Ibadah Haji: Tip Persediaan Gaya Hidup dan Kesihatan

haji

Kuota rasmi kekal 31,600 jemaah untuk musim haji 2026 (1447H) di Malaysia dengan 18% sahaja menangguhkan tawaran, menandakan pemenuhan kuota dan kos haji Muassasah dikekalkan pada RM33,300 per jemaah.

Maklumat ini merujuk kepada data terkini daripada TH dan berita November/Disember 2025 yang dikeluarkan oleh beberapa akhbar tempatan (Raiham, 2025). Turut difahamkan, Tabung Haji telah menerima lebih 84,000 permohonan rayuan mengerjakan ibadat haji. 

Jika ada rezeki, jemaah yang merayu bakal mengisi kekosongan kuota yang ditawarkan sekitar 31,600 oleh kerajaan Arab Saudi sekiranya ada penolakan supaya dipenuhi 100 peratus setiap tahun.

Alhamdulillah dan tahniah diucapkan kepada sebahagian para jemaah haji yang bakal berlepas tidak lama lagi. Baki yang tinggal beberapa bulan sahaja lagi ini sebaiknya dirancang dengan baik bagi memastikan kesihatan anda berada pada tahap optimum. 

Rata-rata yang menerima panggilan haji bukanlah individu yang sihat tubuh badan semata-mata. Tetapi, ada antara para jemaah yang menghidapi penyakit kronik tetapi terkawal. Antaranya adalah penyakit hipertensi (darah tinggi), diabetes melitus (kencing manis), kardiovaskular (jantung) dan lain-lain lagi.

Penyakit-penyakit di atas berkait rapat dengan gaya hidup seseorang seperti tabiat pemakanan, aktiviti fizikal dan pengurusan emosi. Oleh itu, jadikanlah panggilan haji sebagai motivasi diri dan waktu yang tepat untuk membentuk disiplin yang tinggi dalam kalangan para jemaah bagi memastikan kesihatan berada pada tahap optimum. 

Bersesuaian dengan hadis yang diperoleh daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, diiriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً

“Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.” [Riwayat al-Bukhari (5678)]

Penulisan ini akan dibahagikan kepada beberapa komponen tip persediaan gaya hidup dan kesihatan sebelum, semasa dan selepas mengerjakan haji. 

Sebelum bertolak mengerjakan haji

Gaya hidup:

a. Lakukan senaman ringan dan berjalan kaki (brisk walking) secara tetap sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Seelok-eloknya cuba berjalan antara 10,000 – 20,000 langkah sehari. Anda juga boleh bersenam secara kumulatif 150 min/seminggu.

b. Berazam untuk berhenti daripada gaya hidup yang tidak sihat secara perlahan-lahan. Contohnya jika anda seorang perokok tegar (merokok lebih 20 batang sehari), inilah masanya untuk berubah. Cuba kurangkan kuantiti rokok sehari-hari sehingga mencapai separuh daripada kuantiti asal. Kemudian dengan langsung tidak merokok (moga Allah izinkan niat tersebut) ketika di bumi Makkah atau Madinah. Tidak mustahil anda boleh berhenti terus selepas ini

2. Aspek dokumentasi: Bawa bersama dokumen ringkas tentang maklumat kesihatan anda termasuk kad vaksin/e-record influenza dan meningococal. Usaha ini dapat membantu petugas-petugas haji bertindak sekiranya berlaku kecemasan

3.Persiapan bagasi:

           a. Untuk mengurangkan stres, susun atur bagasi anda awal sebelum bertolak dengan membuat senarai semak lebih awal. Sedikit sebanyak tindakan ini dapat mengelakkan anda daripada tertinggal barang.  

           b. Sediakan perkakasan kesihatan seperti alat tekanan darah dan glukometer untuk memantau bacaan tekanan darah dan gula. Ia juga bermanfaat untuk kegunaan rakan-rakan sebilik yang memerlukan. Jika anda mempunya masalah lelah (asthma), pastikan inhaler dan stok ubat turut dibawa bersama.

           c. Jika anda mempunyai masalah kulit sensitif, siapkan pakaian daripada jenis kain kapas untuk mengurangkan rasa tidak selesa semasa beribadah. 

          d. Gunakan selipar yang tidak licin dan bukan daripada jenis getah (latex) jika anda mempunyai struktur kulit yang mudah melecet. Pemilihan kasut yang betul sangat penting untuk memastikan pergerakan lancar semasa tempoh mengerjakan haji dan umrah nanti.

          e. Anda mungkin memerlukan petroleum gel untuk melembapkan kawasan kulit yang kering seperti bahagian siku dan lutut serta krim kaki bagi mengelakkan rekahan pada tumit.

4. Bekalan ubatan:

 a.Bawa bersama ubat-ubatan yang dipreskripsikan oleh doktor perubatan atau pegawai farmasi yang merawat anda. Lebih baik jika ubat-ubatan tersebut diletakkan dalam bekas khas ubat seperti Gambar Rajah 1 secara berjadual untuk tempoh seminggu dan ditambah secara berkala sepanjang berada di Makkah dan Madinah. Ia secara tidak langsung meningkatkan komplians (kepatuhan) terhadap pengambilan ubatan sepanjang mengerjakan haji. 

Gamba Rajah 1: Bekas ubat (Sumber: Flickr)

b.Sediakan ubat-ubatan ringan seperti minyak panas, minyak urat/gamat, parasetamol, koyok dan seumpamanya mengikut kesesuaian anda.

c.Sekiranya anda mengalami masalah kulit sensitif seperti alergi atau eczema, sediakan ubat yang mengurangkan reaksi alergi seperti Loratadine atau Piriton.

d.Dapatkan nasihat doktor sekiranya anda merupakan pesakit yang berisiko mendapat jangkitan kuman atau keradangan pada paru-paru (influenza dan pneumonia) serta jangkitan kuman pada salur kencing (urinary tract infection) tentang penggunaan antibiotik untuk mengelakan rintangan (anti-microbial resistance) (Haseeb, Saleem, Faidah, Saati, AlQarni, Iqbal,… & Sheikh, A. 2023).

Semasa berada di bumi Makkah atau Madinah

  1. Kekal hidrasi:

Banyakkan minum air sama ada air masak, air mineral atau, yang sunahnya air zam-zam, untuk mengelakkan kekeringan cecair dalam tubuh badan (dehidrasi) serta strok haba (heatstroke) terutamanya bagi warga emas (Sulaiman, Winarni, & Nasution 2019).

Bekalan air yang mencukupi untuk badan adalah sekitar 1.5 – 2 liter sehari memandangkan Saudi adalah kawasan yang panas dan kering dengan suhu boleh mencecah antara 45°C – 52°C mengikut pengalaman penulis.

  1. Rehat dan tidur yang mencukupi:

    a.Pastikan anda mendapat rehat yang mencukupi setelah melakukan ibadah penting seperti tawaf, sai, bermalam di Arafah, mabit di Muzdalifah dan bermalam di Mina.

    b.Rehat qailulah 20 hingga 30 minit sebelum waktu zuhur sangat membantu badan anda untuk kembali segar.

    c.Anda boleh juga tidur setelah waktu duha sementara menunggu waktu zuhur untuk mengembalikan tenaga dalam tubuh badan.

  1. Penjagaan kebersihan:

    a.Pastikan anda menjaga kebersihan diri dengan mandi sekurangnya 1 – 2 kali sehari. Basuh tangan dengan bersih terutamanya setiap kali keluar dari tandas dan sebelum makan untuk mengelakkan jangkitan kuman.

    b.Memandangkan kawasan sekitar Makkah dan Madinah berpasir dan berdebu, anda berisiko mengalami keradangan atau jangkitan kuman pada sistem pernafasan (Sulaiman, Winarni, & Nasution 2019). Pastikan anda tidak batuk, berkahak dan meludah merata-rata kerana ini mendedahkan orang lain terhadap jangkitan kuman.

    c.Jika terpaksa batuk dan berkahak, lakukan pada tisu atau sapu tangan. Anda boleh menggunakan bahagian dalam lengan sebagai penghadang ketika bersin atau batuk.

    d.Walaupun penggunaan pelitup muka (face mask) boleh dikenakan dam, dapatkan nasihat doktor, profesional kesihatan (seperti jururawat, pegawai farmasi) atau petugas haji jika anda takut terdedah kepada jangkitan tuberkulosis terutamanya jika anda mempunya sejarah penyakit yang lepas (Alotaibi, Yassin, Mushi, Maashi, Thomas, Mohamed, G., … & Yezli 2019).

