Kehidupan Asrama: “Kezaliman” Netizen di Media Sosial

pelajar asrama

Akhir-akhir ini, masyarakat semakin dihujani pelbagai testimoni negatif tentang kehidupan asrama.

Media sosial pula dipenuhi cerita tentang tekanan emosi, penderaan disiplin, buli dan pengalaman traumatik yang dialami oleh bekas pelajar menyebabkan timbul ketakutan yang besar, khususnya dalam kalangan ibu bapa, kepada sistem asrama, sehingga ramai mula meragui kewajaran menghantar anak terutamanya ke asrama pendidikan Islam. 

Malangnya, tiada sistem pendidikan kepimpinan alternatif yang ditawarkan menyebabkan timbul ancaman baharu pula, iaitu krisis kelelakian yang kian tampak hari demi hari.

Simptom krisis kelelakian ini dapat dilihat pada beberapa kes berikut seperti lelaki muda yang sangat mudah tercalar emosi mengakibatkan hubungan antara ayah dan anak lelaki semakin lemah, kekeliruan tentang peranan dalam keluarga serta masyarakat, alergik kepada autoriti dan takut bertanggungjawab yang akhirnya menyebabkan kepimpinan lelaki dilihat semakin pasif atau agresif tanpa petunjuk akal (hikmah) yang jelas.

Tetapi terdapat persoalan penting yang jarang dibincangkan, iaitu: Adakah testimoni negatif dan tekanan emosi di asrama ini berpunca daripada konsep asrama itu sendiri atau mungkin kerana cara asrama dilaksanakan hari ini kurang sesuai dengan psikologi generasi moden?

Media sosial punca ketidakseimbangan pandangan sosial

Seperti biasa, media sosial tidak berfungsi untuk memberi gambaran yang adil atau menyeluruh. Malah ia berfungsi berdasarkan perhatian. Kandungan yang cepat tular pula ialah kandungan yang dramatik, menyayat hati dan membangkitkan emosi. 

Oleh itu, pengalaman negatiflah yang lebih mudah mendapat tempat berbanding pengalaman biasa atau pengalaman positif. Tambahan lagi, orang yang berjaya dengan sistem asrama ini jarang bersuara.

Bagi mereka, kejayaan itu tidak datang dengan cara yang “mengejutkan” seperti yang dikehendaki oleh golongan netizen. Bahkan, tidak sikit juga yang terjadi, orang yang berjaya tidak mempunyai masa yang banyak untuk menghasilkan kandungan tular.

Hakikat sebenar yang perlu diakui ialah, ramai saja pemimpin keluarga, tokoh-tokoh institusi dan masyarakat yang lahir daripada sistem asrama, tetapi mereka tidak pernah menyebut pengalaman sukar di asrama itu sebagai “trauma yang berjaya diatasi”, bahkan mereka menyebutnya sebagai “latihan hidup yang akhirnya mencorak masa depan dan kepimpinan diri”. 

Ekoran daripada kurangnya perkongsian orang-orang berjaya ini, sebaliknya pula kisah penderitaan dan menyayat hati yang diulang-ulang melalui media sosial, masyarakat menjadi mangsa “maklumat berat sebelah” dan mula menganggap berita-berita tular ini sebagai gambaran umum.

Tidak dinafikan daripada pengalaman segelintir individu yang dibuli, trauma kesepian dan rasa terasing akibat berjauhan dengan keluarga, walaupun benar dan menyakitkan, akhirnya membentuk satu persepsi kolektif seolah-olah hidup di asrama hari ini pasti akan merosakkan anak.

Di sinilah berlakunya maklumat berat sebelah dan kesimpulan yang tidak objektif tentang manfaat asrama, bukan kerana cerita-cerita menyedihkan itu palsu, tetapi kerana ia dipisahkan daripada konteks dan perbandingan yang adil.

Jika masyarakat hanya menilai sesuatu melalui media sosial dan tidak membaca daripada sumber autoritatif, besar kemungkinan mereka tidak akan melihat sisi positif pembelajaran di asrama, lalu secara tidak langsung anak-anak mereka juga akan terhalang daripada mendapat pengajaran bermakna tentang hidup susah di asrama.

Tradisi asrama dalam Islam bukan sekadar tempat tinggal

Pendidikan berasrama bukan ciptaan moden tetapi tradisi klasik Islam demi melahirkan insan berilmu dan beradab dalam masa yang sama, bukan berkecemerlangan akademik semata-mata.

Sistem ini sudah diamalkan oleh al-Madrasah al-Nizamiyyah pada abad ke-11 yang melahirkan ulama-ulama agung seperti Imam al-Ghazali (1058M – 1111M) dan guru beliau sendiri, Imam al-Juwayni (1028M – 1085M). 

Di Eropah, terdapat beberapa sekolah elit seperti Eton College, Harrow School dan Winchester College di Britain yang melaksanakan pendidikan berasrama (boarding schools) bagi tujuan melahirkan gentlemen yang akan menjawat jawatan-jawatan penting seperti pegawai empayar dan pemimpin kolonial pada abad ke-18 hingga 19.

Antara nilai-nilai penting yang ditekankan dalam sistem pendidikan sekolah ini ialah disiplin, ketahanan fizikal dan mental juga kepatuhan kepada hierarki serta sistem.

Di Nusantara, pondok, pesantren dan madrasah telah lama menjadi pusat ilmu dan pembentukan akhlak. Pelajar tinggal bersama guru bukan untuk menderita atau “koyak emosi”, tetapi untuk belajar adab secara langsung, melatih kesabaran dan disiplin, membina jiwa yang tahan diuji serta membentuk kebergantungan kepada Allah, bukan keselesaan hidup di rumah bersama ibu bapa.

Perpisahan dengan keluarga dan ibu bapa adalah sementara dan dianggap sebagai sebahagian daripada tarbiah, bukan pengabaian! Ia dilakukan dengan tujuan, makna dan bimbingan yang jelas, bukan sekadar ikut-ikutan tanpa mengetahui asal-usul tradisi ini.

Asrama moden dan hilangnya asas epistemik tentang kepentingan asrama

Hakikat yang perlu diakui dengan jujur ialah banyak amalan asrama hari ini tidak lagi bertunjang kepada pengetahuan epistemik dan falsafah pendidikan yang jelas. Ia sering dilaksanakan secara ikut-ikutan, meniru bentuk tanpa memahami tujuan, mengekalkan disiplin tanpa roh tarbiah dan mengulang amalan lama tanpa kefahaman ilmu. Asrama dijadikan alat mendisiplinkan secara mekanikal dan ruang untuk “melepaskan” tanggungjawab pendidikan daripada keluarga. 

Hasilnya, asrama dipenuhi anak-anak bermasalah dan guru-guru yang tidak ikhlas mengajar, lantas akhirnya sistem itu mula mengawal kehidupan peribadi pelajar secara toksik tanpa penerapan kesedaran nilai dan hikmah seperti yang sepatutnya. 

Apabila disiplin diamalkan tanpa ilmu, autoriti tanpa hikmah, kesukaran hidup tanpa makna, maka asrama tidak lagi membina jiwa. Ia malah hanya melelahkan emosi. 

Keadaan inilah yang melahirkan pengalaman negatif dan trauma yang kini memenuhi media sosial. Masalahnya bukan tradisi pengajian Islam, tetapi keterputusan antara amalan dan asas ilmu yang sepatutnya bersifat membimbing.

Media sosial menyalahkan tradisi, bukan kegagalan amalan

Malangnya, media sosial jarang membezakan antara kesalahan sistem, kelemahan pengurusan dan kecacatan prinsip.

Kegagalan masyarakat dan sesetengah institusi telah menyebabkan keseluruhan konsep asrama, termasuk pendidikan Islam, dipersoalkan! Tradisi tarbiah akhirnya dilabel sebagai ketinggalan zaman, kejam atau berbahaya, sedangkan yang gagal sebenarnya ialah masyarakat yang tidak memahami dan cara tradisi itu diterjemahkan dalam konteks moden.

Sehubungan itu, masyarakat semakin hari semakin menjauh daripada pendidikan berasrama. Falsafah pendidikan juga menjadi semakin jauh terpesong daripada warisan Islam yang telah lama membentuk manusia berilmu, berdisiplin dan berakhlak.

Antara perlindungan emosi dan pembentukan jiwa

Hari ini, masyarakat cenderung melihat keselesaan emosi sebagai ukuran utama kejayaan pendidikan. Segala bentuk ketidakselesaan dianggap berbahaya dan tidak sihat. Namun ISLAM TIDAK MENDIDIK MANUSIA HANYA UNTUK SELESA, TETAPI UNTUK MAMPU MENGHADAPI UJIAN HIDUP. Allah SWT berfirman:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Dan kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar” (al-Baqarah: 155)

Dalam pepatah Melayu sendiri ada menyebut:

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,

Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Melalui kedua-dua hikmah di atas, kesusahan dianggap sebagai ujian dan ia bukan bermaksud untuk menghukum dan menyakitkan, malah tujuannya ialah mengukur dan membentuk ketabahan.

Sehubungan itu, kesusahan hidup di asrama, kawalan yang dikenakan serta situasi berjauhan, semua itu tidak lain dan tidak bukan ialah suatu tempoh latihan untuk menguruskan emosi anak, mengawal kehendak mereka dan melatih kesabaran. 

Dengan kata lain, mereka yang melepasi ujian ini akan menjadi lebih kuat keimanan dan berpersonaliti tinggi untuk memimpin masa depan.

Sunah Rasulullah SAW sendiri telah menunjukkan kehilangan bapa, ibu dan datuk sejak kecil tidak mencacatkan emosi, bahkan menyediakan Baginda untuk tugas agung sepanjang zaman, membawa hidayah kepada manusia sejagat! 

Justeru, kita perlu sedar bahawa tanpa latihan disiplin, kesabaran dan pemisahan terkawal yang dibuat melalui sistem asrama, kita mungkin melahirkan generasi yang baik hati tetapi rapuh jiwa dan mudah runtuh apabila berhadapan tekanan sebenar kehidupan.

Lebih-lebih lagi bagi anak lelaki yang memerlukan ruang peralihan daripada hidup di bawah perlindungan ibu bapa kepada kemandirian untuk menjadi ketua keluarga akan datang, pendidikan berasrama sangat penting untuk menjadi tempat yang menawarkan ruang tersebut. 

Di asramalah anak itu akan terdedah kepada tugas rutin, hierarki sosial dan tanggungjawab sebagai syarat-syarat mandiri. Tanpa asrama, hidup mereka mungkin akan sangat terdedah dengan skrin di rumah. Kebanyakan masa mereka akan dihabiskan dengan permainan video serta layanan daripada ibu bapa dan pembantu rumah.

Akibatnya, akan lahir generasi lelaki yang lemah dan mencetus fenomena psikososial yang dipanggil budaya mangsa (victim culture) dan pelarian emosi (emotional escapism) yang tiada daya tahan, berfikiran negatif dan tidak bersedia menggalas tanggungjawab keluarga dan masyarakat.

Bezakan antara tradisi

Kesimpulannya, media sosial telah membuka ruang suara kepada mereka yang terluka, dan tidak dinafikan “luka” itu wajar dihormati. Namun jika kita sebagai netizen gagal membezakan antara tradisi yang rosak dan tradisi yang salah amalannya, kita berisiko memusnahkan satu sistem tarbiah lama yang bernilai tinggi.

Perlu diingat, pendidikan Islam dan tradisi berasrama tidak bertujuan memberi keselesaan emosi semata-mata, tetapi melatih ketabahan dan keupayaan menghadapi ujian sebenar dalam hidup.

Cabaran kita hari ini bukan pada memilih atau menolak asrama, tetapi mengembalikan pendidikan berasaskan epistemik, falsafah tarbiah Islam dan pelaksanaan yang penuh sedar tentang nilai dan hikmah.

Kesusahan hidup di asrama hendaklah dianggap sebagai latihan untuk mengurus emosi, mengawal kehendak diri dan melatih kesabaran. Pengalaman hidup, termasuk disiplin, rutin dan tanggungjawab, tidak lain dan tidak bukan bertujuan menyediakan anak lelaki, khususnya, untuk latihan kemandirian dan kepimpinan masa depan. 

Tanpa pendidikan berasrama, kita bukan sahaja kehilangan institusi bersejarah yang sudah terbukti berkesan, bahkan generasi muda juga mungkin akan menjadi sangat rapuh secara emosi dan mengelak daripada tanggungjawab. 

Dr Amer Hudhaifah Hamzah
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia