Deretan isu nasional yang berulang sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin mengukuhkan satu persoalan besar yang tidak lagi boleh dielakkan: adakah masalah tadbir urus negara berpunca daripada segelintir individu yang gagal berintegriti, atau sebenarnya mencerminkan kegagalan sistemik yang telah lama dibiarkan berakar?
Skandal kewangan berskala besar seperti 1MDB, kes pengubahan wang haram melalui akaun parti politik dan ahli politik, kemelut kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), salah guna dana derma serta persoalan tadbir urus korporat dan perolehan awam termasuk di institusi pengajian tinggi awam, semuanya bukan insiden terpencil.
Apabila pola yang sama berulang dalam pelbagai sektor dan institusi, naratif kesalahan individu tertentu sahaja menjadi semakin tidak meyakinkan. Isu-isu ini sebaliknya mendedahkan kelemahan struktur, longgarnya mekanisme semak dan imbang, serta penghakisan nilai amanah dalam pengurusan kuasa.
Rasuah: Masalah sistem?
Apabila seorang pegawai kerajaan didakwa menerima rasuah melebihi jutaan ringgit dan menggunakan hasil jenayah itu untuk kepentingan peribadi, persoalan terpenting bukan lagi “siapa yang bersalah”, tetapi “mengapa sistem gagal mengesan, menghalang dan menghentikannya lebih awal”.
Rasuah jarang berlaku secara spontan. Ia tumbuh subur dalam ekosistem yang membenarkan konflik kepentingan, ketidaktelusan dan budaya takut menegur. Dalam konteks ini, titah Yang di-Pertuan Agong mengenai penubuhan Mahkamah Tinggi Khas Rasuah harus dilihat sebagai isyarat jelas bahawa pendekatan sedia ada tidak lagi memadai.
Ia adalah pengakuan tersirat bahawa sistem penguatkuasaan dan kehakiman sedia ada memerlukan pengukuhan luar biasa untuk memulihkan keyakinan rakyat.
Skandal 1MDB kekal sebagai simbol paling jelas kegagalan tadbir urus moden negara. Ia memperlihatkan bagaimana kuasa politik, kepentingan ekonomi dan kelemahan institusi boleh berpadu sehingga menghasilkan kerosakan sistemik berskala besar.
Kesan skandal ini bukan sekadar kerugian kewangan berbilion ringgit, tetapi kemerosotan reputasi negara dan hakisan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam. Hakikatnya, memulihkan kepercayaan awam jauh lebih sukar daripada memulihkan angka kewangan.
Isu pembiayaan politik dan pengurusan yayasan pula menambah satu lagi lapisan kebimbangan. Apabila dana awam, sumbangan peribadi dan pengaruh politik bertindih tanpa garis pemisah yang jelas, ruang salah guna kuasa terbuka luas.
Akhirnya, ketelusan hanya menjadi slogan, manakala kebertanggungjawaban pula berhenti pada kenyataan media. Tanpa kerangka kawal selia yang tegas dan penguatkuasaan yang konsisten, reformasi akan terus bersifat kosmetik.
Institusi dipalit soal integriti
Dalam dimensi yang berbeza, kemelut kepimpinan tertinggi ATM mengingatkan bahawa tadbir urus bukan sekadar soal akaun dan prosedur. Ia menyentuh pengurusan manusia, struktur autoriti dan budaya profesionalisme dalam institusi strategik negara.
Angkatan tentera adalah simbol kedaulatan, disiplin dan kepercayaan rakyat. Sebarang kecacatan dalam tatakelola kepemimpinannya memberi kesan langsung terhadap moral anggota dan keyakinan awam – satu risiko yang tidak boleh dipandang ringan.
Begitu juga isu perolehan awam dan tadbir urus korporat, termasuk yang melibatkan universiti awam. Proses tender yang tidak telus, keputusan yang sukar diaudit dan budaya “asal ikut peraturan” tanpa roh integriti akhirnya merosakkan tujuan asal perolehan awam, iaitu melindungi kepentingan rakyat. Apabila institusi ilmu sendiri dipalit persoalan integriti, mesej yang dihantar kepada masyarakat dan generasi muda amat membimbangkan.
Kebimbangan ini disokong oleh dapatan Kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah 2025 (IMNR 2025). Walaupun skor keseluruhan negara berada pada tahap sederhana, dimensi Politik yang merangkumi Kepimpinan dan Tadbir Urus mencatat skor paling rendah berbanding dimensi Sosial dan Ekonomi.
Lebih signifikan, tiga ciri utama di bawah dimensi ini merekodkan skor yang rendah dengan skala maksimum 10: Sistem Pemerintahan Berasaskan Semak dan Imbang yang Berkesan (6.95), Tadbir Urus yang Baik (6.99), serta Penguatkuasaan Undang-Undang yang Adil (6.98). Angka-angka ini mencerminkan persepsi rakyat bahawa masalah tadbir urus negara bersifat struktural, bukan insidental.
Langkah penubuhan Mahkamah Tinggi Khas Rasuah
Penubuhan Mahkamah Tinggi Khas Rasuah wajar disambut sebagai langkah ke hadapan, khususnya dalam mempercepatkan pendengaran kes dan mengurangkan ruang manipulasi prosedur. Namun, mahkamah khas ini tidak boleh dijadikan jawapan tunggal.
Tanpa reformasi menyeluruh terhadap sistem pelantikan, budaya organisasi, perlindungan kebebasan institusi dan keberanian politik untuk membenarkan undang-undang berfungsi tanpa campur tangan, langkah ini berisiko menjadi simbol tanpa taring.
Tadbir urus negara yang baik menuntut lebih daripada sekadar laungan retorik; ia menuntut iltizam bersama untuk membina sistem yang telus, mampan dan berteraskan nilai.
Sistem yang baik mesti mampu berfungsi walaupun individu bertukar ganti. Ia perlu tahan diuji oleh perubahan kuasa dan tekanan politik, serta berasaskan semak dan imbang yang berkesan, bukan kebergantungan kepada niat baik individu semata-mata.
Dalam kerangka nilai, rasuah dan salah guna kuasa bukan sekadar pelanggaran undang-undang, tetapi pengkhianatan terhadap amanah dan maruah insan. Sejarah membuktikan bahawa tamadun runtuh bukan kerana kekurangan sumber, tetapi akibat keruntuhan nilai dalam kepimpinan dan institusinya.
Negara yang gagal memelihara maruah ini akan kehilangan legitimasi moralnya, walaupun mencatat pertumbuhan ekonomi atau pembangunan fizikal yang mengagumkan.
Di sinilah peranan masyarakat sivil, institusi agama, ahli akademik dan rakyat keseluruhan menjadi penentu. Tekanan berterusan untuk reformasi, keberanian menegur penyimpangan dan kesediaan membina budaya baharu yang menolak rasuah sebagai norma mesti digerakkan secara kolektif.
Jika kegagalan sistem terus dinafikan dan segala kesalahan disandarkan kepada individu semata-mata, negara akan terus membayar harga yang mahal, bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi dari segi maruah dan kepercayaan rakyat.
Prof. Dr. Hanim Salleh
Naib Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




