Mencari Reda: Maksud, Konteks dan Cara Dapatkannya

Imam asy-Syafie pernah berpesan kepada seorang murid utama beliau, Rabi’, dengan sebuah pesanan yang seharusnya menjadi panduan kepada kita pada hari ini, iaitu: 

“Keredaan manusia merupakan satu matlamat yang tidak mampu dicapai. Maka hendaklah kamu melakukan apa-apa yang baik buat diri kamu dengan bersungguh-sungguh kerana sesungguhnya tidak ada jalan untuk sampai kepada keredaan mereka (manusia).”

Pesanan yang dinukilkan oleh Imam Abu Nu’aim dalam kitab Hilyah al-Awliya’ ini menjadi panduan kepada kita juga untuk memahami hakikat manusia dan kehidupan iaitu seseorang itu tidak mungkin mampu untuk mendapatkan keredaan semua manusia. 

Mencari keredaan merupakan salah satu daripada ciri atau sifat yang terpuji. Kita dituntut untuk sentiasa mencari keredaan Allah SWT dan juga keredaan manusia yang berada di sekeliling. Ia berdasarkan kepada sebuah hadis:

مَنِ التَمَسَ رِضَاءَ اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ كَفَاهُ اللَّهُ مُؤْنَةَ النَّاسِ، وَمَنِ التَمَسَ رِضَاءَ النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ وَكَلَهُ اللَّهُ إِلَى النَّاسِ

Maksudnya: “Barang siapa yang mencari reda Allah sekalipun memperoleh kemurkaan manusia, maka Allah akan cukupkan kebergantungannya terhadap manusia. Barang siapa yang mencari reda manusia sekalipun memperoleh kemurkaan Allah, maka Allah akan serahkannya kepada manusia.”

Kehidupan masa kini yang serba mencabar menyaksikan pelbagai perubahan dalam gaya hidup manusia. Tanpa mengira bangsa, lokaliti mahupun agama, dunia kini menjadi ruang yang semakin kecil dan tidak lagi terbatas oleh sempadan fizikal.

Pada suatu tahap, kehidupan manusia menjadi semakin terbuka sehingga banyak hal yang dahulunya bersifat peribadi kini terdedah kepada umum.

Keadaan ini mewujudkan satu bentuk perlumbaan yang tidak tersusun, apabila individu berlumba-lumba untuk meraih perhatian dan pengiktirafan daripada masyarakat luar.

Dunia media sosial, khususnya, menjadi pentas utama bagi persaingan ini. Sesetengah individu boleh berasa tertekan akibat keinginan yang berlebihan untuk disukai dan diiktiraf oleh orang lain.

Ringkasnya, inilah yang disebut sebagai mengejar reda manusia – satu pencarian yang jika tidak dikawal, boleh membawa kepada tekanan emosi dan kesakitan jiwa.

Reda Allah SWT yang paling utama

Reda Allah bermakna menerima qadak dan qadar-Nya dengan hati yang tenang serta tidak mempertikaikan keputusan-Nya. Seorang Muslim yang benar-benar beriman akan yakin bahawa setiap ketentuan Allah adalah yang terbaik, walaupun ia tidak sesuai dengan kehendak dan harapan dirinya.

Maksud reda hamba kepada Allah adalah seorang hamba itu tidak benci pada qadak atau ketentuan yang berlaku ke atas dirinya. Adapun reda Allah kepada hamba adalah apabila Allah SWT memastikan hamba itu sentiasa mentaati perintah-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya.

Dalam Surah at-Taubah ayat 51, Allah berfirman (maksudnya):

“Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah hendaknya orang-orang mukmin bertawakal.”

Ayat ini menjadi asas kepada keyakinan bahawa reda adalah sebahagian daripada tawakal. Ia menuntut kepercayaan bahawa Allah Maha Mengetahui dan setiap ujian yang diberikan adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Dalam menghadapi kehidupan yang penuh dengan ujian, ketidakpastian dan perubahan yang tidak dijangka, reda menjadi satu konsep penting yang memberikan kekuatan dalaman kepada seorang Muslim.

Reda bukan sekadar menerima sesuatu dengan paksa atau terpaksa, tetapi ia adalah suatu penerimaan yang lahir daripada keimanan yang tulus dan keyakinan bahawa setiap ketentuan Allah pasti mempunyai hikmah tersendiri. Reda adalah tanda hati yang lapang, jiwa yang yakin dan akal yang tunduk kepada kehendak Ilahi.

Reda kepada Nabi Muhammad SAW pelengkap agama

Reda kepada Nabi Muhammad SAW bermakna menerima baginda sebagai contoh ikutan yang terbaik. Hal ini termasuklah menerima ajaran baginda secara menyeluruh tanpa memilih-milih, dan menjadikan sunnahnya sebagai panduan dalam setiap aspek kehidupan.

Allah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 21 (maksudnya):

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu.”

Reda terhadap Rasulullah membawa maksud mencintai dan mencontohi akhlak serta perjuangannya. Dalam dunia moden yang penuh cabaran, kita perlu kembali kepada sunnah sebagai panduan hidup yang selamat dan seimbang.

Reda kepada Nabi Muhammad akan menatijahkan reda kepada ajaran dan cara hidup yang diajarkan Baginda. Islam bukan hanya satu agama dalam pengertian sempit, tetapi satu cara hidup yang merangkumi akidah, ibadah, muamalat dan akhlak.

Reda kepada Islam bermakna menerima segala ajarannya dengan hati terbuka tanpa menolak mana-mana bahagiannya.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 208 (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan.”

Seorang Muslim yang reda kepada Islam akan bersungguh-sungguh mempraktikkan ajarannya dalam kehidupan seharian – daripada cara makan, berpakaian, bekerja, berinteraksi hingga kepada cara menyelesaikan masalah.

Reda kepada Islam sebagai cara hidup akan menerbitkan rasa bangga dan keterikatan kepada satu syariat dan cara hidup yang unggul. Hal ini akan menaikkan rasa keyakinan dan jati diri yang kuat.

Reda dalam konteks keluarga utama

Dalam hubungan kekeluargaan, reda ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting. Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

“Reda Allah terletak pada reda kedua-dua ibu bapa, dan murka Allah terletak pada murka kedua-dua ibu bapa.” (Riwayat at-Tirmizi)

Seorang anak yang mendapat reda ibu bapa akan hidup dalam keberkatan dan dipermudah jalannya. Reda ini menzahirkan kesyukuran dan penghormatan terhadap jasa serta pengorbanan mereka.

Perkahwinan yang bahagia tidak hanya bergantung pada cinta, tetapi juga keikhlasan dan reda antara pasangan. Isteri yang mencari reda suami bukan kerana takut, tetapi sebagai bentuk ibadah, akan melayani suaminya dengan penuh kasih.

Suami pula yang reda terhadap isterinya akan menerima kelemahan dan kekurangannya dengan sabar dan memahami. Dalam rumah tangga, reda antara satu sama lain bukan sahaja akan mengekalkan cinta yang ada, malah akan mewujudkan ruang hormat, prihatin dan empati yang tidak bertepi.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya reda kepadanya, maka dia akan masuk syurga.” (Riwayat at-Tirmizi)

Hadis ini menunjukkan bahawa reda dalam perkahwinan membawa ganjaran akhirat dan menjadi asas kepada keharmonian rumah tangga. Justeru, saling meredai antara suami dan isteri adalah penting.

Bukan sahaja menjadi tanggungjawab isteri untuk mencari reda suami, bahkan suami juga perlu sentiasa berusaha untuk menjaga hati isteri dan tidak melakukan perkara yang tidak disenanginya.

Reda dalam konteks hubungan sesama manusia

Persahabatan dan kekeluargaan yang lebih besar adalah antara hubungan insani yang istimewa. Namun begitu, seperti hubungan lain, ia tidak terlepas daripada ujian, perbezaan pendapat dan ketidakseimbangan dalam memberi dan menerima.

Reda dalam persahabatan bermaksud menerima sahabat seadanya dengan segala kelebihan dan kekurangannya serta tidak meletakkan harapan yang berlebihan terhadap balasan atau kesempurnaan.

Reda dalam kekeluargaan pula menuntut kita menerima setiap ahli yang ada seadanya dan menyayangi mereka tanpa syarat. Bak kata pepatah Melayu, “air yang dicincang tidak akan putus”, begitulah kuatnya sebuah tali kekeluargaan.

Sahabat yang reda akan belajar untuk bersabar, memaafkan dan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi yang timbul. Ia bukan bermaksud mengabaikan prinsip, tetapi meletakkan kasih sayang dan kefahaman sebagai asas utama dalam menjalin ukhuwah.

Reda dalam konteks ini memupuk keikhlasan: memberi tanpa mengharap balasan, menasihati dengan hikmah dan menghargai walau sekecil mana pun kebaikan.

Allah SWT berfirman (maksudnya):

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia buruk untuk kamu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 216)

Ayat ini mengajar kita untuk bersangka baik dalam hubungan, termasuk dalam persahabatan. Mungkin sahabat tidak dapat memenuhi jangkaan kita kerana ujian yang sedang dialaminya. Maka, reda menjadikan kita lebih empati dan memahami bahawa setiap orang sedang berjuang dalam cara mereka yang tersendiri.

Reda dalam persahabatan juga membantu mengelakkan salah sangka dan permusuhan. Situasi ini akan mendorong seseorang untuk berusaha memahami, mencari ruang untuk membaiki komunikasi dan terus menjaga silaturahim.

Reda bermula dengan diri sendiri

Apa pun dalam kehidupan, mulakanlah dengan diri sendiri. Jangan mudah menuding jari. Mulakan menjadi seorang yang meredai apa yang ada di sekeliling. Yang paling utama ialah reda Allah SWT dan Rasulullah SAW serta Islam sebagai cara hidup.

Setelah itu, belajarlah menjadi orang yang meredai setiap ahli keluarga, pasangan hidup, sahabat, rakan dan sesiapa yang ada dalam radar kehidupan ini.

Akhirnya, kita akan merasakan bahawa reda dalam hubungan kemanusiaan akan menjadikan hubungan lebih tenang, jujur dan berkekalan. Ia mengukuhkan nilai kasih sayang, toleransi dan persaudaraan yang dianjurkan dalam Islam. Inilah rahsia bahagia dalam reda.

Prof Madya Dr Hamidah Mat
Dekan
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia