Kemaafan: Teladani Akhlak Nabi Yaakub dan Yusuf

Kemaafan adalah pintu ketenangan jiwa, kekuatan rohani dan bukti keimanan yang tinggi. Dalam hubungan kekeluargaan, kemaafan memainkan peranan besar dalam menyembuhkan luka-luka emosi dan menguatkan semula ikatan silaturahim

Ibu bapa yang pemaaf menunjukkan kemuliaan jiwa dan kasih sayang tanpa syarat. Begitu juga dengan kemaafan antara adik-beradik yang menjadi asas kukuh kepada perpaduan keluarga.

Perbezaan pandangan, perselisihan kecil mahupun konflik yang besar sering berlaku dalam keluarga, namun apabila kemaafan menjadi budaya, pertelingkahan dapat diredakan dengan hikmah.

Dalam mendepani realiti kehidupan moden yang serba mencabar, kemaafan merupakan teras dalam keluarga bagi membina ketahanan emosi dan keharmonian jangka panjang.

Kemaafan seorang ayah 

Kisah kemaafan seorang ayah ditunjukkan oleh Nabi Yaakub a.s. yang memaafkan kesalahan anak-anaknya. Nabi Yaakub a.s. adalah ayah kepada 12 orang putera. Salah seorang yang paling disayanginya ialah Nabi Yusuf a.s. kerana ketinggian akhlak dan mimpi kenabiannya sejak kecil.

Keadaan ini telah menimbulkan kecemburuan dalam kalangan abang-abangnya  sehingga mereka berkomplot membuangnya ke dalam perigi serta menipu ayah mereka dengan mengatakan bahawa adiknya telah dimakan serigala. Nabi Yaakub a.s. tidak bertindak dengan amarah atau dendam. Sebaliknya, baginda hanya berkata:

فَصَبْرٌ جَمِيلٌ ۖ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُون

“Maka (jalan yang terbaik bagiku ialah) bersabar dengan sebaik-baiknya, dan hanya Allah sahajalah tempat memohon pertolongan atas apa yang kamu ceritakan.” (Surah Yusuf, ayat 18)

Kesedihan yang berat 

Kehilangan Nabi Yusuf a.s. menyebabkan Nabi Yaakub a.s. menanggung kesedihan yang sangat berat sehingga matanya menjadi buta kesan daripada tangisan yang lama. 

Allah SWT menggambarkan dalam Surah Yusuf ayat 84 yang bermaksud:

“Dan dia (Yaakub) berpaling daripada mereka seraya berkata: ‘Aduhai sedihnya terhadap (kehilangan) Yusuf!’ dan menjadi putihlah kedua-dua matanya kerana kesedihan yang mendalam, dan dia menahan diri (daripada mengeluh).”

Nabi Yaakub a.s. bersabar dan tidak menuntut sebarang pembalasan daripada anak-anaknya. Walaupun matanya menjadi buta kerana kesedihan, Nabi Yaakub tetap sabar dan yakin dengan takdir Allah SWT.

Baginda tidak pernah kehilangan harapan terhadap rahmat Allah SWT dan terus berdoa, memohon agar suatu hari nanti Nabi Yusuf a.s. akan kembali. 

Allah SWT membalas perlakuan anak-anak Nabi Yaakub a.s. dengan cara yang penuh hikmah dan keadilan. Mereka pulang kepada Nabi Yaakub a.s. dengan penyesalan yang mendalam dan berkata (dalam firman Allah yang bermaksud):

“Wahai ayah kami! Mohonkan ampun bagi kami atas dosa-dosa kami, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah.” (Surah Yusuf, ayat 97)

Lalu Nabi Yaakub a.s. menjawab dengan penuh kasih yang bermaksud: “Aku akan memohonkan ampun untukmu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Yusuf, ayat 98)

Ketika anak-anak Nabi Yaakub a.s. mengakui kesalahan mereka, Nabi Yaakub a.s. membalas dengan kemaafan, ditambah dengan doa supaya Allah SWT mengampunkan dosa-dosa mereka.

Kemuliaan hati seorang ayah tidak hanya memaafkan tetapi juga mendoakan kebaikan dan keampunan bagi anak-anaknya, meskipun mereka pernah melakukan kezaliman yang berat terhadapnya. Ini mencerminkan kasih sayang yang tulus dan tanpa syarat.

Tindakan ini mengajar kita bahawa kemaafan sejati bukan hanya dalam kata-kata tetapi juga dalam tindakan iaitu dengan berdoa dan mengharapkan yang terbaik untuk orang yang pernah menyakiti kita.

Ini menunjukkan betapa tinggi nilai kasih sayang dalam hubungan kekeluargaan dan betapa pentingnya memberi ruang untuk kesedaran dan perubahan dalam diri mereka yang telah bersalah.

Kemaafan yang menyentuh jiwa 

Sifat kemaafan yang ditunjukkan oleh Nabi Yaakub a.s. juga ditunjukkan oleh Nabi Yusuf a.s. apabila baginda memaafkan abang-abangnya yang telah menganiayanya.

Ketika Nabi Yusuf a.s. menjadi seorang pembesar yang berpengaruh di Mesir, abang-abangnya dari Palestin telah datang untuk mendapatkan bekalan makanan  tanpa mengenali Nabi Yusuf a.s. Surah Yusuf ayat 90 menceritakan siri dialog mereka yang bermaksud:

Mereka berkata: ‘Adakah engkau ini Yusuf?’ Yusuf menjawab: ‘Akulah Yusuf dan ini saudaraku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah melimpahkan kurnia-Nya kepada kami. Sesungguhnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan ganjaran bagi orang-orang yang berbuat baik.’”

Abang-abangnya terdiam, ketakutan dan penuh rasa bersalah. Seterusnya ayat 91 Surah Yusuf menjelaskan pengakuan mereka yang bermaksud:

“Demi Allah, sesungguhnya Allah telah melebihkan engkau atas kami dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah.”

Inilah saat agung kemaafan yang menyentuh jiwa. Dengan kuasa yang ada, Nabi Yusuf a.s. boleh sahaja membalas dendam atas apa yang telah dilakukan oleh mereka.  Namun, ayat yang keluar dari mulutnya dirakam dalam ayat 92 Surah Yusuf yang bermaksud:

“Dia berkata: ‘Tidak ada cercaan terhadap kamu pada hari ini. Semoga Allah mengampuni kamu, dan Dia Maha Penyayang daripada segala yang penyayang.'”

Nabi Yusuf a.s. tidak mengungkit, tidak menghina dan tidak menyindir. Sebaliknya, baginda memaafkan dengan penuh keikhlasan dan mendoakan keampunan untuk mereka. Ia adalah puncak akhlak kenabian.

Kemaafannya tulus walaupun dikhianati dan dizalimi oleh darah daging sendiri. Baginda sahaja tidak mencerca dan menghina, malah menyambung dengan doa semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa mereka.

Teladan agung 

Setelah bertahun-tahun menghadapi penderitaan dengan dijual sebagai hamba, difitnah dan dipenjarakan, namun  ketika berkuasa dan berpeluang membalas dendam, baginda memilih untuk memaafkan.

Tindakan Nabi Yusuf a.s. bukan sekadar memaafkan secara lisan, tetapi disertai dengan tindakan kasih sayang. Baginda menyediakan tempat tinggal untuk abang-abangnya, membawa ibu bapanya tinggal bersamanya dan mengangkat mereka dengan penuh kemuliaan.

Hal ini menunjukkan bahawa kemaafan yang sebenar bukan hanya melepaskan kemarahan, tetapi menyambung kembali hubungan yang telah retak bahkan menjadikannya lebih kuat.

Kemaafan dalam institusi keluarga adalah asas kepada pembinaan sebuah masyarakat yang penyayang dan harmoni. Kisah Nabi Yaakub a.s. dan Nabi Yusuf a.s. menjadi teladan agung bahawa kemaafan mampu menyembuhkan luka terdalam dan memperbaharui ikatan kekeluargaan yang pernah retak.

Seorang ayah yang memaafkan anak-anaknya menunjukkan kebesaran jiwa dan cinta yang suci, manakala seorang adik yang memaafkan abang-abangnya mencerminkan ketulusan hati dan keikhlasan yang tiada tandingannya.

Lebih-lebih lagi, dalam suasana bulan Syawal yang masih tersisa ini, bulan yang sinonim dengan kemaafan setelah sebulan beribadah dalam bulan Ramadan, marilah kita jadikan nilai kemaafan sebagai amalan yang terus hidup dalam keluarga.

Kemaafan bukan tanda kelemahan, tetapi kekuatan rohani yang luar biasa. Maka, jadikanlah keluarga kita ruang paling selamat untuk saling memaafkan, membaiki dan mencintai. Di situlah bermulanya kedamaian yang sebenar dalam hati yang bersih dan hubungan yang diberkati.

Puan Hasliza Talib
Pensyarah
Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia