Ada satu soalan besar yang wajar kita tanyakan dengan jujur kepada diri sendiri:
adakah kita benar-benar memahami dunia yang sedang kita diami?
Atau kita sekadar hidup di permukaan sibuk dengan rutin harian, keselesaan, hiburan dan pencapaian peribadi, sementara di sudut dunia yang lain, darah manusia ditumpahkan, keadilan dihancurkan secara sistematik dan kebenaran dipadam dengan penuh perancangan?
Isu Palestin bukan sekadar isu kemanusiaan. Ia adalah cermin paling jelas kepada wajah sebenar geopolitik dunia moden. Lebih daripada itu, ia adalah ujian iman, ujian akal dan ujian amanah ke atas umat Islam: sejauh mana kita memahami realiti kuasa, kezaliman dan tanggungjawab moral dalam dunia yang semakin tidak adil.
Dalam public talk beliau yang lantang, tegas dan tidak berkompromi, George Galloway mengajak kita melihat dunia tanpa kosmetik, tanpa “lipstick” bernama rules-based international order, tanpa ilusi bahawa undang-undang antarabangsa benar-benar adil, dan tanpa dongengan bahawa kuasa besar masih mempunyai moral.
Apa yang tinggal hanyalah realiti yang telanjang: kuasa, kepentingan, sumber dan darah manusia.
Dunia tanpa topeng: Runtuhnya “rules-based international order”
Galloway membuka hujahnya dengan satu kesimpulan yang pahit tetapi jujur:
tatanan dunia berasaskan peraturan telah runtuh.
Undang-undang antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan norma hak asasi manusia hanya digunakan apabila ia selari dengan kepentingan kuasa besar. Apabila ia menghalang kepentingan mereka, semuanya dibuang ke tepi tanpa rasa bersalah.
Realiti ini mengingatkan kita kepada peringatan Allah SWT:
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh api neraka.” (Surah Hud: 113)
Islam sejak awal menolak kezaliman yang diselindungkan dengan nama undang-undang, autoriti atau kekuasaan. Dalam Islam, keadilan bukan soal siapa yang kuat, tetapi siapa yang benar.
Palestin bukan mitos: Ia pernah dan masih wujud
Salah satu pembohongan paling berbahaya dalam konflik ini ialah dakwaan bahawa “Palestin tidak pernah wujud.”
Galloway mematahkan mitos ini dengan fakta sejarah yang jelas:
- Palestin mempunyai pasukan bola sepak kebangsaan
- Palestin mempunyai syarikat penerbangan
- Palestin mempunyai bank dan institusi kewangan
- Infrastruktur lama dengan cop “State of Palestine” wujud sebelum penubuhan Israel
Pembohongan ini selari dengan strategi penjajahan klasik: hapuskan identiti, maka lebih mudah untuk menghapuskan manusia. Namun Allah SWT menegaskan:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali.” (Surah al-Hujurat: 13)
Palestin wujud kerana rakyatnya wujud. Dan mereka terus wujud kerana mereka tidak pernah menyerah.
Zionisme dan aparteid: Penjajahan dalam wajah moden
Galloway menyifatkan Israel sebagai: “illegitimate, apartheid, European settler-colonial state.” Hal ini bukan retorik kosong, tetapi analisis sejarah dan struktur kuasa. Seperti aparteid di Afrika Selatan suatu ketika dahulu, Israel memerlukan:
- pemisahan undang-undang,
- jalan khas untuk golongan tertentu,
- hak berbeza antara penduduk, dan
- kekerasan berterusan
kerana penduduk asal tidak pernah menerima perampasan tanah mereka. Yasser Arafat pernah berkata dengan tegas:
“Kami bukan Red Indians. Kami tidak akan masuk ke muzium sejarah.”
Selagi Palestin melawan, selagi itu naratif “tanah tanpa manusia” runtuh.
Gaza: Neraka yang wujud sebelum Hamas
Satu pembohongan besar yang terus diulang ialah dakwaan bahawa penderitaan Gaza bermula dengan Hamas atau peristiwa 7 Oktober 2023.
Galloway, yang pernah menjejakkan kaki ke Gaza sejak tahun 1980, jauh sebelum Hamas wujud dan ia menggambarkan Gaza sebagai:
- penjara terbuka,
- sekatan makanan,
- hospital yang penuh,
- penjara yang penuh, dan
- tentera dan menara kawalan di setiap sudut.
Ia mengingatkan kita kepada prinsip keadilan dalam al-Quran:
“Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil.” (Surah al-Ma’idah: 8)
Dalam Islam, kita diajar untuk melihat sebab, bukan sekadar alasan.
Geopolitik sebenar: Minyak, gas dan kuasa
Isu Palestin tidak boleh dipisahkan daripada geopolitik sumber. Gas dan minyak di pesisir Gaza, Mediterranean Timur, Lubnan, Syria dan Cyprus menjadi antara punca utama perebutan kuasa.
Namun dari sudut undang-undang, Gaza ialah wilayah yang diduduki dan Israel tiada hak mengeksploitasi sumbernya. Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah pun mengesahkan perkara ini secara sebulat suara. Inilah sebab mengapa realiti politik cuba diubah melalui kekerasan.
Iran, Hezbollah dan kebenaran yang tidak selesa
Tanpa retorik mazhab, Galloway menyatakan satu fakta yang tidak selesa iaitu bantuan paling nyata kepada Gaza datang daripada Iran dan Hezbollah. Walaupun Gaza tiada Syiah, namun bantuan datang daripada negara berfahaman Syiah, bukan daripada kebanyakan rejim Arab Sunni. Dikatakan Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan umat Islam, maka dia bukan daripada kalangan mereka.” (HR Tabarani)
Dalam Islam, kebenaran diukur melalui tindakan, bukan slogan.
Kegagalan dunia Islam: Antara retorik dan realiti
Antara bahagian paling menyentak dalam ucapan Galloway ialah kritikan terhadap dunia Islam sendiri iaitu:
- normalisasi dengan Israel,
- pengkhianatan politik,
- ketakutan kehilangan pelaburan dan pelancongan.
Beliau menyebut dengan pedih:
“Jika bukan kerana pengkhianatan daripada dunia Islam, Palestin sudah lama merdeka.”
Allah SWT memberi peringatan keras:
“Dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, lalu mereka tidak akan seperti kamu.” (Surah Muhammad: 38)
Keluarga, boikot dan amanah individu
Satu kisah kecil tetapi sarat makna: anak Galloway yang berusia tujuh tahun menolak masuk ke McDonald’s kerana memahami boikot. Inilah dakwah sebenar. Ia bermula dari rumah, melalui teladan dan bukan paksaan.
Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) mungkin tidak menjatuhkan penjajah esok, tetapi ia dapat membersihkan hati, membentuk kesedaran dan menjadi hujah di hadapan Allah.
“Barang siapa antara kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangan; jika tidak mampu, dengan lidah; jika tidak mampu, dengan hati.” (HR Muslim)
Maqasid syariah dan kesedaran geopolitik
Memahami geopolitik bukan perkara sampingan. Ia berkait langsung dengan maqasid syariah yang berikut:
- Hifz al-Nafs (memelihara nyawa),
- Hifz al-Din (memelihara agama),
- Hifz al-‘Aql (memelihara akal),
- Hifz al-‘Ird (memelihara maruah).
Muslim yang tidak memahami dunia mudah dimanipulasi, ditipu dan diperalatkan.
Kita tidak neutral, kita sedang diuji
Palestin bukan isu jauh. Ia adalah soalan langsung kepada iman kita. Suatu hari nanti, kita semua akan ditanya:
“Apa yang kamu lakukan ketika kezaliman berlaku?” Semoga kita mampu menjawab: “Ya Allah, aku lakukan apa yang aku mampu.” Hakikatnya, diam juga satu pilihan tetapi ia bukanlah pilihan yang selamat di sisi sejarah, apatah lagi di sisi Allah SWT.
Mohd Hafiz Abd Hamid
Setiausaha Agung
Pertubuhan IKRAM Malaysia
*Penulisan artikel ini diambil, disunting dan disusun semula daripada public talk George Galloway oleh penulis pada 12 Jan 2025 bertempat di IAIS Malaysia.




