Negara Rahmah adalah suatu aspirasi Malaysia berteraskan nilai-nilai masyarakat MADANI, yang menekankan kehidupan harmoni, saling menghormati dan bekerjasama dalam membangunkan negara yang aman, makmur dan sejahtera, dalam kepelbagaian agama, bangsa dan budaya. Ia selaras dengan gagasan Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur (Negara yang Baik dan Tuhan Maha Pengampun).
Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) telah dibangunkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia sebagai instrumen bagi menilai tahap kemajuan Malaysia dalam merealisasikan aspirasi sebagai sebuah Negara Rahmah. Sejak pelaksanaannya pada tahun 2021, IMNR telah melalui beberapa proses penambahbaikan. IMNR edisi 2025 (IMNR 2025) telah disusun semula dalam tiga dimensi utama, iaitu Politik, Ekonomi dan Sosial, yang merangkumi 15 ciri, 40 indikator dan 120 item penilaian.
Penambahbaikan ini menjadikan IMNR lebih komprehensif dan holistik, selari dengan perkembangan semasa serta berpandukan kerangka MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Indeks ini telah dibangunkan dengan penglibatan beberapa agensi kerajaan, pertubuhan sivil, masyarakat madani daripada pelbagai agama dan etnik, serta ahli akademik pelbagai bidang.
Kajian ini menggunakan kaedah persampelan kluster dua peringkat. Kaji selidik telah dilaksanakan pada 26 September sehingga 15 November 2025. Saiz sampel bagi setiap negeri ditentukan secara berkadar berasaskan taburan populasi. Pemilihan kluster daerah dan lokaliti dibuat secara rawak melibatkan kawasan bandar dan luar bandar.
Kajian ini melibatkan 3,030 responden yang berusia 18 tahun ke atas dan berpendidikan pasca-SPM daripada masyarakat berbilang kaum dan latar belakang. Soal selidik dibangunkan dalam bahasa Melayu dan digunakan untuk mengukur persepsi masyarakat Malaysia. Semakin tinggi nilai skor yang direkodkan, maka semakin tinggi tahap Negara Rahmah.
Skor keseluruhan bagi IMNR 2025 adalah sebanyak 7.42 dan berada pada tahap sederhana. Ia merupakan peningkatan pencapaian apabila dibandingkan dengan skor IMNR 2023 (7.24), IMNR 2022 (6.47) dan IMNR 2021 (6.09). Dimensi Sosial mencatatkan skor tertinggi iaitu sebanyak 8.03, diikuti dengan Dimensi Ekonomi (7.13) dan Dimensi Politik (7.08).
Kajian ini mendapati tiga ciri yang mempunyai skor tertinggi direkodkan oleh Ciri 6: Institusi Keluarga yang Utuh (8.51), diikuti Ciri 5: Masyarakat yang Bahagia, Berakhlak dan Penyayang (8.22) serta Ciri 7: Hubungan Harmoni antara Pelbagai Etnik dan Penganut Agama (8.04). Manakala, tiga ciri dengan skor terendah dicatatkan bagi Ciri 9: Agihan Kekayaan yang Saksama (6.78), Ciri 8: Ekonomi yang Mampan (6.94) dan Ciri 2: Sistem Pemerintahan yang Berasaskan Semak dan Imbang yang Berkesan (6.95).
Kesimpulannya, IMNR 2025 menunjukkan perkembangan positif ke arah mencapai wawasan Malaysia Negara Rahmah bersesuaian dengan hasrat kerajaan MADANI. IMNR 2025 diharapkan dapat dijadikan penanda aras dalam menilai keberkesanan pelaksanaan dasar, mengenal pasti jurang antara perancangan dan impak sebenar, serta memperkukuh kepercayaan rakyat melalui pendekatan yang lebih telus dalam usaha membangunkan negara secara holistik.
Pertubuhan IKRAM Malaysia




