Akhir-akhir ini, tular perdebatan hangat mengenai cadangan kerajaan untuk mengharamkan permainan dalam talian, Roblox dan aplikasi maya UMI.
Isu ini mencetuskan pelbagai reaksi, ada yang menyokong dan ada juga yang mengecam. Ramai mendakwa kerajaan tidak memahami dunia digital dan terlalu kolot, sedangkan golongan muda kononnya lebih arif tentang teknologi semasa.
Namun, sebagai seorang bapa kepada tiga orang anak, seorang di universiti dan dua lagi di sekolah menengah, saya melihat perkara ini dari sudut berbeza.
Bagi saya, cadangan kerajaan ini bukanlah soal sekatan semata-mata, tetapi soal perlindungan generasi muda daripada bahaya halus yang tersembunyi dalam dunia digital.
Kita semua tahu bahawa dunia kini bergerak ke arah digitalisasi menyeluruh. Tiada siapa boleh menafikan kepentingan teknologi, tetapi dalam masa yang sama, tidak semua kemajuan membawa kebaikan. Dunia digital ibarat dua mata pedang, satu sisi memberi manfaat manakala satu lagi boleh mencederakan jika tidak dikawal.
Roblox: Dunia maya tanpa sempadan
Bagi generasi hari ini, dunia maya bukan lagi tempat hiburan, tetapi ruang sosial utama. Di situ mereka berkawan, berkongsi emosi, malah membina identiti diri.
Aplikasi seperti Roblox dilihat sebagai permainan yang menyeronokkan dan kreatif. Anak-anak boleh membina dunia mereka sendiri, menukar pakaian maya, membeli rumah digital dan berinteraksi dengan pemain lain.
Namun, di sebalik grafik comel dan watak animasi itu, terdapat banyak ruang bahaya yang tersembunyi. Roblox, misalnya, membenarkan pengguna berbual dengan orang asing tanpa sekatan ketat.
Walaupun ada ciri kawalan ibu bapa, hakikatnya ramai tidak tahu cara menggunakannya. Akibatnya, anak-anak terdedah kepada bahasa kasar, unsur lucah, penipuan dalam talian dan pembelian barangan maya yang melibatkan wang sebenar.
Masalahnya, anak-anak kita belum cukup matang untuk menilai risiko ini. Mereka mudah percaya dan cepat terpengaruh. Dalam dunia digital, yang menyeronokkan dianggap selamat dan yang kelihatan comel disangka tidak berbahaya.
Lama-kelamaan, mereka boleh tenggelam dalam dunia palsu dan kehilangan keupayaan untuk menghargai nilai kehidupan sebenar seperti kerja keras, sabar dan hormat kepada orang lain.
Dunia maya juga mengajar anak-anak mencari ganjaran segera seperti ‘’likes’’, ‘’coins’’ dan ’’skins’’. Kebiasaan ini membentuk budaya baru untuk kepuasan segera. Apabila dunia sebenar tidak memberi ganjaran sepantas itu, mereka cepat bosan, cepat berputus asa dan sukar berdepan realiti.
UMI: Bahaya yang lebih halus
Berbeza dengan Roblox, UMI membawa cabaran yang lebih berlapis dan sukar dikesan. Aplikasi ini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mewujudkan watak maya yang boleh berbual dan “menemani” pengguna seolah-olah manusia sebenar.
Sekilas pandang, ia nampak comel dan tidak berbahaya seolah-olah teman berbual yang sentiasa memahami. Tetapi beberapa laporan menunjukkan bahawa UMI mampu memberikan respons emosi yang terlalu intim, malah kadangkala menjurus kepada perbualan yang tidak sesuai untuk remaja.
Di sinilah bahaya yang UMI boleh timbulkan iaitu kebergantungan emosi terhadap sesuatu yang tidak wujud. Remaja yang sunyi atau tidak mendapat perhatian di rumah mungkin menganggap UMI sebagai “teman sejati”. Lama-kelamaan, mereka lebih selesa berbual dengan aplikasi daripada dengan manusia sebenar.
Saya bayangkan bagaimana ini boleh memberi kesan jangka panjang. Jika anak-anak terlalu selesa dengan teman maya, mereka akan hilang keupayaan berinteraksi secara sosial, tidak tahu cara mengurus emosi dan mungkin menghadapi krisis identiti. Lebih menakutkan, nilai kemanusiaan seperti empati dan tanggungjawab boleh terhakis.
Teknologi bukan musuh, tapi mesti terkawal
Saya tidak menolak teknologi. Malah, saya sendiri bergantung kepada Internet dan aplikasi dalam kerja seharian. Anak saya di universiti pun menggunakan pelbagai perisian dan AI untuk belajar. Namun saya percaya, tidak semua kemajuan perlu diterima tanpa tapisan.
Apabila kerajaan mencadangkan pengharaman Roblox dan UMI, ia bukan bermaksud kerajaan antiteknologi. Sebaliknya, ia langkah pencegahan awal sebelum perkara lebih serius berlaku. Ia sama seperti undang-undang lalu lintas yang diwujudkan bukan untuk menyusahkan, tetapi untuk mengelakkan kemalangan.
Kita tidak boleh biarkan syarikat teknologi terus menghasilkan aplikasi tanpa batas moral hanya kerana mahu mengejar keuntungan. Kerajaan berhak bertindak apabila sesuatu platform mempengaruhi kesejahteraan dan akhlak generasi muda.
Pengharaman ini juga boleh menjadi mesej jelas kepada pembangun aplikasi bahawa perlindungan pengguna muda bukan pilihan, tetapi tanggungjawab sosial. Dunia digital mesti mempunyai kawalan, sama seperti dunia sebenar.
Peranan ibu bapa: Benteng pertama dan terakhir
Namun, dalam semua isu ini, saya yakin peranan ibu bapa tetap yang paling penting. Kerajaan boleh mengharamkan aplikasi tertentu, tetapi dunia digital luas, setiap hari muncul platform baharu. Jadi tanggungjawab utama tetap pada kita.
Sebagai ibu bapa, kita perlu lebih dekat dengan dunia anak-anak, bukan sekadar memantau dari jauh. Kita perlu tahu apa yang mereka tonton, apa yang mereka main dan siapa yang mereka kenali dalam talian. Komunikasi terbuka sangat penting.
Saya sendiri cuba jadikan waktu makan sebagai masa untuk berbual, bukan menatap skrin. Kadang-kadang saya tanya anak-anak pandangan mereka tentang isu semasa, hanya untuk galakkan mereka berfikir secara kritikal.
Saya perasan, apabila anak-anak berasa didengari, mereka lebih mudah berkongsi apa yang berlaku dalam dunia digital mereka. Kadang-kadang, anak-anak bukan ketagih aplikasi itu tetapi mereka inginkan perhatian dan pengiktirafan. Apabila mereka tidak mendapatnya daripada ibu bapa, mereka mencarinya daripada skrin.
Selain itu, kita juga perlu mendidik mereka tentang etika digital dan keselamatan siber. Ia bukan sekadar larangan, tetapi penjelasan mengapa sesuatu itu berbahaya. Jika mereka faham risikonya, mereka akan lebih bijak membuat pilihan.
Lindungi masa depan sebelum terlambat
Sebagai seorang bapa, saya menyokong penuh cadangan kerajaan untuk mengharamkan Roblox dan UMI. Dunia hari ini berubah terlalu cepat dan kita tidak boleh berpeluk tubuh melihat anak-anak hanyut dalam dunia yang dicipta algoritma.
Langkah ini mungkin tidak popular, tetapi kadang-kadang keputusan yang tidak popular itulah yang menyelamatkan masa depan. Kita tidak boleh terus menunggu kes pertama berlaku sama ada melibatkan jenayah siber, ketagihan digital atau krisis emosi baru mahu bertindak.
Mungkin ada yang menuduh kerajaan kolot atau “overprotective”, tetapi bagi saya, lebih baik kolot sekarang daripada menyesal pada kemudian hari. Anak-anak perlu ruang untuk membesar dengan nilai sebenar iaitu kasih sayang, empati dan interaksi manusia, bukan sekadar bersama skrin yang memuji tanpa jiwa.
Teknologi boleh membantu membina tamadun, tetapi tanpa sempadan moral, ia boleh menghancurkan generasi. Justeru, langkah ini bukan sekadar pengharaman tetapi satu peringatan kepada kita semua bahawa tanggungjawab mendidik dan melindungi anak-anak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada algoritma atau aplikasi.
Selagi saya bergelar bapa, saya akan lebih rela dilabel “terlalu berhati-hati” daripada menjadi bapa yang hanya sedar bahaya selepas semuanya terlambat.
Ts. Mohd Fitri Edros
Ketua Bahagian Infrastruktur ICT
Pusat Pengurusan & Pembangunan Digital
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)




