IKRAM dan WUIF Berkolaborasi Jayakan “Saff 12 Movement”

ikram

SHAH ALAM – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) telah memulakan langkah awal bertemu dan berdiskusi bersama dalam memperkasakan projek “Saff12 Movement” yang diilhamkan daripada penganjuran World #QuranConvention (WQC 2025) yang lalu.

Sesi sumbang saran semalam mengumpulkan golongan pakar, profesional dan pemikir IKRAM yang memfokuskan tadabbur Surah as-Saff dan pemetaan kepada “Saff 12 Movement”.

WUIF diwakili pengasasnya, Dato’ Hussamuddin Yaacub dan barisan kepimpinannya, manakala IKRAM diwakilI Presiden, Hj. Badlishah Sham Baharin, Jusni Yusoff (Timbalan Presiden), Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh (Ketua Wanita), Mohd Hafiz Abd. Hamid (Setiausaha Agung), dan beberapa Ahli JKP serta wakil-wakil daripada 12 institusi IKRAM.

Menurut Sinar Harian, Dato’ Hussamuddin berkata, sinergi antara kedua-dua pihak bagi menjayakan gagasan 12 Saff dilihat sebagai usaha yang mampu membawa Malaysia ke arah perubahan, bermula daripada generasi muda dengan penerapan ilmu dan didikan berteraskan al-Quran.

Beliau melahirkan keyakinan ini kerana IKRAM memiliki visi dan misi yang jelas, ilmu serta kepakaran ahli akademik yang cukup mengagumkan, malah mempunyai ribuan pelajar (IKRAM Musleh) yang bernaung di bawah pengurusannya.

“Bayangkan kalau kita boleh latih 20,000 pelajar itu dengan ilmu yang diturunkan daripada ahli IKRAM, insya-Allah 10 hingga 15 tahun lagi, Malaysia akan berubah. Kita akan menjadi ‘catalyst’ kepada perubahan,” jelas beliau semasa bengkel “Projek 12 Saff: Brainstorming WUIF-IKRAM” di sini.

Strategi 12 Saff merupakan model kerangka 12 wilayah ekonomi (Saff) sebagai usaha untuk merangka solusi pembangunan ekonomi global berlandaskan wahyu dan panduan al-Quran, merangkumi sektor kesihatan, pendidikan, kewangan Islam dan keselamatan makanan.

Selain itu, inovasi teknologi, pembangunan belia, seni dan budaya, pembangunan Wanita, kelestarian alam sekitar, ekonomi halal dan keusahawanan, pembangunan komuniti serta tadbir urus berintegriti yang memberi kesan langsung bukan sahaja kepada kesejahteraan masyarakat, bahkan kemajuan negara.

Dalam pada itu, Hj Badlishah Sham berharap pembabitan pihaknya ke dalam projek 12 Saff ini dapat menyumbang peranan besar dari segi buah fikiran dan kepakaran ahli-ahli IKRAM agar projek yang dilaksanakan berimpak tinggi serta mampu meninggalkan kesan kepada masyarakat dan negara.

Tambahnya, rumusan perbincangan itu disifatkan sebagai amat positif, ditambah pula penerangan daripada Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail sejajar dengan apa yang kedua-dua pihak ingin realisasikan.

Bagi beliau, perbincangan bersama ini menjurus kepada apa yang IKRAM telah lakukan dan bagaimana ia berpadanan dengan kerangka kerja ‘Heaven To Earth’ (HTE), merujuk mesej al-Quran, nilai yang boleh diambil dan apakah ilmu yang dikembangkan daripadanya, seterusnya inovasi projek yang boleh dilakukan daripada ilmu tersebut. 

Semoga perancangan yang rapi projek “12 Saff Movement” antara WUIF dan IKRAM ini akan berjaya direalisasikan, sekali gus dapat memacu dan membangunkan agenda masyarakat MADANI bagi membawa Malaysia menjadi Negara Rahmah dan diberkati, insya-Allah.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia