Isu pembahagian harta pusaka di Malaysia semakin kerap menimbulkan konflik, terutamanya dalam kalangan masyarakat Islam.
Perebutan harta sering berlaku, menyukarkan proses pengurusan dan pembahagian pusaka. Sikap sesetengah pihak yang tidak mengutamakan penyelesaian segera turut memburukkan keadaan.
Kegagalan mengurus harta pusaka dengan betul boleh mendatangkan masalah undang-undang, ekonomi, dan merosakkan hubungan kekeluargaan.
Misalnya, ada kes keluarga berbalah sehingga memutuskan silaturahim hanya kerana berebut harta. Lebih menyedihkan, ada yang mula bertelagah sedangkan ahli keluarga masih lagi sakit tenat di hospital.
Ironinya, al-Quran telah memberikan panduan jelas dalam Surah al-Maidah, ayat 106 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila seseorang kamu hampir mati dan hendak berwasiat, maka hendaklah wasiat itu disaksikan oleh dua orang yang adil dalam kalangan kamu, atau dua orang lain yang berbeza agama jika kamu berada dalam perjalanan lalu ditimpa bahaya kematian…”
Sebagaimana yang ditekankan dalam buku AISAR Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM, prinsip “tawazun” (seimbang) merupakan prinsip syariah yang menjadi panduan supaya hak yang sewajarnya diberikan kepada setiap pihak supaya tidak berlaku pengabaian mahupun kezaliman.
Kedudukan wasiat dalam Islam
Wasiat menurut mazhab Syafie ialah pemberian suatu hak yang boleh dilaksanakan selepas berlakunya kematian pewasiat sama ada dengan menggunakan lafaz atau tidak. Ia dilakukan secara sukarela daripada jenis benda dan manfaat.
Hukum menulis wasiat adalah berbeza-beza berdasarkan kepada keadaan-keadaan yang diperlukan. Hukum wasiat adalah sunat dan digalakkan kerana termasuk daripada amalan kebajikan. Namun, menjadi hukum sunat kepada orang yang banyak harta, manakala tidak digalakkan untuk orang fakir kerana kebajikan ahli keluarga orang fakir tersebut.
Kumpulan penerima harta wasiat turut diperdebatkan oleh para ulama iaitu kelayakan untuk menerima wasiat daripada kalangan ahli waris (penerima harta pusaka melalui hukum faraid) adalah tidak harus. Situasi tersebut berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
”Sesungguhnya Allah SWT menetapkan hak bagi setiap empunya, oleh itu tidak harus berwasiat kepada waris.” (Riwayat Tirmizi)
Kumpulan di atas tidak layak menerima wasiat disebabkan mereka telah menerima harta daripada pembahagian faraid. Manakala hukum memberikan wasiat kepada ahli bukan waris adalah wajib sebagaimana yang dipersetujui oleh ahli fuqaha seperti Ibn Abbas, al-Zuhri dan al-Hasan al-Basri.
Kadar pemberian harta wasiat
Menurut perundangan, sepertimana yang tertakluk dalam peruntukan Seksyen 26 (2), Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999 memperuntukkan:
”Sesuatu wasiat (bekues) yang dibuat kepada seseorang waris atas kadar yang melebihi 1/3, hendaklah tidak boleh berkuat kuasa (tidak boleh dikuatkuasakan) sehingga diberi persetujuan oleh waris-warisnya (melainkan jika waris-waris mempersetujuinya) selepas kematian pewasiat.”
Kedudukan kadar wasiat dalam perundangan berasaskan kepada prinsip umum iaitu harta wasiat tidak boleh diagihkan melebihi kadar 1/3 daripada harta pewasiat. Harta tersebut diambil daripada harta bersih peninggalan pewasiat yang masih ada pada waktu kematiannya setelah digunakan untuk belanja pengebumian dan penunaian hutang-hutang.
Walau bagaimanapun, jika harta-harta wasiat melebihi 1/3 harta pewasiat, pembahagian tersebut tidak sah melainkan mendapat kebenaran daripada waris pewasiat. Sandaran agihan ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
”Sa’ad bin Abi Waqas telah didatangi oleh Rasulullah SAW sewaktu aku sakit di M. Aku berkata kepada baginda, ‘Wahai Rasulullah, apakah aku perlu wasiatkan semua hartaku?’ Jawab baginda, tidak. Aku berkata lagi, jika sebahagiannya? Baginda menjawab, tidak. Aku berkata, sepertiga? Baginda menjawab, ya sepertiga, namun sepertiga masih banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Pengajaran daripada hadis di atas menunjukkan bahawa Islam mementingkan kebajikan waris-waris pewasiat yang berhak kepada harta peninggalan tersebut. Hal ini demikian kerana berkemungkinan tanpa sedar hak waris ternafi disebabkan kesemua hartanya telah diberikan melalui kaedah wasiat.
Walaupun terdapat perdebatan dalam kalangan fuqaha tentang kadar tersebut, kebanyakan daripada mereka bersetuju kadar sebaiknya adalah tidak melebihi kadar maksimum tersebut. Hal ini dapat diperhatikan daripada praktis para sahabat seperti Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali yang tidak berwasiat dengan kadar 1/3 iaitu 1/5 daripada harta mereka manakala Saidina Umar hanya 1/4 daripada hartanya.
Salah tanggap umat Islam di Malaysia
Walaupun wasiat menjadi antara alat pengurusan harta umat Islam yang berakar dalam masyarakat di Malaysia, namun masih terdapat kekaburan dalam kalangan umat Islam tentang pelaksanaannya.
Terdapat juga salah tanggap tentang pelaksanaan wasiat umat Islam seperti wasiat orang bukan Islam iaitu berwasiat kepada ahli waris dan tiada had pemberian harta untuk tujuan tersebut.
Selain itu, dapat juga dirumuskan beberapa aspek yang menjadi kekeliruan yang berpanjangan daripada kalangan masyarakat seperti berikut:
- Masalah wasiat melebihi 1/3 daripada harta wasiat.
- Masalah penangguhan dalam penyerahan harta wasiat dengan meletakkan syarat yang tidak menepati hukum syarak.
- Masalah wasiat kepada waris.
- Masalah pemberian pada masa marad al-mawt.
- Masalah penamaan.
Semakin cakna
Kekeliruan tersebut akan cuba diberikan pencerahan oleh penulis melalui artikel-artikel yang khusus berkaitan isu tersebut.
Keutamaan awal dalam penulisan kali ini adalah untuk mencerahkan masyarakat tentang aspek awal dalam perbahasan wasiat yang perlu difahami secara umum sebelum difahamkan tentang aspek-aspek teknikal yang timbul daripada kekeliruan masyarakat tentang wasiat.
Kini, telah terdapat banyak agensi kerajaan mahupun swasta yang telah terlibat dalam urusan wasiat. Penglibatan ini telah memberikan nada positif kepada umat Islam untuk cakna tentang kepentingan penulisan wasiat dan menguruskan harta seawal dan secepat yang mungkin.
Keterlewatan kepada tanggungjawab tersebut memungkinkan pengabaian dan kezaliman kepada ahli keluarga yang tercinta.
Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Koordinator MBA & MIBF
Arshad Ayub Graduate Business School, UiTM Shah Alam