Kesihatan Mental Mahasiswa: Kelebihan Interaksi Keluarga

Dalam era pendidikan tinggi yang semakin kompetitif, mahasiswa kini bukan sahaja diuji dari segi akademik tetapi turut berhadapan dengan tekanan emosi dan mental yang hebat. Universiti telah menjadi medan persaingan.

Pelajar menghadapi cabaran seperti beban silibus yang berat, persaingan gred, kos pengajian yang tinggi dan suasana sosial baharu. Laporan dan statistik terkini menunjukkan peningkatan mendadak dalam indeks tekanan, kebimbangan dan kemurungan dalam kalangan mahasiswa.

Situasi ini adalah petanda jelas bahawa intervensi holistik sangat diperlukan bagi membendung pelbagai kes kesihatan mental generasi muda. Oleh itu, dalam konteks ini, institusi keluarga wajar dipandang sebagai teras utama dalam membentuk kestabilan emosi pelajar sejak awal.

Keluarga adalah tunjang dalam menyediakan asas ketahanan mental yang kukuh. Sokongan yang berterusan daripada ibu bapa dan ahli keluarga dapat membina keyakinan pelajar untuk mengurus tekanan hidup di kampus.

Apabila mahasiswa tahu bahawa mereka mempunyai tempat selamat untuk berkongsi perasaan dan pengalaman tanpa penghakiman, mereka lebih berupaya mengawal tekanan yang dihadapi.

Hubungan kekeluargaan yang sihat juga membentuk daya tahan emosi yang seterusnya dapat membantu mereka melihat cabaran sebagai peluang untuk berkembang, bukan sebagai beban yang menekan.

Selain itu, pendidikan emosi perlu dipupuk sejak awal melalui interaksi harian di rumah kerana perkembangan kecerdasan emosi (emotional intelligence) telah terbukti sebagai faktor utama dalam membentuk daya tahan mental seseorang.

Kajian oleh Daniel Goleman (1995) menekankan bahawa kecerdasan emosi menyumbang lebih daripada 80% kepada kejayaan hidup berbanding IQ semata-mata. 

Di peringkat keluarga, amalan mudah seperti berbincang tentang perasaan, menyelesaikan konflik dengan cara matang dan menetapkan harapan yang realistik bukan sahaja membantu anak-anak mengenal pasti serta memahami emosi mereka, tetapi juga membina kemahiran penting seperti empati, pengawalan diri dan komunikasi berkesan.

Apabila ibu bapa melibatkan anak-anak dalam perbualan mengenai emosi secara konsisten, ia mengajar mereka bahawa perasaan bukan sesuatu yang perlu ditekan atau disembunyikan, sebaliknya perlu diurus dengan bijak.

Rumah yang menjadi ruang dialog terbuka akan membentuk suasana yang selamat. Anak-anak berasa didengari dan dihargai. Keadaan ini secara langsung menanam keyakinan diri untuk meluahkan pendapat dan perasaan, sekali gus mengurangkan risiko mereka memendam tekanan sehingga menjejaskan kesihatan mental.

Tambahan pula, kajian psikologi perkembangan menunjukkan bahawa kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran komunikasi terbuka cenderung menggunakan strategi coping yang lebih adaptif ketika berhadapan dengan tekanan akademik atau sosial di peringkat universiti.

Mereka lebih berani mencari bantuan profesional, menyertai rangkaian sokongan dan bersikap proaktif dalam menyelesaikan masalah kerana telah dilatih sejak kecil untuk melihat cabaran sebagai situasi yang boleh diurus, bukan ancaman.

Justeru, pendidikan emosi berasaskan interaksi keluarga bukan sekadar isu keibubapaan, tetapi merupakan asas pembentukan pelajar yang stabil mental dan bersedia menghadapi dinamik kehidupan universiti yang kompleks.

Selain itu, faktor gaya hidup juga memainkan peranan besar dalam menyokong kesejahteraan mental mahasiswa kerana hubungan antara kesihatan fizikal dan emosi saling melengkapi. Tidur yang mencukupi, pemakanan sihat serta aktiviti fizikal yang konsisten bukan sekadar rutin harian tetapi asas kepada fungsi kognitif dan kestabilan emosi.

Kajian dalam bidang neuropsikologi mendapati bahawa kekurangan tidur mengganggu keseimbangan hormon stres seperti kortisol, sekali gus meningkatkan risiko kebimbangan dan kemurungan.

National Sleep Foundation mencadangkan tujuh hingga sembilan jam tidur berkualiti setiap malam untuk golongan dewasa muda, manakala kajian Universiti Malaya menunjukkan mahasiswa yang tidur kurang daripada enam jam mencatatkan kadar tekanan dan kecemasan yang lebih tinggi berbanding mereka yang mempunyai jadual tidur teratur.

Pemakanan sihat juga terbukti memberi impak besar terhadap kesihatan mental. Diet yang kaya dengan nutrien seperti asid lemak Omega-3, vitamin B-kompleks dan zat besi membantu mengawal neurotransmitter otak yang berkait rapat dengan mood

Aktiviti fizikal pula memainkan peranan sebagai natural mood stabilizer. Saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk melakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti fizikal berintensiti sederhana seminggu telah dikaitkan dengan penurunan risiko kemurungan sehingga 30%.

Latihan seperti berjoging ringan, berenang atau aktiviti berpasukan bukan sahaja meningkatkan kesihatan jantung tetapi juga merangsang pengeluaran endorfin yang membantu mengawal stres.

Oleh itu, apabila tabiat gaya hidup sihat ini ditanam sejak kecil dalam persekitaran rumah, sebagai contoh melalui aktiviti keluarga seperti makan bersama, bersenam hujung minggu dan rutin tidur yang konsisten, maka ia akan menjadi norma yang lebih mudah dikekalkan oleh pelajar apabila melanjutkan pelajaran.

Gaya hidup seimbang ini bukan sahaja memperkukuh kesihatan fizikal mereka, tetapi juga menyediakan benteng emosi yang kukuh untuk menghadapi tekanan akademik dan sosial di universiti.

Keadaan ini juga dapat membentuk pelajar yang lebih fokus, bertenaga serta memiliki daya tahan mental untuk menempuh cabaran kehidupan kampus yang kompleks.

Pembinaan nilai spiritual dan moral juga merupakan elemen yang harus diberikan penekanan sebagai asas ketahanan jiwa mahasiswa.

Kajian psikologi positif menunjukkan bahawa individu yang mengamalkan prinsip seperti kesyukuran, kejujuran dan tanggungjawab mempunyai tahap ketahanan mental (resilience) yang lebih tinggi serta keupayaan lebih baik dalam mengurus tekanan.

Rumah yang menanam nilai ini sejak kecil bukan sahaja membentuk panduan tingkah laku, tetapi juga menyediakan sumber ketenangan batin ketika berdepan cabaran hidup di universiti.

Amalan seperti doa bersama, perbincangan nilai murni dalam kehidupan seharian atau penglibatan anak-anak dalam aktiviti sukarelawan mampu memupuk sense of purpose yang memberi arah dalam hidup.

Penyelidikan dalam bidang psikospiritual juga mendapati bahawa hubungan dengan nilai agama atau prinsip moral yang kukuh dapat menurunkan risiko kemurungan dan memberi kesan positif kepada kesejahteraan emosi secara keseluruhan.

Namun, kesejahteraan mental mahasiswa tidak boleh dipikul oleh keluarga semata-mata kerana isu ini bersifat multidimensi.

Universiti harus memainkan peranan dalam menyediakan ekosistem sokongan yang menyeluruh melalui pusat kaunseling yang mudah diakses, program pembangunan emosi serta pembinaan jaringan sosial yang sihat di kampus.

Pembuat dasar pula perlu memperkenalkan polisi awam yang mengutamakan kesejahteraan psikologi pelajar, termasuk latihan kepada pensyarah untuk mengenal pasti tanda awal tekanan emosi dalam kalangan mahasiswa.

Komuniti dan media juga memegang peranan penting dalam meningkatkan literasi kesihatan mental agar stigma terhadap isu ini dapat dikurangkan. Masyarakat yang celik tentang kepentingan kesejahteraan emosi akan lebih bersedia untuk memberikan ruang sokongan kepada generasi muda yang sedang membina masa depan mereka.

Akhirnya, membina generasi mahasiswa yang benar-benar sejahtera mentalnya memerlukan usaha kolektif yang bersepadu.

Ia bermula daripada meja makan di rumah, yang menyaksikan kasih sayang dan nilai asas ditanam, lalu berkembang melalui sokongan sosial yang dibina di kampus dan diperkukuh dengan dasar awam yang berpandangan jauh.

Jika keluarga, universiti, komuniti dan kerajaan berganding bahu, kita bukan sahaja akan melahirkan graduan yang cemerlang dari segi akademik, tetapi juga individu yang matang, berdaya tahan serta memiliki kestabilan emosi untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.

Generasi inilah yang kelak akan menjadi tonggak negara dengan keseimbangan minda dan jiwa. 

“Mahasiswa yang sihat mentalnya bukan dilahirkan di bilik kuliah, tetapi mereka dibentuk sejak dari meja makan di rumah.”

Nurul Nisha Mohd Shah & Nur Nabilah Habibah Anuwar
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia