Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) menyatakan kebimbangan yang amat mendalam terhadap peningkatan ketegangan serta insiden ketenteraan yang berlaku antara Pakistan dan Afghanistan.
Perkembangan ini berisiko mencetuskan konflik yang lebih luas dan mengorbankan lebih ramai nyawa, khususnya dalam kalangan orang awam yang tidak bersalah.
Sebagai dua negara majoriti Muslim yang diikat oleh sejarah panjang, hubungan budaya dan persaudaraan akidah, pertumpahan darah antara kedua-duanya adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.
Konflik bersenjata bukan sahaja menggugat kestabilan keselamatan serantau, malah membuka ruang kepada ketidaktentuan geopolitik yang boleh dimanfaatkan oleh pihak-pihak berkepentingan luar. Dalam keadaan dunia Islam berdepan pelbagai cabaran, perpecahan dalaman hanya akan melemahkan kekuatan dan solidariti ummah.
Allah SWT berfirman:
“Dan jika ada dua golongan daripada orang-orang beriman berperang, maka damaikanlah antara kedua-duanya…” (Surah al-Hujurat: 9)
Ayat ini menjadi asas jelas bahawa usaha mendamaikan pihak yang bertelagah adalah satu tanggungjawab yang wajib diutamakan.
Sehubungan itu, HIKAM menyeru kepimpinan kedua-dua negara agar:
1. Mengisytiharkan gencatan senjata segera bagi menghentikan sebarang operasi ketenteraan.
2. Mengaktifkan saluran diplomatik sepenuhnya untuk menyelesaikan isu melalui rundingan dan dialog.
3. Menubuhkan mekanisme bersama bagi menangani isu keselamatan sempadan secara berhemah dan berperingkat.
4. Memberi jaminan perlindungan kepada komuniti awam serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan.
HIKAM turut menggesa negara-negara Islam yang berpengaruh serta badan-badan serantau agar memainkan peranan sebagai pemudah cara perdamaian, demi memastikan konflik ini tidak berlarutan. Jalan damai bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan kematangan kepimpinan dan keutamaan terhadap kesejahteraan rakyat.
Kami juga menyeru umat Islam di seluruh dunia agar terus mendoakan keamanan, menolak sebarang bentuk provokasi, serta tidak terjebak dalam penyebaran maklumat yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
Sesungguhnya perdamaian adalah asas kepada kestabilan dan kemakmuran. HIKAM yakin bahawa dengan hikmah, kesabaran dan komitmen politik yang tulus, konflik ini dapat diselesaikan secara bermaruah tanpa pertumpahan darah yang berpanjangan.
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
1. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
2. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
Sekretariat HIKAM
Azizuddin Ahmad
Setiausaha Agung WADAH
Mohd Hafiz Abd Hamid
Setiausaha Agung IKRAM
Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri
Setiausaha Agung ABIM
Mohd Sabbri Md Yudin
Setiausaha Agung HALUAN




