SERI KEMBANGAN – Kerja dakwah adalah kerja berterusan dan ahli-ahli IKRAM perlu gigih melaksanakannya secara terbaik, di samping berpegang teguh dalam hubungan dengan Allah SWT, menurut Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Hj Badlishah Sham Baharin.
“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya, Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim…” (Surah al-Hajj: 78)
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena persidangan Dewan Perwakilan Nasional (DPN) ke-17 di sini, pada Sabtu, 7 Februari lalu.
Tambahnya, cabaran ke hadapan adalah lebih besar, malah lebih susah dan panjang, seterusnya beliau menggesa semua ahli untuk meneruskan usaha dakwah dan menguatkan persediaannya.
Beliau turut mengajak ahli untuk membaca dan mentadabbur al-Quran agar ia menjadi kekuatan serta panduan hidup dan dakwah.
Jelasnya, selain kerja-kerja dakwah, IKRAM akan meneruskan lagi perjuangan untuk ummah sejagat di negara-negara lain juga, dalam aspek libat urus dan kolaborasi bersama NGO Islam di sana.
Presiden IKRAM turut memuji Wanita IKRAM dan IKRAM Muda yang memainkan peranan besar untuk terus menjayakan agenda IKRAM melalui pelaksanaan program-program di pelbagai peringkat.
Beliau juga memuji JK Hal Ehwal Mahasiswa (HEMA) dan JK Hal Ehwal Luar Negara (IMAN) yang berjaya meningkat dan mengembangkan usaha dakwah untuk mahasiswa di dalam dan luar negara.
Dalam konteks tarbiah dan modal insan ujarnya, IKRAM akan terus membangunkan jiwa dengan tujuan melahirkan ahli yang menguasai kefahaman dan matlamat perjuangan, tinggi komitmen serta memiliki kepimpinan efektif bagi memikul tanggungjawab dakwah dan islah.
Selain itu, program Sijil Pengajian Islam Lanjutan (SPIL), sijil pengajian yang diiktiraf, adalah satu inisiatif memperkukuh pendidikan Islam secara berstruktur, sistematik dan diiktiraf di peringkat nasional, yang bertujuan memperkasa kefahaman dalam bidang teras pengajian Islam.
Dalam pada itu, tambah beliau lagi, program Pembangunan Nuqaba dan Murabbi dengan tema “Nuqaba dan Murabbi, Pemangkin Perubahan Gemilang” sedang dilaksanakan di seluruh negara dalam melahirkan barisan nuqaba yang kompeten dalam gerak kerja usrah, pentarbiahan dan merealisasikan agenda IKRAM.
Hj Badlishah Sham turut merakamkan penghargaan atas usaha JK Agenda Nasional yang berjaya melancarkan Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) 2025 dan usaha JK Pendidikan Masyarakat dengan pemasyhuran pendekatan Asas Islam Rahmah (AISAR) yang memerlukan peranan aktif untuk menjayakannya.
Dalam ucapannya, beliau juga menekankan komitmen IKRAM untuk mempertingkatkan kerjasama dan kolaborasi dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi mencapai matlamat pembinaan Malaysia Negara Rahmah.
“Tiada masa untuk kita beri alasan. Inilah masa untuk kita beramal sebaik mungkin,” tegasnya.
Beliau mengakhiri ucapan dengan menuntut sumbangan besar ahli untuk menjayakan Rancangan IKRAM 2024-2027.
“Jika bukan kita, siapa? Jika bukan sekarang, bila?” soalnya.
Persidangan DPN ke-17 ini adalah sidang terakhir bagi sesi 2022-2026, yang melibatkan pembentangan pelbagai laporan perkembangan operasi IKRAM sepanjang tahun lalu, perbahasan usul berkaitan dan maklum balas untuk meningkatkan keberkesanan dakwah dan aktivisme pada masa akan datang.
Selepas persidangan ini, IKRAM akan melalui tempoh pemilihan Ahli-ahli DPN baharu bagi sesi 2026-2030, seterusnya pelantikan pimpinan tertinggi IKRAM baharu yang dirancang dilaksanakan sepanjang bulan ini.




