Menjaga Keamanan: Antara Polis, NGO dan Masyarakat

polis

“Keamanan itu bukan hanya tiada peperangan, tetapi hadirnya kepercayaan antara hati manusia. Begitulah indahnya erti kedamaian yang bukan dibina dengan senjata, tetapi dengan jiwa yang memahami.”

Falsafah keamanan bukan sekadar tiadanya peperangan. Ia merangkumi keharmonian sosial, kestabilan politik, keselamatan individu dan hubungan yang beretika dalam masyarakat. Menurut ahli falsafah seperti Immanuel Kant, keamanan sejati memerlukan sistem undang-undang yang adil, kerjasama antarabangsa dan moral individu yang tinggi. 

Falsafah keamanan Malaysia tidak terhad kepada fizikal sahaja. Ia meliputi keselamatan sosial, ekonomi, psikologi dan digital. Misalnya, usaha menangani jenayah siber dan literasi digital juga dianggap sebahagian daripada usaha membina keamanan bersepadu.

Nadi kestabilan sosial 

Hubungan antara polis dan masyarakat merupakan nadi kepada kestabilan sosial dan keamanan negara. Keamanan tidak akan tercapai tanpa kepercayaan antara dua entiti ini, satu sebagai pelindung undang-undang, manakala satu lagi sebagai nadi kehidupan yang memberi makna kepada keamanan itu sendiri.

Ungkapan “Polis dan masyarakat berpisah tiada” bukan sekadar slogan, tetapi falsafah yang mencerminkan kebergantungan dua hala dalam membina komuniti aman, berdisiplin dan berintegriti. Integriti sosial menekankan bahawa kepercayaan terhadap pihak berkuasa hanya dapat dibina melalui kejujuran, ketelusan dan akauntabiliti.

Polis yang berintegriti bukan sahaja menguatkuasakan undang-undang, tetapi juga menjadi teladan keberanian, amanah dan tanggungjawab sosial. Pada masa yang sama, masyarakat harus memahami bahawa keselamatan awam ialah tanggungjawab bersama, bukan bebanan sebelah pihak.

Peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) amat penting. Mereka menjadi suara masyarakat madani, memupuk empati, tanggungjawab sosial dan kesedaran sivik.

IKRAM membangunkan jiwa insan melalui pembaikan diri dan peningkatan rohani untuk mengislah masyarakat, melaksanakan amar makruf serta mencegah kemungkaran. IKRAM mendukung pembangunan Negara Rahmah dengan cara yang adil untuk kedamaian dan kemakmuran insan serta kelestarian alam sekitarnya. 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sekadar pasukan keselamatan, tetapi simbol kestabilan negara. Sejak penubuhannya, PDRM membanteras jenayah, menegakkan undang-undang dan mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

Namun, era digital menuntut pendekatan baharu. Persepsi masyarakat terhadap polis kini sering diuji oleh maklumat tidak sahih dan manipulasi media sosial. Di sinilah pentingnya komunikasi dua hala yang terbuka, empatik dan berorientasikan nilai kemanusiaan untuk memperkukuh kepercayaan awam. 

NGO berperanan sebagai jambatan kepercayaan antara polis dan rakyat. Mereka menyampaikan suara masyarakat kepada pihak berkuasa dan memperkukuh budaya dialog. Program seperti Community Policing, yang melibatkan persatuan penduduk, belia dan wanita, membuktikan keberkesanan apabila masyarakat diberi ruang untuk terlibat secara langsung.

Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh nilai integriti, tetapi juga menghidupkan semangat ukhuwah insaniah dan persaudaraan kemanusiaan yang menjadi asas keamanan sejati.

Mesej keselamatan dan integriti 

Apabila PDRM berganding bahu dengan NGO seperti PIKM, mesej keselamatan dan integriti lebih cepat disampaikan dan mudah diterima masyarakat akar umbi.

PIKM memperkukuh standard industri keselamatan, meningkatkan kepercayaan awam dan memastikan akauntabiliti dalam bidang keselamatan swasta. Gabungan nilai profesionalisme polis dan semangat kesukarelawanan NGO membentuk model masyarakat madani yang harmoni dan berdaya tahan.

Dalam arus pendidikan, inisiatif ACP Foo Chek Seng, Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi), melalui Podcast Polis Komuniti bersama pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), menjadi wadah bermakna memperkukuh kefahaman terhadap peranan PDRM.

Program ini membuka ruang dialog antara pelajar, akademia dan anggota polis dalam membincangkan isu disiplin, keselamatan digital, patriotisme dan tanggungjawab sivik. Ia membuktikan pendidikan dan keselamatan boleh berjalan seiring mendidik minda sambil membina jati diri.

Pendekatan kreatif seperti podcast memperlihatkan wajah baharu PDRM: progresif, terbuka dan berorientasikan nilai manusiawi. Kepimpinan polis yang berwibawa dan strategik memanfaatkan teknologi dan komunikasi digital untuk mendekati masyarakat. Ia selari dengan aspirasi kerajaan, NGO dan institusi pendidikan untuk membina masyarakat berinformasi, empatik dan berintegriti.

Namun, kolaborasi antara polis, NGO dan institusi pendidikan menuntut komitmen berterusan dan berintegriti tinggi. Polis perlu memperkukuh kemahiran komunikasi insani, manakala NGO dan universiti harus memastikan setiap program berpaksikan tanggungjawab sosial, amanah dan kepentingan awam, bukan agenda politik sempit.

Bukan sekadar aspek fizikal 

Dalam dunia yang semakin kompleks, keselamatan bukan lagi sekadar aspek fizikal. Ia merangkumi keselamatan sosial, digital, psikologi dan moral.

Jika semua pihak berganding bahu, masyarakat mempercayai polis, dan polis menghormati suara rakyat, lahirlah ekosistem sosial yang harmoni. NGO, universiti dan institusi awam menjadi pemangkin yang menyatukan nilai integriti serta kemanusiaan demi masa depan Malaysia yang aman, sejahtera dan bermaruah.

PIKM berperanan memastikan industri keselamatan, terutamanya pengawal keselamatan, mematuhi standard profesional dan etika yang tinggi. Ini termasuk integriti, disiplin, tanggungjawab dan akauntabiliti dalam menjalankan tugas.

Dengan pematuhan ini, pengawal keselamatan bukan sekadar pengawas premis, tetapi juga penyumbang kepada keamanan masyarakat secara lebih luas.

Malaysia, sebagai negara majmuk dengan pelbagai kaum, agama dan budaya, memerlukan falsafah keamanan yang kukuh menekankan perpaduan, integriti dan tanggungjawab sosial. Keamanan bukan sahaja tanggungjawab kerajaan atau polis semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama setiap individu dan komuniti.

Polisi keselamatan awam PDRM, peranan aktif NGO seperti IKRAM dan PIKM serta penglibatan institusi pendidikan saling melengkapi untuk membentuk masyarakat madani yang harmoni, berdisiplin dan berintegriti.

Dengan gabungan nilai moral, pendidikan sivik dan penglibatan masyarakat, falsafah keamanan ini bukan sekadar konsep ideal, tetapi menjadi panduan praktikal dalam membina keamanan sosial yang lestari dan berkesan di Malaysia. 

Marilah kita jadikan ungkapan “Polis, NGO dan masyarakat berpisah tiada” bukan sekadar slogan, sebaliknya manifestasi kerjasama, dialog dan pendidikan berterusan dalam melindungi falsafah keamanan yang perlu kita kongsi bersama.

Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT

Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia & 

Pengerusi Women in Future Technologies (WiFT), MyRAS

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia