Krisis Global: Bina Keadilan, Bijak Urus Kepelbagaian

global

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, peta geopolitik dunia semakin menyerlahkan satu realiti yang membimbangkan.

Tekanan politik, ekonomi dan ketenteraan melibatkan Amerika Syarikat dan Iran, tindakan unilateral kuasa besar terhadap negara kaya sumber seperti Venezuela, perbincangan terbuka mengenai penguasaan wilayah strategik seperti Greenland, serta ketidakupayaan institusi antarabangsa mengekang keganasan berpanjangan di Gaza dan konflik di Ukraine, semuanya mencerminkan satu pola yang sama iaitu dunia hari ini lebih ditentukan oleh kekuatan, bukan keadilan.

Atas nama keselamatan negara, kepentingan strategik dan “aturan antarabangsa”, prinsip kedaulatan sering diketepikan, lalu kuasa digunakan sebagai alat legitimasi, bukan undang-undang sebagai sempadan. 

Undang-undang antarabangsa dikuatkuasakan secara terpilih. Hak asasi manusia dipertahankan dalam perbincangan, tetapi digugurkan dalam tindakan. Dalam realiti ini, kuasa politik dan ketenteraan bukan sahaja mencabar norma antarabangsa, malah semakin berani menguji had moral dunia.

Lebih membimbangkan, perkembangan ini bukan sekadar siri krisis terasing. Ia menandakan keruntuhan keyakinan terhadap sistem global sedia ada, satu sistem yang lahir pasca-Perang Dunia Kedua dengan janji keamanan, keadilan dan keteraturan, tetapi kini semakin gagal melindungi golongan tertindas dan negara kecil daripada dominasi kuasa besar.

Baca lagi: https://ikram.org.my/kehidupan-asrama-kezaliman-netizen-di-media-sosial/

Institusi global kelihatan lumpuh, terikat dengan struktur lama yang memberi kelebihan kepada segelintir, sambil menafikan suara majoriti umat manusia.

Dalam konteks inilah, persoalan tentang keadilan global tidak lagi boleh dianggap idealisme moral atau perbahasan akademik. Ia adalah persoalan survival tamadun.

Jika undang-undang hanya berfungsi apabila selari dengan kepentingan kuasa, dan keadilan hanya ditegakkan apabila menguntungkan pihak tertentu, maka dunia sedang bergerak ke arah ketidakseimbangan yang berbahaya, bukan sahaja dari sudut politik dan ekonomi, tetapi juga dari segi moral dan kemanusiaan.

Kesedaran inilah yang mendorong para pemikir, aktivis dan pemimpin masyarakat sivil dari pelbagai latar belakang berhimpun dalam International Roundtable di Lahore pada November 2025, yang kemudiannya melahirkan satu Joint Communiqué tentang “Pencarian ke Arah Sistem Global yang Adil”.

Dokumen ini bukan sekadar kenyataan bersama, tetapi cabaran terbuka terhadap tatanan dunia sedia ada yang berasaskan hegemoni, eksploitasi dan ketidakseimbangan kuasa.

Joint Communiqué tersebut menegaskan bahawa krisis dunia hari ini bukan hanya berpunca daripada kegagalan institusi, tetapi daripada asas moral dan falsafah global yang rosak.

Dunia tidak sekadar memerlukan pembaharuan struktur, tetapi satu anjakan paradigma, daripada sistem yang memuliakan dominasi kepada sistem yang berteraskan keadilan, kesaksamaan, maruah insan dan tanggungjawab bersama.

Telah menjadi satu keperluan mendesak yang menuntut keberanian untuk mencabar hegemoni, kebijaksanaan untuk membina tadbir urus yang adil dan komitmen moral untuk meletakkan kemanusiaan di atas kepentingan geopolitik sempit. 

Persoalannya kini bukan sama ada dunia memerlukan sistem global yang adil, tetapi sama ada kita bersedia untuk memperjuangkannya.

Sistem lama yang semakin kehilangan legitimasi

Perlu diakui bahawa sistem global sedia ada tidak rosak secara kebetulan, tetapi pincang sejak dari asas pembentukannya. Tatanan dunia pasca-Perang Dunia Kedua dibina atas kompromi kuasa, bukan keadilan sejagat. Ia melahirkan institusi yang kononnya mewakili masyarakat antarabangsa, tetapi pada masa sama mengekalkan hierarki kuasa yang membolehkan segelintir negara menentukan nasib dunia.

Inilah sebabnya veto terus dipertahankan, suara negara membangun sering dipinggirkan, dan penderitaan manusia di sesetengah wilayah dianggap “pengorbanan” yang boleh diterima demi kepentingan geopolitik. Apabila institusi global gagal bertindak secara konsisten dan berprinsip, ia bukan sahaja kehilangan keberkesanan, malah kehilangan legitimasi moral.

Justeru, krisis demi krisis yang berlaku hari ini bukan tanda kegagalan sementara, tetapi simptom kepada sistem yang semakin tidak relevan dengan realiti dan nilai kemanusiaan sejagat.

Dominasi ekonomi dan perebutan sumber sebagai akar konflik

Di sebalik naratif keselamatan dan kestabilan global, banyak konflik kontemporari berakar pada isu lama yang belum diselesaikan iaitu penguasaan sumber dan ketidakseimbangan ekonomi global. Negara kaya sumber sering menjadi sasaran tekanan, sekatan atau campur tangan, bukan kerana kegagalan moral mereka semata-mata, tetapi kerana nilai strategik yang mereka miliki.

Sistem ekonomi global yang tidak adil membolehkan eksploitasi ini berlaku secara berstruktur. Perdagangan tidak seimbang, hutang yang menjerat dan dominasi korporat multinasional menjadikan banyak negara membangun terperangkap dalam kitaran kebergantungan. Dalam keadaan ini, kemerdekaan politik tidak semestinya membawa kebebasan ekonomi, apatah lagi keadilan sosial.

Jelas sekali bahawa ketidaksamaan global bukan fenomena semula jadi, tetapi hasil sistem yang direka untuk mengekalkan dominasi segelintir pihak ke atas majoriti manusia.

Mengapa reformasi kosmetik tidak lagi mencukupi? 

Sering kali, jawapan yang diberikan kepada krisis global ialah “reformasi institusi”. Namun persoalan pentingnya ialah reformasi untuk siapa dan sejauh mana? Selagi struktur asas yang memberi kelebihan tidak seimbang kepada kuasa tertentu tidak disentuh, pembaharuan hanya akan bersifat kosmetik.

Cabaran sebenar bukan sekadar memperbaiki prosedur atau menambah perwakilan simbolik, tetapi mentakrif semula asas moral dan falsafah tadbir urus global. Dunia tidak memerlukan sistem yang lebih cekap mengekalkan ketidaksamaan, tetapi sistem yang berani membetulkan ketidakadilan.

Tanpa perubahan nilai, sebarang pembaharuan struktur hanya akan mengulang kegagalan lama dalam bentuk baharu.

Langkah-langkah praktikal ke arah dunia yang lebih adil

Keadilan global hanya dapat ditegakkan apabila prinsip moral seperti keadilan, maruah insan dan kesaksamaan digandingkan dengan nilai kerohanian seperti kasih sayang, perpaduan dan penghormatan terhadap nyawa manusia. Tanpa asas ini, tadbir urus global akan terus berfungsi sebagai alat dominasi kuasa, bukan wahana kesejahteraan manusia.

Namun nilai yang tidak diterjemahkan kepada tindakan akan kekal sebagai retorik. Justeru, langkah pertama yang mendesak ialah pembinaan satu Piagam Dunia yang Adil, suatu kerangka etika bersama yang berteraskan nilai moral dan kerohanian sejagat. 

Piagam ini bukan bertujuan menggantikan undang-undang antarabangsa, tetapi berfungsi sebagai kompas etika global yang inklusif dan boleh diterima merentas agama, budaya dan ideologi. Dalam dunia yang semakin terpecah, keperluan kepada rujukan nilai bersama menjadi semakin kritikal.

Pemikir Islam tersohor, Ibnu Khaldun telah lama menegaskan bahawa kelangsungan sesebuah tamadun bergantung kepada kesepaduan sosial dan kompas moral yang kukuh.

Gabungan inilah yang melahirkan keadilan, kemakmuran ekonomi, tadbir urus yang baik dan kepimpinan berwibawa. Sejarah membuktikan bahawa tamadun yang dibina atas nilai mampu bertahan lebih lama berbanding tamadun yang bersandar semata-mata kepada kekuatan kuasa.

Berteraskan piagam ini, sebuah gerakan global yang inklusif perlu dibangunkan. Ia perlu melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar agama atau tamadun. Keadilan global tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana blok geopolitik.

Gerakan ini berperanan mencabar ketidakadilan yang telah dinormalisasikan, sambil memperkenalkan alternatif yang lebih adil dan berperikemanusiaan. Ia menuntut keberanian moral untuk menolak naratif dominan yang sering menyamakan keadilan dengan kepentingan kuasa.

Pelaburan kepada generasi muda, khususnya Generasi Z, menjadi keutamaan dalam menggerakkan perubahan ini. Dalam dunia yang semakin skeptikal terhadap institusi lama, belia memiliki tenaga sosial dan kelebihan moral untuk menggerakkan perubahan dari bawah. 

Pembinaan pemimpin muda yang berprinsip, kritikal dan berani bersuara tentang keadilan bukan sekadar pelaburan sosial, tetapi pelaburan jangka panjang demi kelangsungan tamadun. Sejarah berulang kali membuktikan bahawa kuasa rakyat yang digerakkan oleh kesedaran moral mampu memaksa perubahan walaupun dalam sistem yang kelihatan beku dan keras.

Dalam masa yang sama, advokasi terhadap kerajaan tidak boleh diketepikan. Negara masih menjadi watak utama dalam menentukan hala tuju global. Tekanan masyarakat sivil, gabungan antarabangsa dan suara moral kolektif perlu digerakkan bagi menggesa kerajaan menyertai usaha membentuk sistem global yang lebih adil.

Keadilan global tidak akan lahir melalui retorik diplomatik semata-mata, tetapi memerlukan iltizam politik yang berani untuk meletakkan kemanusiaan mengatasi kepentingan sempit.

Dialog antara agama turut memainkan peranan penting sebagai jambatan moral dalam dunia yang terpecah oleh konflik identiti. Walaupun agama sering disalahgunakan sebagai alasan perpecahan, hakikatnya tradisi kerohanian dunia berkongsi nilai teras yang sama seperti keadilan, kasih sayang, kebijaksanaan dan perpaduan.

Dialog antara pemimpin agama dan tokoh kerohanian bukan untuk menyeragamkan kepercayaan, tetapi untuk membina kesepakatan moral sebagai asas kepada keamanan sejagat.

Kesemua langkah ini bertolak daripada satu visi jelas iaitu membina dunia yang adil bukan diukur oleh ketiadaan perbezaan atau keagungan kuasa, tetapi oleh kebijaksanaan mengurus kepelbagaian, kematangan membimbing kemajuan dan kesungguhan mengangkat maruah setiap insan.

Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia