BM Lemah di Sekolah Vernakular: Perlu Tindakan Segera

Bahasa Melayu (BM) ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Ia menjadi penghubung antara rakyat pelbagai kaum di Malaysia serta alat komunikasi utama dalam urusan rasmi dan pendidikan. 

Namun, persoalan yang semakin membimbangkan ialah sejauh mana BM benar-benar difahami dan dikuasai oleh pelajar di sekolah vernakular seperti Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT).

Walaupun BM diajar sebagai subjek wajib di semua sekolah, banyak kajian menunjukkan pelajar SMPC, SJKC dan SJKT masih bergelut untuk menguasainya, terutama dalam aspek pertuturan, penulisan dan kosa kata.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pencapaian akademik mereka, malah memberi kesan kepada usaha perpaduan nasional yang bergantung kepada satu bahasa bersama.

Prestasi lemah berdasarkan kajian

Menurut kajian Nor Hashimah (2010), hanya 40.6 peratus pertuturan pelajar Cina dalam BM adalah tepat. Kajian turut mendapati 44.8 peratus (69) pelajar Cina, 16.7 peratus (9) pelajar India dan 23.3 peratus (7) pelajar Kadazan tidak suka untuk mempelajari BM.

Kajian lain oleh Chew (2016) mendapati ramai pelajar sekolah vernakular kurang menggunakan BM dalam kehidupan harian, menyebabkan mereka sukar untuk bertutur dengan yakin. Menariknya, Chew juga mendapati pelajar Cina di SJKC mendapat skor pencapaian yang lebih rendah berbanding pelajar Cina di Sekolah Kebangsaan.

Pelajar SJKT turut menghadapi masalah sama. Kajian oleh Jeyagobi (2011) menunjukkan ramai pelajar India kurang berminat untuk bertutur dalam BM kerana mereka tidak biasa menggunakannya dan kekurangan kosa kata. 

Kajian oleh penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2020 yang melibatkan 414 pelajar di lima sekolah vernakular di Kuantan mendapati 65.2 peratus tidak menguasai kemahiran menulis dan hampir 40 peratus tidak lancar membaca dalam BM. Lebih separuh pelajar pula lemah dalam kemahiran bertutur. 

Bahasa Melayu sebagai asas perpaduan 

Penguasaan lemah terhadap BM bukan hanya masalah sekolah, tetapi isu nasional. Tanpa penguasaan terhadap satu bahasa bersama, masyarakat akan kekal terpisah dalam kelompok masing-masing. BM adalah alat perpaduan, dan jika ia tidak dikuasai dengan baik, jurang antara kaum akan terus melebar. 

Apa penyelesaiannya?

Masalah ini tidak boleh diselesaikan dengan hanya menambah waktu subjek BM semata-mata. Perlu ada pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua pihak – sekolah, guru, ibu bapa, komuniti dan kerajaan.

Pertama, sekolah perlu mewujudkan lebih banyak aktiviti luar bilik darjah yang menggunakan BM secara aktif. Pertandingan pidato, bercerita, teater dan forum dalam BM boleh membantu pelajar menggunakannya dalam suasana sebenar.

Kedua, pengajaran BM di sekolah vernakular perlu disesuaikan dengan pendekatan bahasa kedua. Gunakan bahan pengajaran yang lebih visual, digital dan bersifat menyeronokkan agar pelajar lebih berminat dan tidak berasa terbeban.

Ketiga, guru BM perlu dilatih dalam pedagogi bahasa kedua. Mereka perlu tahu cara membimbing pelajar membina kosa kata secara bertahap dan membina keyakinan diri untuk bertutur dan menulis dalam BM.

Peranan ibu bapa juga penting. Ibu bapa digalakkan menggunakan BM di rumah walaupun bukan bahasa utama. Komuniti pula boleh menyokong dengan menganjurkan kelas tambahan atau program silang budaya yang memperkukuh penggunaan BM dalam kalangan anak-anak.

Akhir sekali, kerajaan perlu menggubal dasar yang lebih tegas dan jelas dalam usaha memperkukuh penguasaan BM. Ini termasuk memperuntukkan masa pengajaran yang mencukupi serta memastikan bahan bantu mengajar yang berkualiti tersedia di semua sekolah.

Pemantauan berterusan perlu dibuat bagi memastikan masa pembelajaran dipatuhi dan kualiti pengajaran dan pembelajaran diperkasakan.

Pengendali sekolah vernakular perlu diingatkan bahawa walaupun negara mengambil pendekatan membenarkan kewujudan sekolah vernakular dengan bahasa pengantar bukan BM, ini tidak sepatutnya sehingga menjadikan murid-murid di SMPC dan SJK  tidak mampu menguasai BM dengan baik. 

Kesimpulan

Isu penguasaan BM dalam kalangan pelajar sekolah vernakular bukan sekadar isu pendidikan – ia menyentuh soal perpaduan dan masa depan negara.

Jika semua pihak memainkan peranan, kita mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja celik ilmu, tetapi juga mampu berkomunikasi dan hidup bersama dalam satu bahasa, satu negara.

Prof. Dr. Omar Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan IKRAM Malaysia,
merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah,
Musleh Integrated Education Berhad.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia