Polemik mengenai perbankan Islam sering kali hangat dalam diskusi awam di Malaysia. Sejumlah besar kritikan timbul daripada salah faham asas terhadap konteks dan aplikasi perbankan Islam, yang sering dilabel sebagai “kosmetik” atau “sama sahaja” dengan perbankan konvensional.
Kritikan ini, jika tidak ditangani dengan cermat dan rujukan berautoriti, boleh menghakis keyakinan masyarakat terhadap sistem kewangan Islam yang sebenarnya bertujuan mencapai keadilan ekonomi dan memenuhi maqasid syariah (tujuan-tujuan syariah).
Kedudukan perbankan Islam di Malaysia sudah sepatutnya tidak menjadi perdebatan kerana ia telah diiktiraf sejak tahun 1983 lagi oleh kerajaan Malaysia. Namun, perbincangan berkaitan pelaksanaan kontrak dan produk yang ditawarkan berkemungkinan menjadi perdebatan tetapi tidaklah sewajarnya sampai ke tahap menolak tanggungjawab untuk berurusan dengan perbankan Islam dan memilih perbankan konvensional.
Bagi mengurus salah faham dan sikap skeptikal sesetengah masyarakat Islam terhadap perbankan Islam, perbincangan seharusnya dimulakan dengan meletakkan batu asas kepada pembentukan sistem perbankan Islam itu sendiri. Lazimnya, sesebuah entiti dibangunkan dengan mempunyai kerangka yang jelas dan terdiri daripada kerangka perundangan, pentadbiran, pengoperasian dan pengurusan pemegang berkepentingan.
Akta Bank Negara 2009 telah memberikan kuasa lebih luas kepada Majlis Penasihat Syariah (MPS) dan mewajibkan mahkamah sivil untuk merujuk MPS bagi isu-isu berkaitan kewangan dan perbankan Islam. Selain daripada peruntukan dalam akta Bank Negara, pematuhan syariah dalam aktiviti kewangan Islam telah diperuntukkan dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013).
Tadbir urus syariah dalam perbankan Islam telah ditetapkan melalui akta IFSA 2013 iaitu setiap institusi perbankan Islam perlu menubuhkan jawatankuasa syariah masing-masing untuk menasihati institusi berkaitan perkara-perkara syariah. Peruntukan institusi perbankan Islam dalam perundangan melalui kerangka pentadbiran turut menjadi segmen penting dalam membezakan peranan perbankan Islam berbanding perbankan konvensional.
Membetulkan salah faham yang berulang
Masyarakat sering melihat perbankan Islam menggunakan terma yang serupa seperti “keuntungan” (profit) dan “kadar” (rate), menyebabkan mereka keliru dan menyimpulkan bahawa perbankan Islam hanyalah penjenamaan semula pinjaman konvensional dengan nama Arab. Salah faham ini timbul daripada perbandingan langsung tanpa merit yang jelas kepada konsep kadar harga atau faedah yang sering menjadi ukuran dalam masyarakat.
Bagi tanggapan salah dan kekeliruan terma, operasi perbankan konvensional adalah berasaskan kepada kontrak pinjaman iaitu wang dipinjamkan dan sebagai pulangan kepada pinjaman, faedah dikenakan tanpa mengira prestasi aset atau aktiviti perniagaan pelanggan. Dalam situasi ini, risiko hanya ditanggung oleh peminjam sahaja.
Manakala operasi perbankan Islam adalah berasaskan kontrak sama ada jual beli, perkongsian atau sewaan. Kita ambil satu contoh seperti kontrak perkongsian (mudarabah), bank akan membeli aset dan dijual kepada pelanggan dengan harga yang dipersetujui (setelah dikira kos dan margin keuntungan).
Melalui kontrak ini, bank berkongsi untung dan rugi bersama pelanggan. Dalam konteks perdagangan aset, ia berlaku dengan aset sebenar dan turut menanggung risiko yang tiada aplikasinya dalam pinjaman konvensional.
Kelewatan bayaran dalam kontrak yang telah dipersetujui akan menyebabkan denda. Sering menjadi persoalan, adakah institusi perbankan Islam mengenakan denda seumpama perbankan konvensional? Persoalan tindakan atas kelewatan bayaran terpakai dalam kedua-dua institusi ini.
Namun, kaedah pengurusannya berbeza. Institusi kewangan Islam tidak mengenakan faedah atas kelewatan sebaliknya mengenakan ganti rugi taksiran (ta’widh). Pelaksanaan ta’widh hanya untuk menampung kos kerugian sebenar yang ditanggung oleh institusi, contohnya kos perundangan dan operasi.
Sebarang lebihan perolehan wajib disalurkan kepada dana sumbangan amal dan tidak akan menjadi pendapatan kepada pihak institusi. Ta’widh dalam masa yang sama bertujuan menjaga hak tanpa mengambil riba serta menggalakkan pelanggan untuk berdisiplin selaras dengan prinsip keadilan dan keseimbangan syarak.
Salah faham seterusnya adalah berkaitan kadar keuntungan jualan yang disifatkan meningkat mengikat kadar asas dan anggapan masyarakat bahawa ia adalah sama dengan faedah berubah (floating interest rate) dalam konvensional.
Floating rate merupakan alat yang digunakan oleh pihak bank untuk memastikan kadar yang dikenakan kepada pelanggan tidak tinggi kerana asas dalam kontrak jual beli syariah adalah harga jualan mesti tetap, tidak berubah apabila perjanjian jualan telah dimeterai. Bagi alat ini, terdapat dua kadar iaitu contractual rate dan effective rate.
Effective rate merupakan kadar yang dibayar oleh pelanggan setiap bulan kepada bank dan ia merupakan kadar yang lebih rendah daripada contractual rate. Kebiasaanya effective rate diikat kepada BLR/BFR/BR dan bergantung kepada polisi kadar semalaman (OPR) yang ditentukan oleh pihak Bank Negara.
Mekanismenya adalah apabila OPR turun kadar BLR/BFR/BR turut turun dan effective rate akan turun dan begitulah sebaliknya. Praktis floating rate dalam perbankan Islam akan berubah tetapi tidak boleh melebihi kadar siling yang telah ditetapkan. Situasi ini berbeza dengan praktis perbankan konvensional. Melalui penetapan kadar siling, perbankan Islam akan menetapkan kadar yang tidak melebihi kadar tersebut.
Mekanisme kontrak perbankan Islam
Perbankan Islam dalam kerangka maqasid syariah berusaha untuk mewujudkan keadilan sosial dan ekonomi sepertimana yang digariskan dalam nilai-nilai universal melalui buku Asas Islam Rahmah (AISAR) keluaran IKRAM.
Nilai-nilai tersebut menekankan bahawa kekayaan diagihkan secara meluas, bukannya tertumpu pada segelintir pihak. Ia menggalakkan aktiviti ekonomi sebenar yang didukung oleh aset fizikal dan perkongsian risiko, berbanding spekulasi berasaskan hutang.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 8 bermaksud:
“…dan janganlah kebencianmu terhadap terhadap suatu kaum mendorong kamu tidak berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat dengan takwa…”
Untuk memudahkan kefahaman, dua contoh produk utama perbankan Islam menunjukkan bagaimana ia berbeza dalam praktikal:
- Murabahah(Jual Beli dengan Keuntungan)
- Aplikasi: Pembiayaan Perumahan, Pembiayaan Kenderaan.
- Mekanisme: Bank membeli rumah daripada pemaju dan menjualnya kepada pelanggan pada harga yang lebih tinggi (Harga Beli Bank + Margin Keuntungan). Pelanggan membayar harga jualan ini secara ansuran.
- Ciri Kepatuhan Syariah: Kontrak ini memerlukan pemilikan sebenar aset oleh bank walaupun hanya untuk seketika (constructive possession). Bank menanggung risiko aset sebelum ia dijual kepada pelanggan.
- Musyarakah Mutanaqisah(Perkongsian dan Pengurangan)
- Aplikasi: Pembiayaan Perumahan atau Perniagaan yang lebih canggih.
- Mekanisme: Bank dan pelanggan berkongsi pemilikan aset (contohnya rumah) mengikut peratusan modal masing-masing. Pelanggan membayar sewa kepada bank atas bahagian pemilikan bank, dan pada masa yang sama, membeli secara beransur-ansur saham pemilikan bank dalam aset tersebut.
- Ciri Kepatuhan Syariah: Pelanggan tidak meminjam, tetapi menyewa dan membeli. Bank dan pelanggan berkongsi risiko pemilikan aset (contoh: jika rumah terbakar, kerugian ditanggung mengikut nisbah pemilikan). Kaedah ini adalah manifestasi sebenar perkongsian risiko (risk-sharing) yang disokong syariah.
Polemik yang melanda perbankan Islam memerlukan pemahaman yang mendalam mengenai kontrak dan fungsi ekonomi di sebalik setiap produk. Institusi kewangan Islam perlu terus meningkatkan ketelusan dan komunikasi kepada masyarakat awam tentang mekanisme pematuhan syariah mereka.
Bagi masyarakat pula, penting untuk mereka mendapatkan penjelasan daripada rujukan berautoriti seperti Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Dengan kefahaman yang jelas, kita akan melihat bahawa perbankan Islam bukan hanya sekadar alternatif agama, tetapi satu sistem kewangan yang berdaya tahan, adil dan beretika, direka untuk mencapai matlamat utama syariah iaitu membawa maslahah (kebaikan) kepada umat manusia.
Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan/ Koordinator MBA & MIBF
Arshad Ayub Graduate Business School, UiTM Shah Alam




