Perpaduan Negara Teruji, Kemanusiaan Terus Bersatu

Seperti yang diungkapkan dalam peribahasa Melayu, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” dan “Bagai aur dengan tebing,” nilai perpaduan telah lama menjadi teras kepada kekuatan dan identiti rakyat Malaysia.

Setiap kali bencana melanda, seseorang itu bukan hanya diuji dari segi fizikal dan emosi, tetapi juga dari aspek nilai kemanusiaan yang membentuk sifat bangsa kita. Perpaduan rakyat Malaysia bukanlah sekadar kata-kata kosong atau slogan, tetapi sebuah realiti yang jelas terbukti dalam pelbagai krisis yang telah dihadapi bersama.

Dari banjir besar di Kelantan, gempa bumi di Sabah, pandemik COVID-19, hingga tragedi letupan gas di Putra Heights, rakyat Malaysia telah membuktikan semangat perpaduan yang tinggi.

Ketika bencana melanda, kita dapat melihat bagaimana semangat kemanusiaan memacu untuk saling membantu tanpa mengira perbezaan.

Walaupun kita berbeza agama, kaum dan latar belakang, semangat persaudaraan dalam kalangan rakyat Malaysia terus menyatu. Inilah bukti bahawa perpaduan tidak terhad pada masa-masa yang tenang, tetapi akan diuji dan semakin kukuh apabila dilanda krisis.

Pada 1 April 2025, sekitar jam 8.10 pagi, satu letupan besar berlaku di Putra Heights, Subang Jaya, akibat kebocoran pada saluran paip gas milik Petronas. Letupan itu bukan sahaja mengejutkan penduduk sekitar, tetapi turut menguji kecekapan dan kesediaan rakyat Malaysia untuk bertindak segera.

Kejadian ini jelas menggambarkan bagaimana, dalam situasi bencana, semangat perpaduan dan solidariti dapat diwujudkan dengan pantas.

Budaya berterusan 

Perpaduan yang terjalin pada saat-saat sukar ini harus dipelihara dan diteruskan bukan hanya semasa bencana, tetapi dalam kehidupan seharian. Ia perlu dipupuk sebagai satu budaya berterusan yang berasaskan semangat saling menghormati, bekerjasama dan mengutamakan kepentingan bersama.

Teori Perpaduan Sosial yang dikemukakan oleh Émile Durkheim membahagikan solidariti kepada dua bentuk iaitu mekanikal dan organik. Dalam konteks bencana, kita dapat melihat bagaimana individu bertindak berdasarkan empati dan rasa persamaan, menjadi asas kepada tindakan kolektif dalam menghadapi krisis. Itulah solidariti mekanikal

Rakyat Malaysia, tanpa mengira status sosial, agama atau bangsa, bersama-sama melangkah ke hadapan untuk memberikan bantuan kepada yang memerlukan.

Begitu juga, Teori Modal Sosial oleh Robert Putnam turut menjelaskan bagaimana jaringan sosial dan kepercayaan dalam sesebuah komuniti memainkan peranan penting dalam proses mobilisasi bantuan.

Bantuan daripada NGO, pasukan sukarelawan dan agensi kerajaan seperti MERS 999, MERCY Malaysia dan pasukan RELA membuktikan bahawa masyarakat kita saling berganding bahu dalam memastikan bantuan sampai dengan cepat dan berkesan.

Tidak terhad fizikal 

Modal sosial yang tinggi adalah asas utama dalam membina ketahanan masyarakat menghadapi krisis dengan saling percaya dan bekerjasama. Namun, perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia tidak hanya terhad kepada tindakan fizikal.

Tindakan menghulurkan makanan, membersihkan kediaman yang rosak akibat bencana atau berkongsi selimut di pusat pemindahan bukan sahaja menggambarkan semangat kemanusiaan, tetapi juga simbol kasih sayang yang mendalam.

Tindakan-tindakan ini mencipta imej perpaduan yang kuat di mata rakyat, memberi inspirasi kepada seluruh negara serta menjadi sumber motivasi di media sosial dan siaran berita. 

Dalam konteks ini, kerjasama ASEAN juga tidak boleh dipandang remeh. ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER), yang berkuat kuasa sejak 2009, adalah satu kerangka kerja yang membolehkan negara-negara ASEAN berkoordinasi secara rapat dalam menangani bencana.

Melalui ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance (AHA Centre), ASEAN mempermudah kerjasama antara negara anggota dan agensi antarabangsa untuk memastikan bantuan disalurkan dengan segera dan berkesan.

AADMER Work Programme 2021-2025 yang telah dibangunkan oleh ASEAN selaras dengan Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030 dan 2030 Agenda for Sustainable Development, memberikan pendekatan yang lebih komprehensif dalam pengurusan risiko bencana.

Langkah-langkah proaktif 

Malaysia, sebagai negara anggota ASEAN, turut aktif dalam usaha-usaha ini dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memperkasakan Jawatankuasa Bencana Komuniti serta melatih sukarelawan antara kaum di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tidak dapat dinafikan bahawa teknologi juga memainkan peranan penting dalam memudahkan pengurusan bencana di Malaysia. Dalam menghadapi bencana seperti banjir, teknologi membantu dalam proses pemulihan dan pengurusan bantuan, seperti pemprosesan tuntutan insurans atau pemberian bantuan secara lebih cepat.

Sebagai contoh, Liberty General Insurance telah memperkenalkan alat digital yang memudahkan pemegang polisi mereka membuat tuntutan dengan lebih cepat, terutamanya dalam waktu-waktu kritikal seperti bencana.

Namun begitu, selain teknologi, kesedaran tentang pentingnya persediaan awal juga perlu dipertingkatkan. Kita harus memberi lebih penekanan kepada langkah-langkah pencegahan dan kesedaran yang melibatkan semua lapisan masyarakat.

Pendidikan mengenai pengurusan bencana perlu diberi keutamaan agar masyarakat lebih bersedia menghadapi kemungkinan bencana pada masa depan. 

Impak yang mendalam 

Kempen seperti #KitaJagaKita, yang tular semasa pandemik dan kini terus digunakan dalam bencana lain, adalah contoh komunikasi krisis yang berkesan. Mesej ini, walaupun ringkas, memberi impak yang mendalam.

Ia membina naratif bahawa rakyat Malaysia tidak pernah keseorangan kerana sokongan ada di sekeliling mereka. Kita boleh melihat bagaimana semangat ini diteruskan setiap kali bencana melanda, seperti insiden banjir besar dan letupan gas di Putra Heights, yang menyaksikan rakyat berbilang agama dan kaum bersama-sama memberi bantuan, tanpa mengira agama dan kaum.

Pendidikan sivik, kempen kesedaran melalui media sosial dan aktiviti khidmat masyarakat adalah platform penting untuk menanamkan nilai-nilai ini sejak di bangku sekolah lagi.

Kita harus mempersiapkan generasi akan datang dengan kesedaran tentang perpaduan dalam membina masyarakat yang lebih kuat dan sejahtera. Perpaduan yang kukuh tidak boleh dibina dalam sehari, tetapi dibentuk melalui tindakan kecil yang dilakukan bersama, terutama ketika situasi getir melanda.

Biarlah semangat perpaduan ini menjadi sebahagian daripada budaya negara kita dan menjadi contoh kepada dunia bahawa walaupun diuji dengan pelbagai cabaran, kemanusiaan akan terus bersatu. Inilah wajah sebenar Malaysia dan ASEAN yang bersatu dalam krisis, bersaudara dalam cabaran.

Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia &
Pengerusi Women in Logistics and Transport (WiLAT) Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia