Kes Buli Bukan Tradisi, “Wabak” yang Perlu Ditangani

Gejala buli cukup sinonim terutama dalam kalangan pelajar dari dahulu lagi dan saban hari menunjukkan implikasi yang semakin membimbangkan.

Lebih ironi apabila perkara ini dinormalisasi dan ada kalanya disamarkan sebagai suatu bentuk disiplin terutama dalam kalangan pelajar yang menginap di asrama atau dikenali sebagai ragging.

Pelbagai bentuk pembulian dilakukan seperti melakukan kekasaran secara fizikal, menyebarkan fitnah, memulaukan mangsa dari kumpulan sosial dan sebagainya.

Amat menyedihkan apabila sebahagian mangsa buli juga kadangkala mengambil pendekatan untuk merahsiakan perkara itu disebabkan hal-hal tertentu seperti bimbang akan keselamatan diri dan sudah kusut mencari jalan untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.

Apa yang pasti, mereka terpaksa hidup dalam trauma yang bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan fizikal dan mental malah dapat memberi kesan buruk kepada prestasi serta personaliti mereka.

Gejala buli sering dikaitkan dengan ciri dominan dalam sesuatu kelompok. Membuli dilihat sebagai suatu cara untuk menunjukkan kuasa bagi menundukkan pihak yang dilihat lebih lemah daripada pelaku.

Kepincangan emosi dan perilaku menyebabkan mereka berfikir bahawa kegiatan tersebut mampu membuatkan mereka lebih dihormati atau digeruni oleh pelajar lain.

Kadangkala, golongan ini menjadikan peer pressure sebagai punca mereka menjadi pembuli kerana menganggap perkara tersebut perlu dilakukan untuk diterima oleh kumpulan pelajar yang “berpengaruh besar” di sekolah.

Secara realiti, mereka hanya dibutakan dengan ganjaran bersifat sementara dan pemikiran yang cetek sebegini tidak mustahil boleh menjurus kepada rasa ketagih untuk meraih pelbagai manfaat pada kemudian hari dengan cara yang salah.

Hakikatnya, pembulian bukanlah simbol kepada autoriti melainkan hanya suatu lambang kepada kerosakan akhlak semata-mata. 

Sebahagian pelaku ini juga mudah terbawa-bawa dengan budaya toksik tersebut sehinggalah ke peringkat seterusnya seperti di universiti mahupun di tempat kerja. Sesetengah daripada mereka menjadikan senioriti di sesuatu tempat sebagai lesen untuk melakukan perkara yang tidak wajar.

Tidak cukup dengan itu, media sosial juga turut dijadikan platform pembulian yang baru atau dikenali sebagai buli siber melalui hantaran jelik, komen negatif dan sebagainya.

Bukan sekadar itu, terdapat juga sesetengah pembuli yang berasa bangga dengan kegiatan keji yang dilakukan dan tanpa segan silu menceritakan perbuatan tersebut secara terbuka seolah-olah langsung tiada rasa bersalah atau menyesal.

Hal ini demikian kerana mereka berasakan perkara tersebut sebagai kebiasaan turun-temurun dan salah satu kaedah untuk melatih generasi yang lebih cekal. Mangsa yang menunjukkan reaksi tertentu atau ingin mendapatkan pembelaan pula dilihat sebagai manja atau mudah terasa.

Ketiadaan sokongan kepada mangsa hanya akan menambah luka kepada parut sedia ada. Golongan teraniaya ini ada kalanya sudah berusaha mencari sumber untuk membuat aduan dan mengharapkan pembelaan sewajarnya, namun kadangkala menemui jalan buntu kerana kurang kepercayaan kepada apa yang diceritakan.

Lebih menyedihkan, sebahagian daripada mereka juga tidak menyedari bahawa mereka merupakan mangsa buli. Mereka menganggap perkara tersebut sebagai fenomena biasa yang perlu dihadapi oleh orang lain apabila berada pada fasa tertentu seperti bergelar junior atau baru bekerja di sesuatu tempat.

Situasi yang sama juga berlaku kepada mangsa buli siber yang menganggap bahawa komen negatif sebagai bentuk kebebasan individu untuk menyatakan pendapat masing-masing. Golongan ini juga cenderung untuk menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku kepada diri mereka dan akhirnya memendam perkara itu sendirian.

Kesimpulannya, kegiatan yang salah tidak wajar dinormalisasi atau dibiarkan melarat begitu sahaja. Buli bukanlah suatu tradisi yang wajar diwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain tetapi merupakan “wabak” yang perlu ditangani segera.

Berhentilah daripada melakukan perkara yang tidak sewajarnya dan berfikirlah sejenak, “Apakah pulangan yang kita harapkan sekiranya sesuatu perkara itu diraih melalui perbuatan yang hina?”

Luaskanlah pandangan dan lihat dengan teliti tentang bagaimana kegiatan buli ini boleh memberi impak yang sangat tragis kepada mangsa. Pada pojok akhirnya, apakah kita mampu mendapatkan kemaafan daripada mereka yang kita berbuat salah selagi hayat dikandung badan?

Ingatlah bahawa kepuasan sementara tersebut hanya permulaan kepada seribu satu penyesalan. Justeru, hentikan gejala buli dan gunalah akal yang dianugerahkan oleh Ilahi untuk sedaya upaya menjadi insan yang bermanfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Khairunisa Zul Kuraini
Siswazah Linguistik Melayu
Universiti Malaya

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia