SERI KEMBANGAN – Pertubuhan IKRAM Malaysia melalui KADRI (Kajian Dasar IKRAM) dengan penuh komitmen membuka peluang kepada para penyelidik dan pakar dalam pelbagai bidang untuk memohon Geran Kajian Kertas Polisi Jangka Pendek 2025.
Geran ini menyediakan pembiayaan sehingga RM7,000 kepada individu atau kumpulan kecil (maksimum lima orang) untuk menghasilkan kertas polisi dalam tempoh 12 minggu.
Kajian ini memberi tumpuan kepada isu-isu kritikal seperti kemiskinan dan jurang pendapatan, konsep negara bangsa, reformasi institusi, kewangan sosial, sains dan teknologi, inovasi, serta pendidikan.
Tujuan utama geran ini adalah untuk menganalisis cabaran besar dalam pelaksanaan dasar awam dan mencadangkan langkah intervensi jangka pendek yang mampu menghasilkan impak segera kepada masyarakat dan negara.
Kertas polisi yang dihasilkan diharapkan padat dan relevan, menjadi rujukan utama bagi pembuat dasar dalam usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam serta mempercepat pembangunan negara ke arah yang lebih responsif dan berkesan.
Melalui geran ini, penerima bukan sahaja berpeluang menyumbang kepada peningkatan kualiti dasar awam, tetapi juga membantu mengisi jurang pengetahuan dalam isu-isu strategik negara.
Kertas polisi yang dihasilkan akan menyokong usaha memperkasakan masyarakat, mengurangkan ketidaksamaan dan meningkatkan kecekapan institusi. Ia juga memberi manfaat langsung kepada rakyat dengan mencadangkan solusi praktikal terhadap cabaran sosioekonomi yang dihadapi.
Permohonan geran ini dibuka sehingga 11 Julai 2025, jam 12.00 tengah hari. Maklumat lanjut dan syarat-syarat penyertaan boleh dirujuk di laman sesawang https://kadri.com.my/gerankajian/.
Geran ini bukan sahaja peluang untuk menyumbang kepada pembangunan negara tetapi juga satu tanggungjawab bersama dalam membentuk dasar yang lebih inklusif dan berkesan. Sebarang pertanyaan mengenai geran ini boleh diajukan melalui e-mel atau talian ‘hotline’ di talian 010-7717989.
Jom sertai usaha memperkukuh dasar negara melalui kertas polisi yang berimpak tinggi. Bersama kita membawa perubahan yang bermakna kepada masyarakat dan mencorak masa depan Malaysia yang lebih gemilang.