Kita hidup pada zaman yang serba pantas. Semua bergerak dengan kelajuan yang luar biasa hinggakan maklumat sampai ke hujung jari dalam sesaat, berita tersebar sebelum sempat disemak dan trend di media sosial berubah setiap hari.
Namun, di sebalik kemajuan ini, ada sesuatu yang semakin hilang iaitu kelembutan hati, kesantunan tutur kata dan kepekaan terhadap perasaan orang lain.
Masyarakat semakin cekap menguruskan teknologi, tetapi semakin kurang cekap menguruskan hati. Di sinilah letaknya keperluan untuk menghidupkan kembali nilai rahmah iaitu nilai yang bukan sekadar sopan santun atau kesopanan luaran, tetapi kasih sayang sejati yang menyeluruh kepada semua tanpa mengira siapa pun mereka.
Nilai rahmah ini bukanlah idea baharu. Ia adalah inti ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, yang digambarkan oleh Allah sebagai “rahmat bagi seluruh alam.” (Surah Al-Anbiya’, ayat 107)
Tahukah anda, apabila berbicara tentang pendidikan nilai rahmah, kita sedang berbicara tentang membina sebuah masyarakat yang berteraskan kasih sayang, belas ihsan, empati dan keadilan?
Rahmah: Teras ajaran Islam
Dalam Islam, rahmah bukan pilihan sampingan, tetapi asas kepada seluruh sistem hidup. Rasulullah SAW adalah contoh agung rahmah dan sikap baginda itu bukan hanya kepada umat Islam, tetapi kepada manusia seluruhnya, bahkan kepada haiwan dan alam sekitar.
Baginda menegur para sahabat yang berlebihan dalam ibadah sehingga mengabaikan hak keluarga, menegur mereka yang memperlekeh orang miskin dan melarang perbuatan menyakiti binatang walaupun sekecil seekor semut.
Hadis Nabi SAW yang masyhur menyatakan:
“Orang yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Pesan ini ringkas tetapi mendalam iaitu yang menjelaskan bahawa kasih sayang itu bukan hanya perasaan, tetapi perbuatan yang konsisten.
Maka, pendidikan nilai rahmah bermakna mengajar masyarakat, bukan sekadar berkata “saya simpati” atau “saya faham”, tetapi menunjukkan kasih sayang itu melalui tindakan yang membawa manfaat kepada orang lain.
AISAR: Menukar nilai menjadi kehidupan
Asas Islam Rahmah (AISAR) adalah satu modul yang dirangka untuk menjadikan rahmah itu sesuatu yang hidup, bukan hanya slogan. Ia menghubungkan ajaran Islam dengan realiti masyarakat moden yang penuh cabaran.
AISAR menggariskan prinsip-prinsip seperti menjaga nyawa, menghormati kebebasan beragama, menegakkan keadilan sosial, memelihara kemuliaan akhlak dan membina kesejahteraan masyarakat.
Dengan AISAR, mengajak orang ramai untuk melihat hukum Islam bukan sekadar dari sudut larangan dan perintah, tetapi dari sudut roh dan hikmah di sebaliknya.
Misalnya, perintah menutup aurat bukan sekadar soal pakaian, tetapi soal menjaga maruah. Larangan mencuri bukan sekadar mengelak hukuman, tetapi menanam rasa hormat terhadap hak orang lain.
Prinsip-prinsip ini perlu disampaikan dengan bahasa yang mudah difahami dan contoh yang dekat dengan kehidupan harian supaya ia tidak menjadi teori yang kering, tetapi panduan hidup yang praktikal.
Krisis akhlak dan empati
Kita berhadapan dengan realiti yang membimbangkan. Di sekolah, kes buli fizikal dan siber semakin menjadi-jadi, menandakan hilangnya empati antara pelajar. Di media sosial, orang cepat menghukum, lambat memaafkan.
Dalam masyarakat, jurang antara yang kaya dan miskin semakin melebar dan sering kali pula diiringi sikap prejudis. Semua ini berlaku kerana sebahagian manusia gagal menanamkan nilai rahmah secara mendalam sejak kecil.
Sebahagian masyarakat moden hari ini terdedah kepada budaya individualistik yang menekankan “ini hak saya” tanpa imbangan “tanggungjawab saya.” Akibatnya, mereka lebih mementingkan keselesaan sendiri daripada kebajikan bersama.
Oleh yang demikian, pendidikan nilai rahmah, berteraskan AISAR, berusaha membetulkan imbangan ini dengan mengingatkan bahawa setiap hak datang bersama amanah, dan setiap kebebasan datang bersama tanggungjawab terhadap orang lain.
Pendidikan nilai rahmah bermula dari rumah
Rumah adalah sekolah pertama bagi setiap manusia. Cara ibu bapa berinteraksi dengan anak, cara mereka menyelesaikan pertengkaran dan cara mereka melayan tetamu menjadi pelajaran hidup yang membentuk akhlak anak-anak.
Jika ibu bapa membesarkan anak dengan bahasa yang penuh hormat, anak akan belajar untuk menghormati orang lain. Jika anak melihat ibu bapanya membantu jiran tanpa mengira bangsa atau agama, mereka akan membesar dengan sikap terbuka dan pemurah.
Menanam rahmah di rumah boleh bermula dengan perkara-perkara kecil seperti mengajar anak memberi salam kepada jiran, berkongsi makanan dengan rakan yang kurang mampu atau meminta maaf apabila melakukan kesilapan.
Pendidikan di rumah ini adalah tunjang yang akan menentukan sama ada anak membesar menjadi insan yang mementingkan diri atau insan yang peduli terhadap orang lain.
Begitu juga halnya di sekolah dan universiti yang menjadi medan membina masa depan negara. Pendidikan formal sering tertumpu kepada pencapaian akademik, tetapi jika tidak disertakan dengan pendidikan nilai, kita hanya melahirkan generasi yang bijak di atas kertas tetapi kering di hati.
Program-program berteraskan rahmah perlu diintegrasikan ke dalam aktiviti sekolah, bukan sekadar ceramah, tetapi pengalaman hidup yang melatih empati.
Rahmah menyembuhkan luka masyarakat
Pada era media sosial, lidah bukan lagi satu-satunya alat yang perlu dijaga tetapi jari juga memikul amanah yang sama. Perkataan yang ditulis di ruang digital boleh membina atau memusnahkan hati orang lain.
Pendidikan nilai rahmah perlu meliputi literasi digital yang mengajar pengguna untuk menulis dengan adab, menyemak maklumat sebelum berkongsi dan menolak budaya “cancel” tanpa memberi peluang untuk bertaubat.
Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 53 bermaksud:
“Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: ‘Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar dan sopan).’”
Ayat ini kekal relevan sama ada etika bercakap di hadapan orang atau menulis di media sosial.
Oleh yang demikian, empati dalam Islam bukan sekadar sikap baik hati, tetapi tuntutan iman. Nabi SAW bersabda:
“Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Empati membuat kita berhenti sejenak sebelum menghukum, membuat seseorang itu mahu membantu walaupun dirinya sendiri dalam kesusahan, dan membuat diri memandang orang lain dengan rasa hormat walaupun tidak sependapat.
Masyarakat yang dipenuhi empati akan menjadi kelompok yang lebih bersatu, kurang bergaduh dan lebih peka terhadap nasib golongan yang lemah. Pendidikan nilai rahmah melalui AISAR adalah solusi berkesan untuk memastikan empati menjadi budaya, bukan sekadar retorik.
Bayangkan sebuah negara yang tiada pelajar dibuli, media sosial menjadi tempat perkongsian inspirasi, masjid menjadi pusat komuniti yang meriah dan pemimpin dihormati kerana keadilan mereka. Semua ini bukan utopia, tetapi boleh dicapai jika pendidikan nilai rahmah diterapkan dengan serius di semua peringkat masyarakat.
Rahmah adalah penawar kepada penyakit hati masyarakat moden. Ia menyembuhkan luka akibat perpecahan, menghapuskan dendam dan membina jambatan antara yang berbeza.
AISAR memberi panduan untuk menjadikan rahmah itu realiti, bukan hanya untuk umat Islam, tetapi untuk seluruh manusia.
Jika setiap individu mengamalkan rahmah dalam kehidupan seharian, insya-Allah kita akan menuju ke arah sebuah negara yang benar-benar Baldatun toyyibatun warabbun Ghafur.
Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia