KUALA LUMPUR – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah melakukan kunjungan hormat ke radio Zayan FM di pejabat Astro, Bukit Jalil pada Isnin, 23 Februari lalu.
Kunjungan ini bertujuan untuk berbincang dan meneroka potensi kerjasama dalam memperluaskan mesej Islam Rahmah kepada masyarakat melalui medium radio dan platform digital yang lebih dekat dengan rakyat.
Diketuai oleh Presiden IKRAM, Haji Badlishah Sham Baharin, kunjungan turut diiringi Setiausaha Agung, Mohd Hafiz Abd Hamid, Ustaz Nu’man Hani Jamal dan Ketua Jabatan Pendidikan Masyarakat, Dr Mohd Faridz Ismail.
Mereka disambut oleh pihak Astro yang diwakili oleh Pengurus Jenama Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor dan Pengurus Kandungan, Erman Zaki serta dua lagi penolong pengurus mereka.
Dalam pertemuan itu, Haji Badlishah memperkenalkan IKRAM secara ringkas dan turut menyatakan hasrat untuk berkolaborasi dengan Zayan FM. Astro pula berkongsi operasi dan pencapaian mereka hingga dapat menembusi sebahagian besar rakyat di negara ini.
Menurutnya, IKRAM melihat Zayan FM sebagai rakan strategik yang mempunyai kekuatan capaian dan pengalaman dalam menyampaikan kandungan yang positif, membina dan menyatukan.
“Alhamdulillah, sesi perbincangan berlangsung dalam suasana yang baik dan profesional. Terima kasih kepada Pengurus Zayan FM dan seluruh pasukan atas kesediaan untuk berbincang dan bertukar pandangan,” ujar beliau.
Menurut Dr Faridz, pada asasnya Zayan FM amat mengalu-alukan kehadiran IKRAM, bahkan meletakkan kepercayaan kepada IKRAM, sebuah NGO Islam yang disegani dan mempunyai kepelbagaian kepakaran dalam pelbagai bidang di negara ini.
Tambahnya, Astro dan Zayan FM juga mengharapkan kesesuaian kombinasi tersebut yang amat diperlukan untuk golongan belia, dan ini adalah sasaran mesej Islam dalam masyarakat di negara ini.
Kolaborasi antara IKRAM dan Zayan FM masih di peringkat perancangan awal. Moga segala usaha mendidik masyarakat ini dipermudahkan, seterusnya dapat direalisasikan dengan sebaiknya, insya-Allah.




