Jenayah Qazaf: Lindungi Maruah, Tutup Pintu Fitnah

Jenayah Qazaf: Lindungi Maruah, Tutup Pintu Fitnah | IKRAM

Budaya “viral dulu, siasat kemudian” semakin menular dalam masyarakat sehingga tuduhan atau berita palsu lebih mudah dipercayai berbanding fakta yang sahih. Situasi ini menyebabkan maruah seseorang boleh hancur dalam sekelip mata hanya kerana perkongsian tanpa tapisan. Di sinilah Islam tampil dengan solusi yang jelas dan berprinsip. 

Dalam Islam, maruah manusia bukan sesuatu yang boleh dipersendakan. Syariat datang bukan sahaja untuk menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, tetapi juga kehormatan diri. Allah SWT menegaskan dalam al-Quran:

“Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya.” (Surah al-Hujurat, 49: 12)

Ayat ini menunjukkan bahawa Islam memelihara maruah setiap manusia dengan penuh hormat. Sebarang tuduhan, gosip atau fitnah dianggap sebagai perbuatan yang menjijikkan.

Rasulullah SAW juga memberi peringatan keras tentang pentingnya menjaga maruah sesama Muslim. Baginda bersabda (maksudnya):

“Setiap Muslim ke atas Muslim lain haram (dicerobohi): darahnya, hartanya dan kehormatannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam konteks hari ini, fitnah tidak lagi berlegar di pasar atau majlis kampung, tetapi di hujung jari dalam bentuk “posting”, “komen” dan “viral” di media sosial. Satu tuduhan yang disebar tanpa bukti boleh menjatuhkan reputasi seseorang, meruntuhkan keluarga, malah mengheretnya ke lembah kemurungan.

Justeru, undang-undang seperti qazaf hadir sebagai pelindung bukan sekadar menghukum si penuduh, tetapi memastikan setiap insan dapat hidup dengan maruah terpelihara di bawah naungan syariat Islam.

Jenayah qazaf dalam Islam

Qazaf didefinisikan sebagai melemparkan tuduhan zina terhadap seorang Muslim yang baik tanpa membawa empat saksi lelaki yang adil. Hukumnya telah dijelaskan secara tegas dalam al-Quran:

“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik (berbuat zina) lalu mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) dengan 80 kali sebat, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Surah an-Nur, 24: 4)

Hukuman sebatan 80 kali dan penolakan kesaksian membawa mesej yang jelas iaitu maruah manusia tidak boleh dijadikan permainan. Syarat empat orang saksi yang adil merupakan syarat yang ketat hingga hampir mustahil sesuatu tuduhan zina boleh dibuktikan melainkan benar-benar berlaku secara terang-terangan.

Hal ini menunjukkan bahawa Islam bukan sekadar mahu menghukum penzina, tetapi lebih utama mahu menutup pintu fitnah.

Dalam Islam, jenayah qazaf bukan hanya terhad kepada tuduhan zina, tetapi juga merangkumi tuduhan liwat. Ibn Qudamah dalam al-Mughni menjelaskan: “Sesiapa yang menuduh orang lain melakukan liwat, maka hukumnya sama seperti menuduh zina kerana ia adalah tuduhan terhadap kehormatan yang mewajibkan hudud.”

Oleh itu, sesiapa yang menuduh orang lain melakukan zina atau liwat tanpa membawa empat orang saksi lelaki yang adil, maka tuduhan itu dianggap qazaf dan penuduh boleh dikenakan hukuman hudud. Hukuman ini merangkumi sebatan 80 kali, penolakan kesaksian sepanjang hayat serta dikategorikan sebagai fasik sehingga bertaubat, sebagaimana yang ditegaskan dalam Surah an-Nur (24: 4).

Salah satu hukuman bagi jenayah qazaf selain sebatan 80 kali ialah penolakan kesaksian si penuduh dalam sebarang urusan rasmi atau perbicaraan, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu terima kesaksian mereka itu selama-lamanya, dan mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Surah an-Nur, 24:4)

Hukuman ini bermaksud individu yang pernah dihukum qazaf kehilangan kredibiliti sosial dan undang-undang kerana dianggap tidak amanah dan fasik, justeru kata-katanya tidak boleh dijadikan sandaran dalam menegakkan keadilan.

Implikasinya sangat besar kerana dia tidak lagi boleh menjadi saksi di mahkamah, termasuk dalam urusan pernikahan, muamalat atau jenayah, melainkan setelah dia benar-benar bertaubat dengan taubat nasuha sebagaimana dikecualikan dalam ayat 5 surah yang sama. 

Hikmah hukuman ini ialah memberi amaran keras bahawa fitnah bukan sahaja dosa besar, tetapi juga boleh memusnahkan reputasi dan kepercayaan masyarakat terhadap si pelaku.

Sebagai contoh kontemporari, jika seseorang menuduh individu lain melakukan zina atau liwat di media sosial tanpa bukti, lalu sabit kesalahan qazaf di mahkamah syariah, maka bukan sahaja dia dikenakan sebatan, bahkan kesaksiannya tidak akan diterima.

Keadaan ini memberi mesej jelas bahawa menyebarkan fitnah bukan sekadar “kesalahan moral”, tetapi boleh memberi kesan jangka panjang terhadap reputasi, hak dan kedudukan seseorang di sisi undang-undang Islam.

Didikan Islam: Kawal lidah, kawal jari 

Rasulullah SAW pernah mengingatkan bahawa punca paling banyak menjerumuskan manusia ke dalam neraka ialah “al-fam wa al-farj” iaitu mulut dan kemaluan (Hadis riwayat at-Tirmizi). Pada zaman moden ini, mulut boleh diganti dengan jari-jemari di media sosial.

Baginda juga bersabda yang bermaksud:

“Cukuplah seseorang dianggap pendusta apabila dia menceritakan setiap perkara yang didengarnya (tanpa tapisan).” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini sangat relevan dengan budaya “forward tanpa usul periksa” dalam WhatsApp dan media sosial hari ini. Seorang Muslim dituntut untuk menapis, menyemak dan berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu berita. Hukuman qazaf mendidik kita agar tidak mudah menuduh, apatah lagi menyebarkan fitnah.

Syariat sebagai rahmat 

Hukuman qazaf bukanlah sekadar undang-undang keras, tetapi ia adalah instrumen rahmat untuk melindungi manusia daripada fitnah dan kehancuran sosial. Islam mahu menutup pintu keburukan sebelum ia merebak agar maruah setiap insan terpelihara.

Dalam buku Asas Islam Rahmah (AISAR) terbitan Pertubuhan IKRAM Malaysia, penekanan diberikan terhadap pengamalan ajaran Islam supaya manusia dapat menjalani kehidupan yang bermakna, sejahtera, harmoni dan penuh keberkatan. 

Dalam dunia hari ini yang tuduhan zina dan liwat mudah menjadi bahan viral, kita semakin jelas melihat hikmah syariat. Tanpa perlindungan qazaf, maruah manusia akan menjadi mainan politik, gosip murahan dan modal hiburan netizen.

Sebagai umat Islam, kita mesti kembali kepada roh maqasid syariah: menutup pintu fitnah, membuka jalan keadilan. Jadilah umat yang memelihara maruah sesama insan, berhati-hati dengan kata-kata serta bertanggungjawab dengan apa yang kita kongsi. Ingatlah, maruah manusia lebih bernilai daripada ribuan “like” dan “share” di media sosial. 

Ustazah Hasliza Talib
Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia