PUTRAJAYA – Sempena cuti sekolah yang baru bermula, IKRAM Putrajaya telah menganjurkan program Smart Ibadah dengan tema “Solat Tiang Kehidupan” pada Isnin, 22 Disember lalu, bagi membina kefahaman dan penghayatan ibadah yang betul untuk kanak-kanak dan remaja.
Program sehari ini adalah gabungan pelaksanaan Wanita IKRAM Putrajaya, IKRAMTeens, IKRAM Junior Putrajaya dengan kerjasama Biro Agama, Kementerian Luar Negeri, yang dimulakan dengan taklimat serta aktiviti “ice breaking” bagi membina keselesaan dan interaksi awal antara peserta dan fasilitator.
Slot pertama untuk para remaja memfokuskan kepada Teori Solat dan Wuduk dibimbing oleh Ustaz Nu’man Hani Jamal, Ahli JKP Pendidikan Masyarakat, manakala untuk kanak-kanak pula dikendalikan oleh Pn Nurul Hanan Arifin, Ketua Pegawai Eksekutif Naluri Kreatif dengan modul Solat Cilik, yang memberi penekanan kepada kefahaman asas ibadah secara jelas dan berperingkat
Seterusnya, ia diikuti dengan Sesi Simulasi Solat dan Wuduk, yang memberi peluang kepada peserta mempraktikkan ilmu yang dipelajari secara langsung dengan bimbingan fasilitator, bagi membantu peserta membetulkan kefahaman serta meningkatkan keyakinan dalam melaksanakan ibadah dengan betul.
Selesai makan tengah hari dan solat zuhur berjemaah, program diteruskan dengan Explorace untuk peserta bagi menjadikan suasana pembelajaran lebih santai, menyeronokkan dan berkesan.
Explorace kanak-kanak dikendalikan oleh IKRAM Junior Putrajaya diwakili oleh Pn Husna Zamani dan Cikgu Sabrina, manakala explorace remaja dikendalikan oleh IKRAM Muda Putrajaya diwakili oleh Dr Fadzlin Anuar, dibantu oleh para fasilitator daripada SMA Putrajaya, IKRAM Luar Negara (IMAN) dan Hal Ehwal Mahasiswa IKRAM (HEMA).
Diharapkan kem solat sebegini dapat membina kefahaman dan penghayatan ibadah dalam kalangan anak-anak, serta mengukuhkan kerjasama strategik antara IKRAM Putrajaya dan agensi kerajaan.
Lihat foto lagi: Smart Ibadah




