HIKAM Kecam Tindakan Membakar Kenderaan Milik Cikgu Chandra

HIKAM Kecam Tindakan Membakar Kenderaan Milik Cikgu Chandra

Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab membakar tiga buah kenderaan milik Cikgu Chandra yang dilaporkan berlaku pada pagi ini.

Perbuatan sedemikian merupakan satu bentuk keganasan dan vandalisme yang sama sekali tidak boleh diterima dalam masyarakat yang menjunjung nilai keamanan, kedaulatan undang-undang serta keharmonian hidup bersama.

HIKAM berpandangan bahawa sebarang perbezaan pandangan, ketidakpuasan hati atau perselisihan tidak wajar diselesaikan melalui tindakan melampau, apatah lagi melalui keganasan yang boleh mengancam keselamatan individu serta ketenteraman awam.

Sehubungan dengan itu, HIKAM menyeru seluruh masyarakat agar sentiasa mengamalkan budaya dialog yang sihat, matang dan beradab dalam menyelesaikan sebarang isu atau perbezaan pendapat. Pendekatan perbincangan yang rasional serta saling menghormati merupakan asas penting dalam membina masyarakat yang harmoni dan bertamadun.

Dalam masa yang sama, HIKAM ingin menegaskan bahawa umat Islam hendaklah sentiasa menangani sebarang isu dengan mematuhi undang-undang serta menjunjung prinsip keadilan dan keamanan. Islam mengajar pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan dan keseimbangan) dalam beragama, yang menolak sikap melampau serta menggalakkan penyelesaian yang bijaksana dan berhemah, khususnya dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia.

HIKAM juga mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan masyarakat Islam agar sentiasa menjaga adab dan akhlak dalam menyuarakan pandangan, termasuk di media sosial. Umat Islam hendaklah mengelakkan daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak sesuai, bersifat menghina atau boleh menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama.

HIKAM juga sentiasa mengangkat perpaduan nasional sebagai salah satu agenda penting dalam usaha membina sebuah masyarakat yang berteraskan keadilan dan kasih sayang, saling menghormati serta dapat hidup bersama dalam kepelbagaian kaum dan agama.

Prinsip ini selari dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa serta bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.” (Surah al-Hujurat: 13)

Oleh itu, semua pihak perlu berperanan memelihara keharmonian antara kaum dan agama yang telah sekian lama menjadi tunjang kekuatan negara kita. Sebarang tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan, kebencian atau permusuhan antara kelompok masyarakat hendaklah dielakkan sama sekali.

Akhir sekali, HIKAM berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan yang menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab, selaras dengan peruntukan undang-undang.

Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
1. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
2. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)

Sekretariat HIKAM

Azizuddin Ahmad
Setiausaha Agung WADAH

Mohd Hafiz Abd Hamid
Setiausaha Agung IKRAM

Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri
Setiausaha Agung ABIM

Mohd Sabbri Md Yudin
Setiausaha Agung HALUAN

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia