Tahun Baharu: Muhasabah Diri dari Lensa Masa & Kaizen

tahun baharu

Setiap tahun baharu hadir sebagai satu titik hentian yang mengajak kita berfikir: ke manakah arah hidup aku sedang bergerak? Kitaran tahun bukan sekadar perubahan tarikh, tetapi satu mekanisme semula jadi yang membantu manusia membuat penilaian, penyesuaian dan pembaikan dalam kehidupan.

Bagi yang berfikir, tahun baharu bukan hanya sekadar waktu mengenang usia yang meningkat atau menanti upacara sambutan yang hangat, tetapi lebih daripada itu. Kehadiran tahun baharu adalah masa paling tepat untuk bermuhasabah dengan “masa” sebagai salah satu ciptaan Yang Maha Esa. 

Dalam Islam, masa bukan sahaja menjadi latar belakang kehidupan manusia, malah masa itu sendiri adalah sebuah ciptaan yang punya peranan. Kepentingan masa dalam kehidupan ini dirakam dalam Surah al-‘Asr.

Apabila Allah SWT bersumpah “Demi masa”, ia membawa mesej bahawa masa bukan sekadar berlalu, tetapi sedang “menilai” manusia. Setiap insan berada dalam kerugian, kecuali mereka yang menggunakan masa untuk iman, amal soleh, kebenaran dan kesabaran.

Ia bermakna, untuk mengelakkan kerugian, manusia mestilah pandai mengisi masa yang menjadi sarung kehidupannya. Panduan untuk mengisi kehidupan dipandu oleh syarak dengan pelbagai cara.

Dalam surah yang sama, ada saranannya iaitu keimanan yang benar kepada Allah SWT, amal soleh dan kebaikan kepada manusia dan makhluk yang lain. Peringatan yang penting juga di akhir surah, iaitu berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. 

Benar dan sabar sendi kehidupan 

Konsep “benar” berperanan sebagai kompas moral dalam kehidupan. Ia membimbing manusia untuk berfikir, bercakap dan bertindak berasaskan keadilan, kejujuran dan integriti.

Dalam dunia yang sarat dengan maklumat bercampur kepentingan, kebenaran membantu manusia membezakan antara yang hak dan yang batil. Tanpa komitmen kepada kebenaran, manusia mudah terjerumus dalam penipuan, rasionalisasi dosa dan normalisasi ketidakadilan. 

Namun, kebenaran sahaja tidak mencukupi tanpa sabar. Sabar berfungsi sebagai kekuatan dalaman yang membolehkan manusia kekal berpegang pada kebenaran, walaupun berdepan tekanan, kesukaran dan penolakan.

Di sinilah sabar menjadi benteng emosi dan spiritual agar manusia tidak menggadaikan prinsip demi keselesaan jangka pendek.

Dalam kehidupan seharian, sabar juga memainkan peranan besar dalam mengurus emosi dan realiti hidup. Tidak semua usaha membuahkan hasil segera, tidak semua doa dijawab seperti yang diharapkan, dan tidak semua hubungan berjalan lancar. 

Sabar mengajar manusia untuk bertenang tanpa berputus asa, berusaha tanpa tergesa-gesa, dan menerima ketentuan tanpa kehilangan harapan. Ia bukan sikap pasif, tetapi keteguhan untuk terus bergerak walaupun perlahan.

Apabila benar dan sabar digabungkan, lahirlah keseimbangan yang sihat dalam kehidupan manusia. Benar memastikan arah hidup tidak tersasar, manakala sabar memastikan perjalanan menuju arah itu dapat diteruskan.

Kebenaran tanpa kesabaran boleh melahirkan sikap keras dan tergesa-gesa, manakala kesabaran tanpa kebenaran boleh berubah menjadi kompromi terhadap prinsip.

Tidak hairanlah kedua-dua nilai ini disebut bersama dalam Surah al-‘Asr sebagai ciri manusia yang tidak rugi. Ia menggambarkan bahawa kehidupan yang berjaya bukan hanya tentang pencapaian, tetapi tentang keteguhan nilai dalam menghadapi masa. 

Dalam dunia yang sentiasa berubah, benar dan sabar menjadi asas yang menstabilkan manusia agar kekal waras, beretika dan bermakna.

KAIZEN: Istiqamah dan Islah

Masyarakat Jepun mewarisi satu konsep yang sangat bernilai iaitu Kaizen. Kaizen merupakan falsafah penambahbaikan berterusan yang menekankan perubahan kecil tetapi konsisten.

Kaizen mengajar bahawa kemajuan sebenar tidak berlaku melalui lonjakan besar yang mendadak, tetapi melalui langkah kecil yang dilakukan secara berterusan. Inilah hakikat kehidupan yang digambarkan oleh Surah al-‘Asr.

Kerugian manusia bukan kerana kegagalan besar semata-mata, tetapi kerana kelalaian harian, pembaziran masa kecil yang dibiarkan berulang-ulang sehingga membentuk kerugian jangka panjang.

Dalam konteks tahun baharu, kaizen mengajak kita melihat perubahan hidup secara lebih realistik dan berdisiplin. Daripada memasang azam besar yang sukar dipertahankan, Islam mengajar agar masa diisi dengan amal yang konsisten, walaupun kecil.

Setahun yang baik bukan diukur melalui pencapaian luar biasa, tetapi melalui peningkatan kualiti iman, akhlak dan sumbangan berbanding tahun sebelumnya.

Budaya kaizen bukanlah sesuatu yang baharu dalam Islam. Rasulullah SAW telah mengajar kita tentang dua perkara yang serupa dengan kaizen iaitu istiqamah dan islah. Melakukan penambahbaikan secara konsisten ialah kunci kepada kaizen

Kitaran tahun, apabila difahami melalui lensa masa dan kaizen, mengajar kita satu perkara penting: hidup yang bermakna ialah hidup yang sentiasa diperbaiki.

Tidak perlu menunggu sempurna untuk berubah, dan tidak perlu menunggu krisis besar untuk bermuhasabah. Setiap tahun, setiap bulan, bahkan setiap hari adalah ruang penambahbaikan.

Akhirnya, tahun baharu bukan janji kejayaan automatik. Ia hanyalah penanda masa. Yang menentukan untung atau rugi ialah bagaimana manusia memanfaatkan masa tersebut sedikit demi sedikit, dengan sedar, berterusan dan berpaksikan nilai.

Sudah tiba masanya untuk kita umat Islam mula berbangga dengan ajaran dan konsep-konsep yang ada dalam Islam. Berbangga sahaja tidak cukup, ia perlu diamalkan dan diuar-uarkan hingga menjadi warisan kepada anak cucu kita.

Seperti peringatan Surah al-‘Asr, masa sentiasa bergerak; persoalannya, adakah kita turut bergerak ke arah yang lebih baik?

Prof. Madya Dr. Hamidah Mat
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia