat kegagalan kita membaca taktik licik pemangsa di sekeliling mereka.

Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman
Ketua Wanita IKRAM Malaysia

Dr. Fatimah Ahmad Fauzi
Pengerusi Pertubuhan Malaysia Membanteras Pornografi (MAP) 

KUALA LUMPUR
9 JUN 2026

 

Sumber Rujukan:

[1] Lembaran Pertuduhan Mahkamah Kes Seremban (Mei 2026) di bawah Akta 792 & Kanun Keseksaan; Laporan Khas Berita Terkait (Bernama, Sinar Harian, Utusan Malaysia).

[2] Laporan Khas New Straits Times (Mei 2026): “Public sex offenders registry still under discussion – Nancy.” (Petikan isu perbincangan pindaan Akta 611, proses vetting, dan analogi anti-‘cold storage’).

[3] Laporan Kajian Educator Sexual Misconduct, U.S. Department of Education oleh Dr. Charol Shakeshaft; Serta perbandingan portfolio data perundangan Abuse of Position of Trust di United Kingdom, Australia, dan Kanada.

[4] Kenyataan Media & Garis Panduan Tatatertib KPM, YB Fadhlina Sidek: Penegasan tindakan tegas merehatkan serta-merta mana-mana guru yang terlibat dalam siasatan kes salah laku seksual di sekolah.

[5] Laporan Kes Intervensi KPM (22 Mei 2026): Kes maklum balas tindakan segera KPM merehatkan semula guru suspek gangguan seksual murid di Masai, Johor serta kritikan prosedur birokrasi penempatan sementara.

 

Dikeluarkan bersama oleh:

  • Wanita IKRAM Malaysia
  • Pertubuhan Malaysia Membanteras Pornografi (MAP)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia