“Sebagai bangsa lain dan masyarakat bukan Islam, kita juga perlu memahami makna sambutan Hari Raya Aidiladha kerana perayaan ini bukan sekadar berkaitan ibadah umat Islam, tetapi turut membawa nilai sejagat seperti pengorbanan, kasih sayang, keprihatinan dan kebersamaan masyarakat.”
Hari Raya Aidiladha merupakan salah satu perayaan penting bagi umat Islam yang sarat dengan nilai pengorbanan, keikhlasan dan kebersamaan.
Namun dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia, Aidiladha bukan sekadar sambutan keagamaan, tetapi turut menjadi medium sosial yang memperlihatkan semangat perpaduan, keharmonian dan sikap saling menghormati antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Nilai-nilai murni yang dizahirkan sepanjang sambutan ini mencerminkan kekuatan masyarakat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian budaya dan kepercayaan.
Ahli sosiologi Perancis, Emile Durkheim menekankan bahawa perpaduan masyarakat terbentuk melalui solidariti sosial, iaitu hubungan yang lahir daripada pengalaman dan nilai yang dikongsi bersama.
Dalam konteks Aidiladha, aktiviti seperti ibadah korban, gotong-royong penyediaan makanan dan pengagihan daging korban membuka ruang interaksi sosial yang memperkukuh hubungan antara masyarakat. Aktiviti ini bukan sahaja melibatkan umat Islam, malah turut mendapat kerjasama dan penghormatan daripada masyarakat pelbagai latar belakang.
Dalam konteks Malaysia, konsep acuan Malaysia merujuk kepada pembentukan identiti nasional yang menghargai kepelbagaian budaya, etnik dan agama dalam kerangka perpaduan yang inklusif.
Sambutan Aidiladha memperlihatkan bagaimana nilai kemanusiaan dan semangat kebersamaan mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira perbezaan. Kehadiran masyarakat dalam program komuniti, rumah terbuka Aidiladha dan aktiviti kebajikan mencerminkan kekuatan hubungan sosial yang menjadi asas kepada keharmonian negara.
Semarak kerjasama
Program sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban yang dianjurkan pelbagai institusi, pertubuhan serta komuniti setempat bertujuan menyemarakkan semangat kerjasama dan memperkukuh hubungan antara masyarakat.
Nilai-nilai yang diterapkan melalui ibadah korban seperti keikhlasan, kesyukuran dan kepedulian sosial menjadi elemen penting dalam pembinaan masyarakat yang harmoni dan penyayang. Inisiatif seperti ini bukan sekadar aktiviti keagamaan, tetapi juga platform memperkukuh perpaduan nasional melalui penglibatan masyarakat secara bersama.
Menurut Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, perpaduan dalam masyarakat majmuk tidak berlaku secara semula jadi, tetapi perlu dipupuk melalui pengalaman sosial yang dikongsi bersama.
Dalam hal ini, sambutan Aidiladha dan aktiviti korban menjadi ruang sosial yang mempertemukan masyarakat dalam suasana penuh muhibah dan saling menghormati. Melalui interaksi seperti ini, masyarakat dapat memahami budaya dan nilai antara satu sama lain dengan lebih dekat.
Peribahasa Melayu menyebut, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.” Ungkapan ini amat bertepatan dengan semangat Aidiladha yang menekankan nilai kerjasama, bantu-membantu dan pengorbanan demi kesejahteraan bersama.
Apabila masyarakat berganding bahu dalam menjayakan program korban dan kebajikan, hubungan sosial dapat diperkukuh dan semangat kebersamaan dapat dipupuk dengan lebih mendalam.
Pembinaan modal insan
Dalam masa yang sama, aktiviti kemasyarakatan sempena Aidiladha turut menyumbang kepada pembinaan modal sosial dalam masyarakat. Modal sosial merujuk kepada jaringan hubungan, kepercayaan dan kerjasama yang wujud dalam komuniti.
Apabila masyarakat berkumpul dan saling membantu dalam suasana penuh harmoni, ia memperkukuh rasa percaya antara komuniti dan mewujudkan kestabilan sosial yang lebih kukuh.
Lebih penting lagi, pengalaman sosial seperti ini turut menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. Patriotisme bukan sekadar kecintaan terhadap negara secara simbolik, tetapi juga komitmen untuk memelihara keharmonian masyarakat majmuk yang menjadi kekuatan Malaysia.
Sambutan Aidiladha memperlihatkan bagaimana nilai agama mampu menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang bersatu, saling menghormati dan hidup dalam semangat perpaduan.
Aspirasi Malaysia MADANI
Nilai-nilai Aidiladha seperti pengorbanan, ihsan dan kepedulian sosial juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan prinsip kemanusiaan, hormat, kesejahteraan dan ihsan dalam kehidupan bermasyarakat.
Dalam kerangka ini, pembangunan negara bukan sahaja diukur melalui kemajuan ekonomi dan teknologi, tetapi juga melalui kekuatan nilai sosial yang membentuk hubungan antara rakyat.
Sambutan Hari Raya Aidiladha juga selari dengan Dasar Sosial Negara khususnya dalam usaha membina masyarakat yang bersatu padu, penyayang dan bertanggungjawab. Dasar ini menekankan pembangunan insan secara menyeluruh melalui pengukuhan institusi sosial, budaya penyayang dan kesejahteraan masyarakat.
Melalui aktiviti korban, gotong-royong serta amalan berkongsi rezeki, masyarakat dididik tentang nilai empati, hormat-menghormati dan semangat kebersamaan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Nilai-nilai ini penting dalam memperkukuh institusi sosial serta melahirkan masyarakat yang seimbang dari aspek rohani, emosi dan sosial sejajar dengan aspirasi pembangunan negara.
Simbol keharmonian
Sesungguhnya sambutan Hari Raya Aidiladha bukan sekadar perayaan keagamaan, tetapi simbol keharmonian dan perpaduan masyarakat Malaysia.
Dari ruang komuniti dan semangat gotong-royong inilah lahirnya kesedaran bahawa kekuatan Malaysia terletak pada keupayaan rakyatnya untuk hidup bersama dalam suasana saling menghormati, memahami dan memelihara keamanan negara yang kita cintai.
Sebagai bangsa lain dan masyarakat bukan Islam, kita juga perlu memahami makna sambutan Hari Raya Aidiladha kerana perayaan ini bukan sekadar berkaitan ibadah umat Islam, tetapi turut membawa nilai sejagat seperti pengorbanan, kasih sayang, keprihatinan dan kebersamaan masyarakat.
Dalam konteks Malaysia sebagai negara majmuk, kefahaman terhadap budaya dan perayaan masyarakat lain amat penting dalam memperkukuh perpaduan serta keharmonian nasional.
Aidiladha mengajar masyarakat tentang nilai kemanusiaan dan semangat membantu golongan yang memerlukan melalui ibadah korban dan amalan berkongsi rezeki.
Nilai ini sebenarnya selari dengan aspirasi Dasar Sosial Negara yang menekankan budaya penyayang, kesejahteraan sosial dan semangat hidup bermasyarakat. Peribahasa Melayu juga menyebut, “tak kenal maka tak cinta,” yang membawa maksud bahawa kefahaman akan melahirkan rasa hormat dan keharmonian.
Dalam semangat Malaysia MADANI dan Acuan Malaysia, sambutan Aidiladha menjadi medium untuk rakyat pelbagai kaum mengenali nilai murni yang diamalkan oleh masyarakat Islam serta menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan negara kita.
Sesungguhnya keharmonian Malaysia tidak lahir daripada persamaan budaya semata-mata, tetapi melalui sikap saling memahami, menghormati dan berkongsi nilai kemanusiaan yang menjadi asas kekuatan negara.
Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Ahli Majlis Bahasa Negara &
Pengerusi Women in Future Technologies (WiFT), MYRAS




