Bencana Alam: Amanah dan Rahmah yang Hilang?

Bencana Alam

Berabad-abad lamanya manusia menulis dirinya sebagai watak utama dalam drama kehidupan. Alam hanyalah pentas, makhluk lain sekadar pelakon tambahan, dan kita yang kononnya “moden” sering menganggap kemajuan sebagai lesen untuk menakluk apa sahaja yang wujud.

Dalam keghairahan mengejar pembangunan, manusia moden memperlakukan alam seperti sesuatu yang boleh dipakai tanpa komitmen, sebuah hubungan satu arah yang hanya tahu meminta, bukan menjaga apalagi memelihara.

Sungguh, ironi terbesar abad ini, kerosakan dilakukan sambil meyakini bahawa “kemajuan” mampu membenarkan apa jua bentuk kerakusan.

Aldo Leopold, pakar ekologi yang juga ahli falsafah, pernah mengingatkan manusia yang sombong:

“Manusia disebut beradab ketika melihat dirinya sebagai sebahagian daripada komuniti ekologis, bukan penguasa tunggalnya.”

Namun, manusia lebih suka menjadi penikmat, bukan anggota komuniti itu. Manusia mengambil hasil bumi tanpa syukur, memerah sumber alam tanpa sedar, bahawa setiap habuan yang digenggam ada harga yang perlu dibayar.

Apabila banjir besar melanda, tanah runtuh menelan rumah, empangan kering kontang atau sungai bertukar warna lumpur, manusia bertanya, “mengapa alam murka?” sedangkan dalam diri kita sendirilah jawapan bencana itu disembunyikan.

Teguran yang sering diabaikan 

Setiap musibah bukan sekadar peristiwa alam. Ia adalah patahnya sistem penyelenggara kehidupan akibat tangan-tangan manusia. Allah SWT sudah mengingatkan perkara ini secara jelas dalam al-Quran:

“Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah ar-Rum, 30:41)

Ayat ini bukan sekadar teguran, tetapi amaran yang selama ini sering diabaikan. Segala bencana yang terjadi bukan semata-mata fenomena cuaca, tetapi sebuah cermin yang memantulkan sikap manusia terhadap bumi.

Hutan yang ditebang tanpa belas kasihan, tanah yang diseksa dengan pembangunan rakus, sungai yang diperlakukan seperti tempat pembuangan, dan semua itu adalah tanda bahawa manusia semakin lupa peranan asal mereka sebagai khalifah.

Rasulullah SAW sendiri sudah mengajarkan betapa merawat bumi adalah sebahagian daripada iman. Baginda bersabda:

“Sesungguhnya dunia ini hijau dan indah, dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu khalifah di atasnya. Maka Dia melihat bagaimana kamu bertindak.” (HR Muslim, no. 2742)

Hadis ini bukan hanya sebuah pernyataan estetika, “hijau dan indah”, tetapi satu deklarasi amanah. Khalifah bermaksud penjaga, pengurus, pelindung, bukan perosak. Tetapi manusia moden memilih untuk membutakan mata terhadap tugas asas ini. Kita mengejar keuntungan dalam bentuk angka, namun lupa bahawa angka tidak pernah dapat menggantikan sungai yang mati dan udara yang tercemar.

Teladan untuk kita 

Dalam sejarah para salafussoleh, kita temukan teladan yang luar biasa tentang hubungan manusia dengan alam. Umar ibn al-Khattab r.a. pernah menegur seorang lelaki yang memotong pokok tanpa keperluan. Beliau berkata:

“Biarkan ia hidup kerana ia memberi manfaat kepada makhluk lain.”

Begitu juga dengan Abu Bakar r.a. yang berpesan kepada bala tenteranya ketika berperang:

“Jangan kamu potong pokok-pokok kecuali yang perlu. Jangan kamu musnahkan tanaman.”

Ajaran-ajaran ini bukan hanya nasihat, tetapi prinsip hidup yang menunjukkan bahawa memelihara alam adalah sebahagian daripada akhlak seorang Muslim.

Namun hari ini, dunia seakan menuju arah bertentangan. Kita mendirikan bangunan mewah tetapi membiarkan sungai mati. Kita membina jalan raya tetapi membunuh habitat.

Kita mengukur kejayaan negara melalui pencakar langit, bukan melalui kebersihan air dan kestabilan ekologi. Kita lupa bahawa negara yang makmur bukan sekadar kaya GDP (Gross Domestic Product), tetapi memiliki keseimbangan spiritual, baldatun toyyibatun warabbun ghofur.

Hati yang bersih 

Konsep baldatun toyyibatun warabbun ghofur tidak akan hidup hanya dengan ucapan. Ia memerlukan masyarakat yang memahami bahawa kemakmuran sejati bermula daripada hati yang bersih dan ekosistem yang seimbang. Kemakmuran itu bukan hanya pada bangunan megah, tetapi pada hutan yang dilindungi, sungai yang jernih dan masyarakat yang mempunyai jiwa menjaga amanah.

Di sinilah Asas Islam Rahmah (AISAR), sebuah pendekatan untuk mengembalikan kefahaman bahawa Islam adalah agama rahmah yang merangkumi seluruh aspek kehidupan, termasuk hubungan manusia dengan alam.

AISAR menuntut agar kita melihat alam sebagai ayat-ayat Tuhan yang hidup. Dalam pendekatan ini, manusia dididik untuk memahami bahawa menyakiti bumi sama seperti menyakiti diri sendiri, kerana manusia dan alam dikaitkan oleh satu sistem kehidupan yang saling bergantung.

AISAR mengajak masyarakat kembali kepada prinsip Rabbani, iaitu menjadi manusia yang penuh rahmah, adil dan berakhlak dalam setiap tindakan, termasuk dalam penggunaan sumber alam. Ia menekankan keseimbangan (mizan) yang Allah sebutkan dalam al-Quran:

“Dan langit telah Allah tinggikan, dan Dia meletakkan mizan (keseimbangan), supaya kamu tidak melampaui batas dalam mizan.” (Surah ar-Rahman, 55: 7–8)

Sering kali manusia melampaui batas apabila membangunkan sesuatu tanpa memikirkan kesannya terhadap bumi. Manusia melampaui batas apabila membuang sisa industri ke dalam sungai. Melampaui batas inilah yang menjemput kemusnahan.

Betulkan langkah 

Maka tiba masanya untuk manusia melakukan muhasabah besar-besaran. Muhasabah bukan sekadar merenung, tetapi membetulkan langkah. Dunia tidak menunggu. Alam tidak menunggu. Kita tidak punya masa untuk terus berdebat tentang siapa yang salah. Yang penting adalah kembali menjadi manusia yang memanusiakan alam.

Jika setiap insan menyedari bahawa menjaga bumi adalah ibadah, jika setiap keluarga mendidik anak mencintai alam seperti mencintai diri, jika setiap pemimpin memahami bahawa pembangunan mesti bersifat lestari, jika masyarakat kembali kepada roh Islam yang membina peradaban berasaskan rahmah, maka Malaysia pasti menuju ke arah sebuah negara baldatun toyyibatun warabbun ghofur.

Bumi yang dipelihara adalah cerminan jiwa yang disucikan. Dan negara yang memuliakan alam adalah negara yang diberkati Tuhan.

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia