Tahun Baru 2026: Fokus Reformasi Tadbir Urus Negara

Reformasi Tadbir Urus Negara

Tadbir urus merupakan asas penting dalam pembinaan sebuah negara yang adil, sejahtera dan berdaya tahan. Di bawah kerangka Ekonomi MADANI, usaha memperkukuh integriti, akauntabiliti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam diletakkan sebagai teras utama pentadbiran negara.

Pendekatan ini selari dengan tuntutan maqasid syariah yang menekankan pemeliharaan kepentingan awam (maslahah ‘ammah) serta amanah sebagai teras kepada kepimpinan dan sesebuah pentadbiran.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan telah menggariskan sasaran yang jelas untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi memperkukuh daya saing negara serta mengurus fiskal secara lebih berhemah.

Sasaran ini wajar difahami bukan sekadar sebagai pencapaian teknokratik tetapi sebagai usaha sistemik untuk memastikan harta awam diurus dengan adil dan telus. Dalam kerangka maqasid, pengurusan fiskal yang berintegriti adalah sebahagian daripada pemeliharaan harta (hifz al-mal) agar manfaatnya dapat dirasai secara saksama oleh seluruh rakyat.

Namun demikian, realiti semasa menuntut satu muhasabah bersama. Tahun 2026 menandakan fasa keempat Parlimen ke-15 dan pentadbiran Kerajaan MADANI. Dengan baki kurang daripada dua tahun sebelum tamatnya penggal pada Disember 2027, ruang masa untuk melaksanakan reformasi institusi semakin terhad.

Dalam keadaan ini, usaha pembaharuan tidak wajar dipertahankan atas pertimbangan politik jangka pendek, sebaliknya perlu diperkukuh sebagai amanah pentadbiran yang mesti ditunaikan dengan penuh tanggungjawab. Janji-janji yang akan datang haruslah bermotifkan pelaksanaan reformasi bukannya gula-gula menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 

Pengukuhan integriti dan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam merupakan asas kepada tadbir urus yang baik. Pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024 – 2028 dan penubuhan Pasukan Petugas Khas CPI adalah langkah yang wajar diteruskan secara konsisten.

Dari perspektif siasah rahmah, pembanterasan rasuah bukan semata-mata tindakan menghukum tetapi usaha mencegah kemudaratan (daf‘al-mafsadah) yang menjejaskan kepercayaan rakyat, menindas golongan lemah dan melemahkan institusi negara.

Oleh itu, pendekatan berasaskan behavioural insights melalui pengukuhan Unit Integriti perlu disokong dengan kepimpinan melalui teladan serta sistem pemantauan yang adil dan tidak bersifat terpilih. Hal ini boleh diperkasakan sama ada di peringkat kerajaan mahupun swasta. 

rajah 1

Rajah 1: Kerangka Pembangunan Negara AI 2030

Berdasarkan Rajah 1, agenda reformasi perkhidmatan awam perlu diteruskan secara menyeluruh dan berfokus. Usaha mengurangkan beban kawal selia, menyediakan ekosistem digital serta memperkasakan GovTech adalah langkah yang selari dengan prinsip rahmah dalam pentadbiran.

Apabila prosedur dipermudah dan perkhidmatan disampaikan dengan cekap, ia membantu memelihara kepentingan rakyat khususnya golongan rentan dan perusahaan kecil yang sering terbeban oleh sistem birokrasi yang kompleks.

Dalam konteks maqasid, kecekapan pentadbiran ini menyumbang kepada pemeliharaan kehidupan (hifz al-nafs) dan kesejahteraan sosial secara tidak langsung.

reformasi-negara-r2

Rajah 2: Kerangka Rancangan Malaysia Ketiga Belas, 2026-2030

Berdasarkan Rajah 2, tonggak C dalam Ekonomi MADANI yang menekankan agenda reformasi perkhidmatan awam wajar dilihat sebagai pemacu utama kepada pembaharuan institusi negara. Reformasi perundangan, kecekapan pengurusan projek, langkah konsolidasi fiskal dan pengukuhan ekosistem ekonomi sosial perlu dilaksanakan secara bersepadu.

Pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation approach) yang melibatkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan rakyat adalah selari dengan semangat syura dan penyertaan kolektif dalam tradisi pentadbiran Islam sejak sekian lama. 

Menjelang PRU-16, adalah penting untuk ditegaskan bahawa reformasi institusi bukan sekadar agenda politik jangka pendek, tetapi pelaburan jangka panjang untuk masa depan negara. 

Reformasi yang perlu diberi keutamaan ialah reformasi yang mampu dikukuhkan secara institusi melalui perundangan, penambahbaikan prosedur serta pengukuhan sistem semak dan imbang. Langkah ini penting agar kesinambungan dasar dapat dipelihara, selaras dengan prinsip maqasid yang menuntut kestabilan dan kepastian dalam tadbir urus.

Lebih utama, kejayaan reformasi perlu diterjemahkan dalam pengalaman seharian rakyat. Perkhidmatan awam yang cekap, telus dan berintegriti akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara serta mengukuhkan hubungan antara pemerintah dan masyarakat. 

Kepercayaan ini tidak dibina melalui retorik, tetapi melalui konsistensi tindakan dan kesungguhan melaksanakan amanah dengan ihsan.

Sebagai sebuah negara yang berteraskan nilai agama, budaya dan kemanusiaan, Malaysia memerlukan kepimpinan yang berani untuk terus melaksanakan pembaharuan walaupun berdepan kekangan masa dan cabaran politik.

Tadbir urus yang baik harus dilihat sebagai komitmen berterusan, bukan terhad kepada satu penggal pentadbiran. Dengan iltizam politik yang jelas, sokongan institusi yang kukuh dan penyertaan masyarakat yang aktif, sudah tentu reformasi yang diusahakan hari ini berpotensi menjadi legasi yang memberi manfaat berpanjangan kepada negara.

Sesungguhnya, ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan bukan terletak pada banyaknya janji yang diungkapkan, tetapi pada sejauh mana pelaksanaan janji tersebut ditunaikan demi kemaslahatan rakyat dan masa depan negara.

Prof. Dr. Hanim Salleh
Naib Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia