Matlamat tertinggi setiap jemaah haji bukan sekadar menyempurnakan tuntutan rukun dan wajib, tetapi untuk meraih haji yang mabrur.
Haji yang mabrur meninggalkan kesan perubahan yang mendalam dalam diri seseorang jemaah, seolah-olah dirinya bukan lagi insan yang sama seperti ketika mula melangkah menaiki pesawat menuju Tanah Suci.
Sekembalinya daripada perjalanan tersebut, lahir seorang insan yang diperbaharui iaitu lebih tunduk kepada Allah, lebih peka terhadap tanggungjawabnya dan lebih bersedia membawa nilai kebaikan ke dalam kehidupan.
Oleh itu, ibadah haji perlu dihayati melampaui sekadar menyempurnakan rukun Islam kelima. Haji bukan sekadar perjalanan menyucikan jiwa, tetapi juga medan yang menzahirkan kesatuan umat dan keindahan nilai-nilai murni dalam Islam. Setiap gerak kerja dalam manasik haji sebenarnya mendidik jemaah untuk memiliki kesedaran tentang nasib sesama Muslim.
Daripada soleh kepada musleh
Ibadah haji membuktikan bahawa transformasi diri tidak seharusnya terhenti pada peringkat individu. Jemaah yang pulang dari Tanah Suci diharapkan menjadi insan yang soleh wa musleh iaitu individu yang bukan sahaja baik peribadinya, tetapi juga mampu membawa kebaikan dan pembaharuan kepada masyarakat sekeliling.
Mereka adalah ejen perubahan yang berperanan membina masyarakat sejahtera, selaras dengan aspirasi al-Quran untuk melahirkan baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur iaitu sebuah negeri yang baik yang dinaungi keampunan dan rahmat Allah.
Dalam konteks yang lebih luas, haji boleh dianggap sebagai momentum “pelancaran semula” kesedaran ummah. Ia merupakan perhimpunan tahunan yang mengingatkan berbilion umat Islam di seluruh dunia tentang kekuatan persaudaraan sejagat yang melangkaui sempadan pangkat, bangsa dan negara.
Di tengah ketidakpastian geopolitik global, perhimpunan agung ini berperanan menyegarkan kembali semangat kesatuan umat Islam, sambil menghidupkan kesedaran tentang peranan dan pengaruh tamadun Islam yang semakin lemah atau hilang taring di arena antarabangsa.
Simbolisme ihram: Meleburkan sempadan minda
Apabila seseorang jemaah melangkah ke Tanah Suci, identiti lamanya seolah-olah dipadam atau diperbaharui. Segala ego, pangkat mahupun semangat kebangsaan sempit ditinggalkan, digantikan dengan kesedaran bahawa di hadapan Allah, semua manusia adalah sama.
Keseragaman di padang Arafah dengan jutaan manusia berdiri dengan kepala terdedah dan berpakaian ihram yang ringkas menyingkirkan perbezaan antara raja dan rakyat, jutawan korporat dan pekerja biasa. Sistem kasta duniawi runtuh, digantikan dengan nilai tawaduk dan kesamarataan. Seperti gigi pada sisir, umat Islam berdiri sama rata, bersatu dalam satu cita-cita.
Namun, terdapat satu tragedi yang berlaku setiap kali musim haji berakhir. Semangat kesatuan di Tanah Suci seolah-olah dilupakan sebaik sahaja jemaah menanggalkan ihram dan kembali ke tanah air masing-masing.
Minda sebahagian jemaah kembali terikat dengan kerangka negara bangsa serta sekatan geopolitik yang sempit. Tidak sedikit yang kembali melihat diri mereka terlebih dahulu sebagai rakyat Malaysia, Indonesia, Mesir, Turki dan sebagainya, lalu lebih menitikberatkan sempadan geografi berbanding ikatan akidah yang sepatutnya menyatukan umat.
Kesatuan yang begitu kental di bawah terik matahari Makkah seolah-olah terlerai sebaik sahaja para jemaah kembali ke zon selesa masing-masing, sementara umat Islam terus terpecah oleh garis politik dan sistem pemerintahan yang berbeza.
Dunia di bawah bayang-bayang “hukum rimba”
Realiti dunia hari ini amat memeritkan. Dua tahun lalu, lebih sejuta jemaah berhimpun di Makkah dalam musim panas yang meletihkan, namun hati mereka dibayangi suasana pilu akibat peperangan di Gaza. Tahun ini pula, ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat menimbulkan kegusaran yang meluas di peringkat global.
Dunia menyaksikan bagaimana kuasa besar di satu pihak mengeluarkan ancaman tentang “kemusnahan tamadun” sekali gus melakukan pencabulan undang-undang antarabangsa tanpa ada tindakan yang tegas menghentikannya.
Keadaan ini memberi gambaran seolah-olah dunia sedang bergerak ke arah suatu keadaan yang menyerupai “hukum rimba”. Jenayah perang dan pelanggaran kemanusiaan berlaku tanpa pertanggungjawaban yang jelas dan sering didahului oleh kepentingan.
Di sinilah terletaknya titik pertemuan antara ibadah haji dan tanggungjawab perjuangan umat. Haji melambangkan kesatuan global umat Islam, manakala konflik geopolitik yang melanda dunia Islam menjadi ujian nyata terhadap kekuatan kesatuan tersebut.
Jika haji diibaratkan sebagai “latihan besar” menjelang hari kiamat, setiap jemaah harus menyedari bahawa setiap perbuatan, kata-kata dan juga kebisuan terhadap kezaliman tidak akan terlepas daripada perhitungan Allah. Hubungan sesama Muslim di Tanah Suci tidak boleh dilihat sekadar sebagai hubungan ibadah yang terpisah daripada realiti kehidupan umat.
Tidak wajar perasaan aman sepenuhnya ketika mengelilingi Kaabah sedangkan pada masa yang sama terdapat saudara seiman di wilayah lain yang sedang menghadapi penindasan, kepungan dan pertumpahan darah.
Kesedaran inilah yang sepatutnya menjadikan pengalaman haji bukan sahaja menyucikan jiwa, tetapi juga membangkitkan rasa tanggungjawab terhadap nasib umat secara keseluruhan.
Jemaah haji sebagai ejen perubahan
Transformasi jemaah haji sebagai ejen perubahan harus bermula dengan kesedaran bahawa mereka adalah tetamu Allah (Dhuyufurrahman). Sebagai tetamu kepada Penguasa sekalian alam, mereka membawa amanah yang besar apabila kembali ke tanah air masing-masing.
Kepulangan dari Tanah Suci seharusnya diterjemahkan kepada usaha menghidupkan kembali “roh Arafah” dalam bentuk nilai, sikap dan juga dasar kehidupan masyarakat serta negara.
Pertama, jemaah haji wajar menjadi penggerak kepada agenda kesatuan umat. Semangat kesatuan yang dizahirkan dalam ibadah haji perlu diterjemahkan kepada kesatuan dalam diplomasi, kerjasama serantau dan kekuatan ekonomi dunia Islam.
Jika jutaan umat mampu berhimpun dalam satu saf tanpa perbezaan, mengapa negara-negara Islam masih berpecah dalam suara politik yang lemah dan tidak tersusun dalam berhadapan dengan hegemoni kuasa besar?
Kesatuan ini penting bagi menjaga kemaslahatan umat agar tidak terus menjadi mangsa kepada kuasa dominan yang menindas kedaulatan dan hak bangsa-bangsa yang lemah.
Kedua, jemaah haji perlu menjadi pemangkin kepada keadilan sosial. Kepulangan mereka seharusnya membawa perubahan dalam cara masyarakat memahami isu kemanusiaan dan hak asasi.
Jika di Makkah mereka mampu berdiri setara tanpa mengira bangsa dan kedudukan, maka nilai itu perlu diterjemahkan di tanah air dengan menjadi pendukung kepada keharmonian sosial, keadilan antara kelompok serta pembelaan terhadap golongan tertindas.
Transformasi ini menuntut setiap individu untuk membuang sifat individualistik yang sempit dan digantikan dengan kelahiran jiwa yang lebih peduli terhadap penderitaan manusia sejagat.
Menuju kesatuan politik yang berterusan
Sebuah naratif baharu diperlukan. Ibadah haji seharusnya berfungsi sebagai pengikat persaudaraan di tengah-tengah dunia yang sering dilanda konflik dan perpecahan.
Perjuangan membebaskan Palestin, mengekalkan kestabilan di rantau Teluk dan menentang jenayah perang bukan sahaja tanggungjawab tentera atau diplomat, tetapi juga sebahagian daripada tanggungjawab moral setiap individu yang pernah melafazkan “Labbaykallahumma labbayk” (Aku datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah).
Menyahut panggilan Allah juga bermakna menyahut seruan-Nya untuk menegakkan keadilan. Jika jemaah haji sekadar kembali dengan gelaran “Haji” atau “Hajah” tanpa membawa kesedaran terhadap nasib umat yang semakin parah, maka peluang besar yang dianugerahkan oleh Allah sebagai medan kesatuan ummah telah disia-siakan.
Sudah tiba masanya roh haji melangkaui sempadan Makkah dan memasuki ruang-ruang penggubalan dasar, bilik-bilik mesyuarat, dewan-dewan parlimen serta jiwa setiap Muslim.
Dengan itu, tamadun Islam tidak sekadar dikenang dalam sejarah, tetapi berpotensi bangkit semula sebagai kekuatan moral dan peradaban dalam dunia yang semakin tunduk kepada persaingan kuasa dan “hukum rimba”.
Penyempurnaan haji yang mabrur menjadi asas kepada kelahiran semula sebuah ummah yang lebih sedar, bersatu dan bermaruah.
Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




