Nilai Ihsan Teras Binaan Belia Berakhlak, Berdaya Saing

Nilai Ihsan Teras Binaan Belia Berakhlak, Berdaya Saing | IKRAM

Nilai ihsan perlu diperkukuh sebagai asas pembinaan karakter belia dalam mendepani cabaran era digital, kepelbagaian budaya dan melahirkan Belia Malaysia Madani yang berakhlak dan berdaya saing.”

Dalam usaha membina Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang makmur, inklusif dan berperadaban tinggi, nilai ihsan merupakan antara tunjang utama yang wajar diberi perhatian serius.

Ihsan, yang merangkumi belas kasihan, empati, keprihatinan dan rasa tanggungjawab terhadap kesejahteraan orang lain, ialah nilai sejagat yang merentasi agama, budaya dan etnik. Dalam kerangka Malaysia Madani, ihsan bukan sekadar nilai moral, malah menjadi asas kepada pembentukan masyarakat penyayang, saling menghormati dan menjunjung prinsip kemanusiaan.

Realiti semasa menunjukkan bahawa penghayatan ihsan dalam kalangan belia berdepan pelbagai cabaran yang semakin meruncing. Dalam dunia digital yang serba pantas, belia terdedah kepada budaya individualistik, pertikaian dalam talian, normalisasi budaya mengecam serta fenomena echo chamber yang melebarkan jurang persefahaman antara kaum.

Peningkatan kes buli siber, perbalahan antara agama atau kaum yang tercetus di media sosial serta pelbagai gejala sosial lain menjadi petanda jelas bahawa nilai ihsan perlu diperkukuh sebagai asas pembentukan karakter generasi muda. Usaha memperkukuh pendidikan nilai secara berterusan amat penting.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, ihsan berperanan sebagai “bahasa moral bersama” yang mampu menyatukan belia merentas latar budaya. Belia yang mengamalkan ihsan cenderung lebih empatik, matang dan berkeupayaan mengurus perbezaan secara rasional.

Sikap menghormati hak orang lain, peka terhadap kesusahan masyarakat dan bersedia membantu tanpa mengira etnik merupakan manifestasi ihsan yang perlu dipupuk sejak usia remaja.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga memainkan peranan strategik dalam memupuk dan menyebarluaskan nilai ihsan. Sebagai bahasa perpaduan, bahasa Melayu berfungsi sebagai medium bersama yang memungkinkan mesej empati, kesantunan dan kemanusiaan difahami serta dihayati merentas kaum dan latar budaya.

Penggunaan bahasa Melayu yang beradab, inklusif dan beretika sama ada dalam pendidikan formal, wacana media mahupun interaksi di ruang digital mampu membentuk budaya komunikasi yang lebih berihsan.

Sebaliknya, penyalahgunaan bahasa melalui ujaran kebencian, sindiran melampau dan budaya mengecam bukan sahaja mencerminkan kemerosotan adab, malah melemahkan semangat kebersamaan.

Kajian yang yang diketuai oleh Dr. Amnah Saayah melibatkan penulis sebagai salah seorang penyelidik bersama dengan Pn. Norhana dan Dr. Hafizah dari UPNM menunjukkan bahawa ihsan bukan sekadar konsep normatif, malah berfungsi sebagai pemacu tingkah laku prososial yang menyumbang kepada perpaduan dan kesejahteraan sosial.

Belia yang mengamalkan nilai ini menunjukkan keupayaan lebih baik dalam mengurus konflik sosial dan mengelakkan stereotaip negatif terhadap kaum lain. Kajian tersebut juga menekankan bahawa pendidikan nilai yang diintegrasikan bersama pengalaman lapangan meningkatkan kesedaran sosial, empati dan sikap bertanggungjawab terhadap komuniti. 

Namun begitu, penyelidikan khusus yang meneliti ihsan sebagai dimensi pembangunan belia masih terhad. Kebanyakan kajian memberi tumpuan kepada kemahiran insaniah, aspirasi kerjaya atau kepimpinan, sedangkan aspek nilai kemanusiaan seperti ihsan belum diterokai secara mendalam.

Sehubungan itu, pembangunan Model Ihsan Belia Malaysia Madani seperti yang dicadangkan dalam penyelidikan ini amat penting bagi mengisi jurang tersebut. 

Model ini berpotensi menjadi panduan nasional dalam pendidikan karakter belia, bukan sahaja di sekolah dan universiti, malah di peringkat komuniti. Inisiatif ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan) dan SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh). 

Model ini menekankan integrasi pendidikan formal dan tidak formal, penglibatan komuniti serta pengalaman lapangan untuk melahirkan belia yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga berakhlak dan bertanggungjawab.

Peranan organisasi masyarakat sivil amat signifikan dalam menghidupkan nilai ihsan. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) merupakan antara badan bukan kerajaan yang konsisten mempromosikan nilai kemanusiaan, integriti dan perpaduan.

Melalui sayap belia seperti IKRAM Muda dan Wanita IKRAM, pelbagai program pendidikan karakter, empati sosial, kesukarelawanan dan kerja kemasyarakatan dilaksanakan secara berterusan.

Pendekatan yang menekankan kepedulian, tanggungjawab sosial, integrasi kaum dan hubungan antara agama menjadikannya contoh bermakna peranan organisasi masyarakat sivil dalam memupuk ihsan merentas kelompok belia.

Aktiviti lapangan seperti misi bantuan kemanusiaan, kempen kesedaran sosial, program kepimpinan belia, serta interaksi dengan komuniti rentas budaya dan agama membuktikan bahawa pengalaman praktikal lebih efektif membentuk empati berbanding pembelajaran teori semata-mata.

Pendekatan meraikan kepelbagaian dan menggalakkan belia melihat perbezaan sebagai aset sosial amat seiring dengan aspirasi Malaysia Madani. Nilai ihsan hanya dapat berkembang subur dalam persekitaran yang memupuk sifat saling memahami, bukannya prejudis.

Usaha organisasi dalam memperkukuh hubungan rentas budaya dan agama membantu mengurangkan jurang persefahaman, seterusnya menyumbang kepada perpaduan nasional.

Media dan platform digital memainkan peranan penting dalam memupuk budaya ihsan. Media arus perdana wajar mengangkat naratif kemanusiaan melalui laporan, dokumentari dan kisah kejayaan belia yang berjiwa ihsan.

Media sosial pula perlu dimanfaatkan sebagai ruang mendidik, bukan medan mengecam. Kisah inspirasi sukarelawan belia dan inisiatif kemasyarakatan wajar diketengahkan sebagai teladan agar empati menjadi aspirasi bersama.

Pendidikan formal juga tidak boleh meminggirkan pembinaan nilai. Guru, pensyarah dan pentadbir pendidikan perlu memperkukuh pendekatan holistik yang tidak hanya menekankan pencapaian akademik, tetapi juga pembangunan karakter.

Aktiviti seperti khidmat masyarakat, projek rentas budaya, pembelajaran berasaskan pengalaman serta integrasi kurikulum nilai moral wajar diperluas supaya belia lebih memahami realiti sosial di sekeliling mereka.

Akhirnya, pengukuhan nilai ihsan merupakan usaha kolektif yang memerlukan penglibatan semua pihak, keluarga, sekolah, universiti, NGO, institusi keagamaan, komuniti setempat dan media. Nilai ini tidak terbentuk dalam sehari, sebaliknya dipupuk melalui pengalaman berulang yang konsisten.

Dengan menjadikan ihsan sebagai teras pembinaan belia, Malaysia Madani berpotensi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berilmu dan berdaya saing, tetapi juga berjiwa besar, beretika dan berperikemanusiaan, seterusnya memperkukuh asas masyarakat yang makmur, inklusif dan beradab.

Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Ahli Majlis Bahasa Negara
Pengerusi Women in Future Technologies (WiFT), MyRAS

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia