Pengeboman yang dilakukan Israel ke atas ibu kota Doha pada 9 September 2025 membuka lembaran hitam baharu dalam konflik yang berlarutan di Timur Tengah.
Tindakan agresif yang menyasarkan kawasan awam serta zon diplomatik ini bukan sahaja mencabul kedaulatan Qatar, malah melanggar undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.
Apa yang lebih membimbangkan, peristiwa itu berlaku ketika Doha menjadi tuan rumah rundingan gencatan senjata melibatkan biro politik Hamas.
Usaha ini sepatutnya membawa sinar harapan kepada keamanan serantau, namun Israel memilih jalan kekerasan, memusnahkan diplomasi dan menjejaskan kredibiliti proses damai. Jelas rejim Zionis tidak berminat mencapai perdamaian.
Perkembangan ini hanyalah sebahagian daripada pola tindakan Israel yang semakin kebal daripada akauntabiliti. Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) berpandangan bahawa tindakan ketenteraan tersebut menzahirkan Israel sebagai sebuah Outlaw State iaitu negara haram yang bertindak sesuka hati tanpa menghormati norma antarabangsa.
Dalam masa yang sama, Israel turut melancarkan operasi dron ke atas kapal awam Family Boat di perairan Tunisia. Kapal ini merupakan sebahagian daripada rombonngan Global Sumud Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Di atas dek kapal itu, antara ratusan sukarelawan, hadir juga aktivis alam sekitar terkenal dunia, Greta Thunberg, yang kini menjadikan solidariti terhadap Palestin sebagai medan perjuangannya.
Serangan itu bukan sekadar pencerobohan maritim, tetapi isyarat jelas bahawa Israel bukan sahaja mahu menindas rakyat Palestin, malah sanggup menentang seluruh masyarakat antarabangsa yang cuba membuka laluan bantuan dan harapan ke Gaza.
Pelanggaran undang-undang antarabangsa
Tindakan ketenteraan Israel di Doha jelas mencabul Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Artikel 2(4) yang melarang penggunaan kekerasan terhadap kedaulatan, integriti wilayah atau kemerdekaan politik mana-mana negara.
Qatar sebagai sebuah negara berdaulat mempunyai hak mutlak untuk menjalankan urusan diplomatik dan menjadi tuan rumah kepada rundingan damai. Pengeboman yang dilakukan Israel secara sengaja memperlekeh prinsip asas hubungan antarabangsa.
Serangan ini boleh dikategorikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan kerana ia berlaku di kawasan awam berpenduduk padat dan membahayakan nyawa orang tidak bersalah. Amnesty International dalam laporan tahunannya berulang kali menegaskan bahawa Israel kerap menggunakan taktik disproportionate attack yang bertentangan dengan Konvensyen Geneva 1949.
Insiden di perairan Tunisia menambahkan bukti bahawa Israel telah meluaskan medan kekerasannya melepasi sempadan Palestin. Kapal tersebut dilindungi di bawah Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS 1982). Pencerobohan ke atas kapal awam di perairan sebuah negara berdaulat boleh diklasifikasikan sebagai pencerobohan bersenjata atau tindakan menyerupai lanun.
Selain itu, menurut Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), operasi ketenteraan yang disengajakan terhadap misi kemanusiaan atau orang awam boleh dianggap sebagai jenayah perang. Tunisia, sebagai negara anggota kepada Statut Rom, mempunyai hak untuk memohon siasatan rasmi.
Kesan kepada kestabilan serantau dan global
Insiden di Doha bukan sahaja menggugat keselamatan Qatar, tetapi juga menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan rantau Teluk. Doha adalah pusat diplomasi global yang sering menjadi tuan rumah pertemuan damai.
Dengan menceroboh kawasan diplomatik, Israel menghantar mesej bahawa tiada ruang yang benar-benar selamat bagi usaha perdamaian. Hal ini mencetuskan kesan domino kepada hubungan antarabangsa, malah boleh menakutkan negara lain daripada menjadi pengantara konflik pada masa hadapan.
Peristiwa ini juga adalah isyarat politik. Ia menunjukkan bahawa Israel sanggup mencabul kedaulatan mana-mana negara Arab sama ada Qatar, Syria, Lubnan, Yaman atau Tunisia, tanpa rasa gentar.
Penggunaan jet pejuang F-35 untuk menggempur Doha bukannya operasi darat atau risikan tetapi adalah demonstrasi kuasa bahawa langit Arab boleh dikuasai mereka pada bila-bila masa.
Tambahan pula, sukar dibayangkan tindakan ini berlaku tanpa pengetahuan Amerika Syarikat (AS). Dengan kewujudan pangkalan udara terbesar AS di Qatar, mustahil Washington tidak menyedari operasi ini. Diamnya AS memberi gambaran bahawa Israel mendapat lampu hijau untuk bertindak sesuka hati.
Keperluan tindakan konkrit
Insiden di Qatar menimbulkan kegusaran global tetapi masih gagal mengubah dasar sekutu-sekutunya. Netanyahu malah berbangga dengan operasi ketenteraan Israel dan menuntut negara lain “bertepuk tangan” atas siri pencerobohan mereka di Timur Tengah.
Dalam tempoh hanya tiga hari, Israel telah menggempur enam negara iaitu Gaza, Lubnan, Yaman, Syria, Tunisia dan Qatar, di samping melakukan operasi harian di Tebing Barat.
Realiti ini seharusnya menyedarkan komuniti antarabangsa supaya tidak lagi berdiam diri. Membiarkan status quo hanya akan menguatkan keyakinan Israel bahawa mereka bebas bertindak tanpa batasan.
HIKAM menyeru agar diadakan Sesi Tergempar Majlis Keselamatan PBB untuk membincangkan pencabulan kedaulatan Qatar dan Tunisia.
Walaupun resolusi kerap diveto oleh sekutu Israel, tekanan global melalui Perhimpunan Agung PBB boleh menjadi saluran alternatif. Resolusi yang dibawa oleh Qatar, Tunisia bersama blok Liga Arab, OIC dan NAM boleh memperkukuh pendirian antarabangsa terhadap pencabulan Israel.
Selain itu, Qatar dan Tunisia wajar memulakan prosiding di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mendapatkan pendapat dan nasihat berkenaan kesahihan serangan ketenteraan luar wilayah dan perlindungan undang-undang terhadap misi kemanusiaan dan diplomatik.
Tunisia juga boleh merujuk kes serangan dron untuk siasatan rasmi ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), manakala NGO serta mangsa boleh menghantar komunikasi rasmi kepada pendakwa ICC.
Di samping itu, Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) boleh diminta menubuhkan misi pencarian fakta atau melantik pelapor khas bagi menyiasat pencabulan terhadap misi kemanusiaan.
Tindakan serantau dan dua hala perlu digerakkan segera. Negara-negara Arab sepatutnya menangguhkan hubungan diplomatik atau perjanjian dengan Israel, menyelaraskan sekatan serta larangan perjalanan terhadap individu yang bertanggungjawab dan melancarkan tindakan sivil di mahkamah domestik mahupun antarabangsa berdasarkan prinsip bidang kuasa sejagat.
Langkah-langkah ini akan menghantar mesej tegas bahawa Israel tidak boleh lagi menikmati kekebalan undang-undang.
Kuasa rakyat: Boikot dan tekanan ekonomi
Selari dengan itu, masyarakat sivil global mempunyai peranan penting melalui gerakan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS). Perjuangan BDS kini telah menunjukkan keberhasilannya. Colombia telah melarang eksport arang batu ke Israel.
Turkiye menghentikan semua hubungan perdagangan serta menutup pelabuhan dan ruang udara, manakala Slovenia dan Sepanyol mengumumkan embargo senjata.
Di Eropah, krisis politik tercetus apabila kabinet Belanda gagal mencapai persetujuan mengenai sekatan terhadap Israel, sehingga lima menteri utama meletakkan jawatan.
Hal ini membuktikan bahawa tekanan ekonomi mampu menggoncang rejim zalim. Sejarah aparteid Afrika Selatan menunjukkan ia akhirnya tumbang apabila tekanan global yang bersepadu memaksa perubahan. Pendekatan yang sama perlu digerakkan terhadap Israel.
Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka
Dunia sedang menyaksikan krisis moral terbesar abad ini. Pengeboman di Doha dan pencerobohan di Tunisia membuktikan bahawa Israel tidak lagi menghormati sempadan, kedaulatan mahupun undang-undang antarabangsa. Jika komuniti antarabangsa terus gagal bertindak, undang-undang antarabangsa akan tinggal sekadar retorik.
Kini tiba masanya tindakan konkrit diambil. PBB mesti dipaksa mengadakan persidangan tergempar, ICJ mesti dirujuk, ICC mesti diaktifkan, UNHRC mesti memperluas siasatan dan rakyat dunia mesti menguatkan tekanan melalui boikot dan bantahan berterusan.
Pengorbanan kepimpinan Palestin yang kehilangan anak, keluarga dan sahabat dalam operasi Israel adalah bukti bahawa perjuangan ini menuntut harga yang sangat tinggi.
Kita tidak boleh lagi berdiam diri. Palestin berhak kepada kebebasan, rakyatnya berhak kepada kehidupan yang bermaruah dan dunia berhak kepada keamanan sejati.
“Bebas, bebas Palestin! Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka!”
Hj. Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia