Setiap kali tibanya Hari Malaysia, kita diingatkan tentang pengorbanan, perpaduan dan kebijaksanaan generasi terdahulu yang menyatukan sebuah negara berbilang bangsa, budaya dan agama.
Namun, dalam denyut sejarah itu, ada suara dan sumbangan wanita yang sering kali tenggelam di sebalik naratif arus perdana. Realitinya, wanita bukan sahaja menjadi tonggak keluarga, tetapi turut berperanan sebagai pemimpin, pendidik dan penggerak masyarakat.
Dalam konteks Malaysia Madani yang berteraskan nilai rahmah, kepimpinan wanita bukan sekadar isu kesamarataan gender, tetapi kunci kepada pembinaan negara bangsa yang inklusif dan berdaya tahan.
Kepimpinan wanita tidak hanya dinilai pada kebolehan mentadbir, tetapi juga pada kemampuan membawa kesejahteraan kepada masyarakat. Inilah yang dimaksudkan dengan kepimpinan rahmah, memimpin dengan hati tanpa mengabaikan kecemerlangan minda. Konsep Rahmah yang diketengahkan dalam gagasan Malaysia Madani memberi makna baharu kepada kepimpinan wanita.
Rahmah menekankan kasih sayang, keadilan dan empati – tiga ciri utama yang mengimbangi tuntutan pembangunan ekonomi dengan kesejahteraan sosial. Kepimpinan yang bersifat rahmah tidak hanya berfokus kepada angka dan pencapaian material, tetapi menekankan kesejahteraan manusia dan keadilan sosial.
Nilai kepimpinan wanita ini turut dizahirkan melalui platform ilmiah dan dialog strategik, antaranya webinar yang dianjurkan bersama oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Kolaborasi ini melambangkan gabungan antara gerakan masyarakat madani dengan institusi akademik pertahanan, namun berkongsi aspirasi sama: membina kepimpinan berteraskan nilai dengan tajuk “Memaknai Rahmah dalam Pertahanan Negara”.
Di sebalik lembaran sejarah kemerdekaan, terselit kisah wanita yang menjadi nadi perjuangan bangsa. Mereka bukan sekadar penyokong di belakang tabir, tetapi penggerak utama di medan pendidikan, kesihatan dan keluarga.
Dari bilik darjah hingga ke medan perjuangan, wanita sentiasa memainkan peranan penting sebagai guru yang mencerdaskan bangsa, jururawat yang merawat pejuang dan ibu yang melahirkan generasi penerus.
Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Malaysia, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, usaha memperkasa kepimpinan wanita mendapat nafas baharu melalui pelaksanaan program Pertubuhan Aspirasi Kepimpinan (LEAD) yang dipimpin oleh Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, Pengerusi LEAD yang mengangkat tema “Wanita Berdaya, Negara Perkasa.”
Tema ini bukan sekadar slogan, tetapi mesej jelas bahawa kemajuan negara hanya akan tercapai apabila potensi seluruh rakyat, tanpa mengira jantina, digembleng sepenuhnya. Dalam menyambut Hari Wanita Kebangsaan, kita tidak boleh melupakan tokoh terdahulu yang menjadi pelopor keberanian.
Warisan perjuangan ini kini diteruskan oleh generasi baharu wanita yang tampil dengan idea segar, kepakaran profesional dan keberanian memimpin dalam pelbagai bidang. Sama ada dalam politik, ekonomi, akademia mahupun teknologi, kepimpinan wanita adalah simbol kesinambungan tradisi perjuangan dalam bentuk lebih strategik dan inklusif.
Usaha memperkasakan kepimpinan wanita bukan sahaja memenuhi tuntutan sosial, malah menzahirkan semangat Perlembagaan Persekutuan dalam membina negara yang adil dan inklusif. Perkara 8(2) Perlembagaan jelas melarang diskriminasi berasaskan jantina. Hal ini bermakna wanita berhak memperoleh peluang setara dalam kepemimpinan dan pembangunan.
Jika dahulu pejuang wanita mengangkat pena, semangat dan pengorbanan, hari ini perjuangan mereka menjelma dalam bentuk membina ekonomi, pendidikan, teknologi dan komuniti yang inklusif.
Tidak hairanlah peribahasa “bersatu teguh, bercerai roboh” kekal relevan. Negara hanya akan kukuh apabila wanita dan lelaki bersama-sama berganding bahu, saling melengkapi kekuatan masing-masing.
Teori Kepimpinan Transformasional (Burns & Bass) menegaskan bahawa pemimpin sejati bukan hanya mengurus sumber, tetapi menginspirasikan pengikut melalui visi dan nilai. Pemimpin transformasional mampu mengubah cabaran menjadi peluang dengan membina kepercayaan serta semangat kolektif.
Ciri-ciri ini amat jelas pada kepimpinan wanita kini yang sering menonjol dengan empati, kebijaksanaan dan daya tahan nilai yang mendorong perubahan sosial positif. Menariknya, ciri-ciri ini selari dengan gagasan Rahmah dalam Malaysia Madani, iaitu kepimpinan berasaskan kasih sayang, keadilan dan empati.
Justeru, apabila wanita diberi mandat, mereka bukan lagi pengikut tetapi arkitek negara yang dapat membina legasi berteraskan kesejahteraan dan kemanusiaan. Dengan empati, kebijaksanaan dan daya tahan nilai, mereka mengukir legasi kepimpinan yang akan dikenang generasi akan datang.
Kekuatan sebenar sesebuah bangsa tidak hanya diukur pada ekonomi dan teknologi, tetapi juga pada sejauh mana ia memberi ruang kepada semua warganya untuk berkembang. Apabila wanita diberi peluang memimpin, separuh daripada potensi bangsa yang terpendam akhirnya digerakkan.
Hakikatnya, membiarkan potensi wanita tidak dimanfaatkan umpama membiarkan separuh jentera negara tidak berfungsi. Sebaliknya, apabila kepimpinan wanita diperkasa, kita sedang melengkapkan keseluruhan ekosistem pembangunan negara.
Semangat Merdeka menuntut kita bukan sekadar mengenang jasa pejuang terdahulu, tetapi menyambung legasi dengan membina negara yang lebih adil, berdaya saing dan berperikemanusiaan.
Dalam dunia yang sering menyanjung kekerasan, kepimpinan wanita berasaskan rahmah membawa alternatif yang lebih lestari, memimpin dengan hati, namun tetap berpaksikan kecemerlangan akal budi.
Dengan sokongan masyarakat, Malaysia mampu melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam pelbagai sektor. Jalur Gemilang yang kita kibarkan bukan sekadar lambang kemerdekaan, tetapi simbol keazaman untuk membina negara bangsa yang perkasa kerana seluruh rakyatnya, lelaki mahupun wanita, diberi peluang menyumbang.
Inilah maksud sebenar “Kepimpinan Wanita dan Nilai Rahmah dalam Pembinaan Negara Bangsa”, satu janji bahawa Malaysia hanya akan benar-benar perkasa apabila kepimpinan wanita dan lelaki digembleng bersama dalam semangat rahmah, inklusif dan merdeka.
Kita yakin bahawa dengan sokongan masyarakat, Malaysia mampu melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam pelbagai sektor.
Jalur Gemilang yang kita kibarkan bukan sekadar lambang kemerdekaan, tetapi simbol keazaman untuk membina negara bangsa yang perkasa kerana seluruh rakyatnya, lelaki mahupun wanita, diberi peluang menyumbang.
Seperti laungan tema “Wanita Berdaya, Negara Perkasa”, semoga semangat ini terus menjadi obor yang menyinari selari dengan konsep Rahmah. Selamat Menyambut Hari Malaysia.
Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Bendahari Kehormat Balai Ikhtisas Malaysia (BIM)