BANDAR BARU BANGI – Musleh meraikan seramai 134 warga sekolah-sekolah rangkaiannya di seluruh negara dalam majlis gemilang Hari Anugerah Musleh (HARUM) 2025 pada Sabtu, 9 Ogos lalu, di Evo Mall di sini.
Dengan tema “Menjulang Potensi, Menerus Misi”, HARUM 2025 anjuran Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) telah dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Muhammad Razak Idris.
Turut hadir menyerikan majlis antaranya Setiausaha Agung IKRAM, Mohd. Hafiz Abd. Hamid, Ketua IKRAM Muda, Khairul Anuar Kamaruddin, Ahli JKP Prof. Dr. Omar Yaakob (merangkap Pengerusi MIEB) dan Ahmad Ammar Ahmad Termizi.
HARUM 2025 dihadiri seramai 300 tetamu jemputan, termasuk barisan pengurusan tertinggi MIEB, pengetua dan guru besar sekolah-sekolah rangkaian Musleh, selain ibu bapa yang hadir bagi meraikan kejayaan anak-anak mereka.
Acara kemuncak menyaksikan penyampaian anugerah pelbagai kategori termasuk Anugerah Tokoh Pelajar Unggul, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Pengurusan Sekolah Cemerlang, serta Anugerah Khas Akademik Unggul SPM Piala CLE.
Dalam majlis itu, Anugerah Tokoh Pelajar Unggul (Banin) diraih oleh Wan Amirul Rasyid Mohd. Nizam dari SMI Hidayah Johor Bahru. Sekolah ini turut meraih Anugerah Tokoh Pelajar Unggul (Banat) iaitu Wan Nur Nabilah Zamri.
Manakala bagi Anugerah Guru Inovatif, enam orang guru telah menerimanya, iaitu:
- Auni Nasuha Pauzi – SR Sri Al-Amin Semenyih (STEM)
- Nor Farhana Nordin – SR Sri Al-Amin Bangi (Pengajaran)
- Zulfah Zulkifli – SMI Al-Amin Kemaman (Bilik Darjah)
- Hisyammuddin Mohd -SMI Al-Ikram (Digital)
- Firman Aulia – SMI Al-Amin Kemaman (Bahasa dan Seni)
- Ezaidin Norman -SMI Hidayah Johor Bahru (Ekstra Kurikulum)
Anugerah turut diberikan dalam kategori kecemerlangan sukan, persatuan, ketokohan KRS, kokurikulum, sahsiah, hafazan, kepimpinan dan kreativiti.
Anugerah Kecemerlangan Ilmu Syariah SPPIM diberikan mengikut subjek Akhlak, Akidah, Al-Quran – Tilawah dan Tajwid, Hafazan, Bahasa Arab, Hadis, Fekah dan Sirah.
Manakala Anugerah Kecemerlangan Akademik SPM diberikan mengikut subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Sains, Fizik, Biologi, Prinsip Perakaunan, Pendidikan Syariah Islamiah, Kimia dan Matematik Tambahan.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan daripada para alumni yang menampilkan bakat dalam bidang seni dan budaya serta pameran daripada sekolah-sekolah.
Majlis HARUM menjadi wadah pengiktirafan terhadap dedikasi, kecemerlangan dan usaha dalam pelbagai bidang akademik, kokurikulum serta khidmat masyarakat sekali gus menggariskan komitmen Musleh dalam melahirkan generasi pelajar berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Senarai penuh penerima anugerah HARUM 2025 boleh dilayari di pautan:
https://musleh.edu.my/2025/musleh-rai-134-penerima-anugerah-di-pentas-harum-2025/