  1. Penjagaan emosi:
    a.
    Cuba kawal emosi dan tutur kata ketika situasi tegang kerana anda perlu belajar bertolak ansur dengan perangai orang di sekeliling anda.

    b.Jika situasi tidak diingini berlaku seperti tersekat dalam kesesakan lalu lintas, cuba bertenang untuk tempoh lima saat (teknik pause) (Mar’ain, 2025). Kemudian, tarik nafas dalam-dalam sebanyak tiga kali serta hembus perlahan-lahan dan bersabar. Anggap ia sebahagian daripada ujian Allah.

    c.Banyakkan berzikir, bertahmid dan bertakbir serta membaca al-Quran supaya masa anda dipenuhi secara berkualiti sepanjang mengerjakan ibadah haji daripada berborak-borak kosong yang kadangkala boleh mencetuskan perbalahan atau rasa tidak puas hati.

  1. Pemilihan makanan:
    a.
    Jangan terlalu cerewet memilih makanan ketika di bumi Saudi kerana anda perlukan tenaga untuk mengerjakan ibadah. Ambil atau beli makanan dalam kuantiti yang sedikit jika anda tidak mampu menghabiskan makanan untuk mengelakkan pembaziran.

    b.Jika anda berisiko hipoglisemia, pastikan ada gula-gula lebih kurang tiga biji atau lebih dalam beg sandang. Ia amat membantu ketika paras gula terlalu rendah.

    c.Jika anda mudah mengalami gastrik atau pedih ulu hati, kurangkan makanan yang berempah dan pedas. Siapkan ubat gastrik seperti Gelucil atau Gaviscon bersama anda.

    d.Kebiasaannya kita perlu mengambil ubat selepas makan. Oleh itu, bawa ubat-ubatan yang dipreskripsi doktor dalam bekas pil dan letakkan dalam beg sandang anda untuk mengelakkan daripada terlupa. Ia membantu anda untuk komplians pada pengubatan. 

  1. Keselamatan:
    a.
    Pantau status kesihatan anda dari semasa ke semasa. Sekiranya tidak sihat dan anda betul-betul tidak larat untuk melakukan sebarang ibadah, maklumkan pada petugas haji supaya mereka boleh hulurkan bantuan sepatutnya.

    b.Elakkan bersesak-sesak yang melampau sehingga berebut-rebut dengan jemaah dari negara lain terutamanya ketika tawaf dan melontar jamrah. Pastikan anda kekal dalam kumpulan jemaah anda untuk mengelakkan kecederaan, terpijak, keletihan dan kesesakan akibat terhimpit (Sulaiman, Winarni, & Nasution 2019).

    c.Berlaku jujur pada pengendali haji anda tentang penyakit yang dialami (cth penyakit sawan dan penyakit strok yang lepas) demi memudahkan urusan mereka dalam mendapatkan bantuan kecemasan dan untuk kemaslahatan diri anda juga sepanjang mengerjakan haji (Alsaleh, Alhomod, Khan & Alzahrani, 2025; Setiyarini & Kertia, 2024).

  1. Komunikasi:
    a.
    Sentiasa berkomunikasi dengan rakan sebilik supaya mereka tahu keberadaan dan keselamatan anda.

    b.Gunakan teknologi seperti WhatsApp untuk berkomunikasi dalam kumpulan besar jemaah anda atau kumpulan rakan sebilik untuk memudahkan proses menghulurkan bantuan ketika kecemasan (Setiyarini & Kertia, 2024).

    c.Jika anda merupakan profesional kesihatan seperti doktor, jururawat, pegawai farmasi, pegawai fisioterapi, pegawai dietetik dan seumpamanya, inilah peluang anda beribadat sambil beramal secara sukarela (Alrashdi & Al Thobaity, 2024). Nasihatilah jemaah dengan masalah kesihatan tentang penjagaan kesihatan untuk mengurangkan kerisauan mereka dengan empati (Falatah, Almansour, Alsolami, Aljehani, Al Dhubayban, & Walker, 2021). 

Setelah pulang mengerjakan haji

  1. Gaya hidup: Kekalkan gaya hidup sihat sebagaimana sebelum melaksanakan haji.
  2. Aspek emosi: Berazam untuk menjadi lebih sabar dan tenang. 
  3. Berniat untuk menjadi contoh yang baik kepada ahli keluarga dan masyarakat.
  4. Kekalkan segala aktiviti spiritual dan keagamaan yang dilaksanakan ketika mengerjakan haji sehingga kembali ke tanah air.
  5. Berkongsi pengalaman mengerjakan haji dengan orang lain (sekiranya ditanya) tetapi jangan sampai riyak dan menunjuk-nunjuk.
  6. Kekal berdisiplin untuk melaksanakan solat secara berjemaah terutamanya bagi yang lelaki.

Prihatin kesihatan

Kesimpulannya, persiapan haji mencakupi aspek yang bukan semata-mata memfokuskan persediaan spiritual dan kewangan. Namun begitu, amat penting bagi duyufurrahman semua yang telah mendapat undangan khas daripada Allah untuk turut menitikberatkan isu-isu berkaitan dengan masalah kesihatan anda.

Semoga perkongsian tip-tip di atas membawa manfaat kepada anda dalam menjaga kesihatan sepanjang berada di tanah suci Makkah dan Madinah. Semoga anda semua mendapat ibadah haji yang mabrurah.

Prof. Madya Dr. Siti Noorkhairina Sowtali
Jabatan Kejururawatan Profesional (PNS)
Kulliyyah Kejururawatan (KON)
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Rujukan:

Alotaibi, B., Yassin, Y., Mushi, A., Maashi, F., Thomas, A., Mohamed, G., … & Yezli, S. (2019). Tuberculosis knowledge, attitude and practice among healthcare workers during the 2016 Hajj. PloS one, 14(1), e0210913.

Alrashdi, M. M., & Al Thobaity, A. (2024). Exploring the experiences, motivations, and skillsets of nurse volunteers during Hajj: implications for enhancing volunteer programs. BMC nursing, 23(1), 44.

Alsaleh, G. S., Alhomod, A. S. A., Khan, A., & Alzahrani, S. S. (2025). Telestroke management during the Hajj seasons 2023–2024: insights from SEHA Virtual Hospital in KSA. Frontiers in Neurology, 16, 1573275.

Falatah, R., Almansour, L., Alsolami, A., Aljehani, A., Al Dhubayban, E., & Walker, R. K. (2021). Transcultural nurses’ caring for pilgrims for the first time during Hajj season in Saudi Arabia. Journal of religion and health, 60(1), 232-245.

Haseeb, A., Saleem, Z., Faidah, H. S., Saati, A. A., AlQarni, A., Iqbal, M. S., … & Sheikh, A. (2023). Threat of antimicrobial resistance among pilgrims with infectious diseases during Hajj: lessons learnt from COVID-19 pandemic. Antibiotics, 12(8), 1299.

Muhammad Mushfique, A. A. (2019, Jun 28). Irsyad Al-Hadith Siri Ke-389: Hadith Penyakit Bersama Penawar. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/3528-irsyad-al-hadith-siri-ke-389-hadith-penyakit-bersama-penawar 

Mar’ain D. (2025). Seni Mengurus Emosi. Bicara Wanita: Secangkir Kopi di Raudhah Mawaddah. Masjed Jamek, Beserah.

Raiham, M. S. (2025, Disember 04). Hanya 18 peratus tangguh terima tawaran haji 2026 [Press release]. https://www.sinarharian.com.my/article/759310/berita/nasional/video-hanya-18-peratus-tangguh-terima-tawaran-haji-2026  

Setiyarini, S., & Kertia, N. (2024). Experiences of Indonesian nurses as Hajj health personnel in caring for Hajj pilgrims: A qualitative study. Belitung Nursing Journal, 10(5), 554. 

Sulaiman, E., Winarni, I., & Nasution, T. H. (2019). Nursing experience of Hajj-Medical Workers of Indonesia in handling emergency state of Kendari-Hajj Pilgrims. The Malaysian Journal of Nursing (MJN), 11(1), 38-44.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia