Pejam dan celik, sudah 62 tahun lahirnya sebuah negara bernama Malaysia yang juga secara rasminya wujud di peta dunia.
Tarikh 16 September 2025 belum lama meninggalkan kita dan kita melihat generasi kini berdiri di persimpangan sejarah iaitu mengenang warisan yang diterima dan merenung amanah yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang.
Generasi hari ini mewarisi sebuah negara yang dibina atas titisan darah, keringat dan air mata para pejuang. Mereka meninggalkan kepada kita sebuah “tempat tinggal” yang aman yang di dalamnya mengandungi kepelbagaian adat dan budaya yang saling menghormati.
Selain itu, ditinggalkan juga sistem yang stabil dan pelbagai peluang untuk diteroka. Namun persoalannya kini ialah, apa pula warisan yang akan kita tinggalkan untuk generasi selepas ini?
Dalam erti kata lain, adakah kita telah memenuhi amanah pewaris dan pejuang terdahulu sebagai penjaga negara ini atau kita telah mengkhianati kepercayaan yang diamanahkan buat anak cucu kita?
Warisan yang diterima
Para pejuang kemerdekaan telah mewariskan kepada kita “kekayaan” yang tidak ternilai. Bumi Malaysia yang kita warisi bukanlah sekadar sekeping tanah di Asia, namun sebuah negara yang penuh dengan berkah dan kurniaan daripada Allah SWT.
Apa yang ditinggalkan? Pertama, kita mewarisi tanah air yang aman dan makmur. Selama enam dekad, Malaysia tidak pernah dilanda peperangan atau pergolakan politik yang menumpahkan darah seperti beberapa buah negara lain. Kestabilan ini membolehkan pembangunan ekonomi, sosial dan budaya berkembang dengan pesat.
Kedua, sistem pendidikan dan kesihatan yang membolehkan rakyat mencapai taraf hidup yang lebih baik. Hal ini dibuktikan melalui statistik jangka hayat penduduk di Malaysia yang telah meningkat kepada 76 tahun berbanding tahun-tahun sebelumnya. Peningkatan ini hasil daripada kemajuan sistem kesihatan awam dan kesedaran kesihatan yang lebih baik.
Ketiga, kepelbagaian budaya, adat, kepercayaan dan agama yang dijadikan tunjang kekuatan sehingga lahirnya Rukun Negara. Keempat, kekayaan sumber alam yang melimpah-ruah, daripada minyak, gas sehinggalah kepada tanah yang subur dan hutan yang lebat.
Namun yang paling berharga ialah, kita mewarisi sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan masih menghormati kepelbagaian kepercayaan daripada agama lain.
Ia merupakan anugerah yang tidak semua negara Muslim miliki, iaitu keupayaan untuk menjadi contoh bagaimana Islam boleh hidup harmoni dengan kepelbagaian budaya, bangsa, ras dan etnik.
Cabaran yang dihadapi
Namun hari ini, amanah yang diwariskan sedang diuji. Generasi muda semakin terasing daripada nilai-nilai murni yang menjadi asas pembinaan negara.
Kemerosotan akhlak menjadi isu yang membimbangkan sehingga meningkatkan kes-kes buli, dadah, rasuah, aktiviti toksik, pemanduan secara berbahaya, sikap pemarah dan budaya “segera” yang menyasarkan perhatian, ganjaran serta usaha meluaskan pengaruh yang menggantikan nilai jujur, tanggungjawab kerja keras dan kesabaran.
Masalah kerosakan alam sekitar turut menjadi ancaman serius. Apa yang dilihat kini adalah pembangunan yang tidak terancang yang merosakkan hutan, mencemarkan sungai dan mengancam biodiversiti. Tanah yang diamanahkan oleh Allah kepada kita sebagai khazanah untuk semua makhluk kini semakin tercemar dan digadaikan untuk keuntungan jangka pendek.
Seterusnya ancaman perpecahan kaum dan agama, menjolok isu 3R yang dilihat semakin berani dimainkan oleh sesetengah individu yang secara jelas mampu mengancam kestabilan yang diwariskan oleh para pejuang.
Ucapan berbentuk hasutan, kebencian di media sosial, politik perkauman yang sempit dan kejahilan agama telah mewujudkan jurang yang semakin lebar antara rakyat pelbagai kaum di Malaysia.
Isu meletakkan kebendaan dan keseronokan sebagai falsafah utama membuatkan generasi kini lupa akan tanggungjawab mereka sebagai khalifah di muka bumi. Materialisme telah menggantikan spiritualisme dan hedonisme telah melupakan nilai-nilai kesederhanaan yang diajarkan oleh Islam.
Konsep amanah
Tujuan penciptaan manusia adalah sebagai khalifah (Surah al-Baqarah, ayat 30) yang menyempurnakan tanggungjawab terhadap Pencipta-Nya dan makhluk lain. Dalam erti kata lain, Islam mengajar setiap individu sebagai pemegang amanah (Surah al-Ahzab, ayat 72) dan mengabdikan diri sepenuhnya hanya kepada Pencipta (Surah az-Zarriyat, ayat 56).
Amanah ini bukan sahaja melibatkan tanggungjawab kepada Pencipta, bahkan juga kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan alam sekitar.
Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap kepimpinannya.” (Sahih Bukhari, no hadis 844).
Malaysia yang kita huni hari ini adalah amanah daripada Allah SWT. Tanah ini bukan milik mutlak kita, namun pinjaman yang perlu dijaga dan diserahkan kepada generasi seterusnya dalam keadaan yang lebih baik. Setiap tindakan kita hari ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah dan akan memberi kesan kepada masa depan anak cucu dan generasi seterusnya.
Warisan untuk generasi masa hadapan
Jika para pejuang kemerdekaan mewariskan kepada kita sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, apakah yang patut kita wariskan kepada generasi seterusnya?
Pertama, lahirkan generasi yang berakhlak mulia. Kita perlu memastikan keluarga dan anak-anak kita dipupuk dengan nilai-nilai Islam yang murni agar tidak terpengaruh dengan budaya hedonisme dan materialisme.
Mereka perlu diberikan kefahaman bahawa kehidupan di dunia bersifat sementara dan tujuan hidup yang sebenar ialah bersedia dan meneruskan kehidupan “di sana” dengan tiada cela.
Kedua, wariskan negara yang sejahtera dan adil. Kekayaan negara perlu diagihkan dengan adil, rasuah perlu dihapuskan dan sistem keadilan perlu diperkasakan. Setiap rakyat, tidak kira bangsa atau agama, perlu merasai kesaksamaan, keadilan dan kesejahteraan tanpa mengira keturunan dan darjat.
Ketiga, lestarikan alam sekitar dengan keseimbangan pembangunan dan pemuliharaan alam. Dengan ini generasi akan datang mendapat tanah, tempat tinggal yang bersih, flora dan fauna yang hijau serta segar, sungai yang jernih dan udara yang tidak tercemar.
Keempat, sediakan perpaduan yang kukuh. Kepelbagaian dan kerencaman bangsa perlu diperkukuh dan dipelihara agar menjadi kekuatan kepada negara ini. Generasi akan datang perlu mewarisi sebuah negara Malaysia yang bersatu, bukan negara yang berpecah-belah.
Tanggungjawab setiap individu
Menjaga amanah ini bukan tanggungjawab satu pihak semata-mata, tetapi tanggungjawab setiap individu, baik sebagai ibu bapa, pelajar, pekerja, peniaga mahupun pemimpin. Setiap tindakan kecil yang kita lakukan hari ini akan memberi kesan kepada masa depan negara ini.
Justeru, kita perlu menjaga semua ini sesuai dengan prinsip AISAR yang menekankan Islam agama rahmah, supaya warisan murni ini terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Sempena Hari Malaysia yang ke-62 ini, renunglah sejenak, adakah kita telah menjadi khalifah yang baik atau kita telah mengkhianati apa yang diamanahkan? Adakah ini yang akan diwariskan untuk generasi depan nanti.
Masa depan negara terletak di tangan kita semua. Pilihan ada pada kita sendiri, sama ada kita menjadi generasi yang menjaga amanah atau generasi yang mengkhianatinya. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan hidayah untuk menjadi penjaga amanah yang terbaik.
Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia