KUANTAN – Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDPB Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan mencemar duli ke Masjid Tengku Ampuan Afzan di sini malam tadi bagi menunaikan solat Isyak dan Tarawih.
Keberangkatan baginda berdua turut diiringi dengan sesi menyantuni rakyat serta menyampaikan sumbangan Ramadan secara santai kepada kanak-kanak yang hadir.
Dalam kunjungan tersebut, Imam Pertama Masjid Tengku Ampuan Afzan, Ustaz Mohd Hafidz Mohamad Suhaile, telah memaklumkan kepada baginda berdua mengenai inisiatif Ramadan Kids’ Corner yang dianjurkan di masjid tersebut.
Berikutan itu, KDPB Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang berkenan melawat ruang khas ini yang diwujudkan bagi menjaga kebajikan anak-anak kecil sementara ibu bapa menunaikan solat berjemaah.
Ketua Wanita IKRAM Indera Mahkota, Dr. Tom Fatimah, menyatakan bahawa inisiatif ini telah berjalan sejak tiga tahun lalu hasil usaha berterusan IKRAM Junior Pahang dan Jawatankuasa Wanita Kawasan.
“Ramadan Kids’ Corner bertujuan menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak berumur 3 hingga 9 tahun sepanjang solat Isyak dan Tarawih berlangsung. Inisiatif ini bukan sahaja membantu ibu bapa menunaikan solat dalam keadaan tenang, malah turut memberi keselesaan kepada seluruh jemaah masjid,” katanya.
Beliau berharap agar masjid-masjid di sekitar Kuantan dan Pahang secara umumnya dapat menjadi masjid yang mesra kanak-kanak serta berperanan dalam membentuk perkembangan positif anak-anak.
Menurutnya, suasana yang harmoni dan penuh kasih sayang akan memberikan pengalaman yang indah kepada mereka setiap kali berkunjung ke masjid, sekali gus menyemai kecintaan mereka terhadap rumah Allah sejak usia kecil.
Sementara itu, Timbalan Ketua Wanita IKRAM Pahang merangkap Ketua IKRAM Junior, Puan Hajah Melati Abdul Wahab, menjelaskan bahawa usaha ini mendapat sambutan baik daripada masjid-masjid di sekitar Kuantan.
“Kami telah berusaha mendapatkan tajaan bagi mengurangkan kos perbelanjaan. Alhamdulillah, tahun ini kami berjaya membuka dua Ramadan Kids’ Corner, iaitu di Masjid Saidina Othman Affan dan Masjid Tengku Ampuan Afzan yang sering dikunjungi KDPB Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, semasa keberangkatan baginda berdua ke masjid, Tuan Imam turut mengumumkan mengenai pembukaan Ramadan Kids’ Corner di bawah kelolaan IKRAM, yang menarik minat baginda berdua untuk melihat sendiri ruang berkenaan.
“Baginda berdua turut menyedari bahawa bilangan kanak-kanak di dalam ruang solat masjid berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Perkara ini menunjukkan impak positif inisiatif berkenaan,” kata Puan Melati.
Pada tahun ini, Ramadan Kids’ Corner Masjid Tengku Ampuan Afzan dikelolakan oleh IKRAM Junior Indera Mahkota manakala Ramadan Kids’ Corner Masjid Saidina Othman Affan diuruskan di bawah IKRAM Junior Kuantan.
IKRAM Junior Pahang sebelum ini telah memulakan projek ini di Masjid UIAM pada tahun pertama. Pada tahun berikutnya, IKRAM meneruskan usaha dengan membawa kertas kerja ke masjid-masjid lain bagi memperluaskan manfaatnya.
Setiap malam, Jawatankuasa Wanita kawasan turun secara bergilir untuk memastikan kelancaran program, manakala fasilitator yang terdiri daripada pelajar universiti, ahli dan orang awam ditawarkan elaun setiap malam.
Pelbagai aktiviti bermanfaat disusun untuk kanak-kanak, dengan penjelasan dan penyelarasan yang diberikan kepada fasilitator sebelum program berlangsung.
“Alhamdulillah, usaha ini membolehkan lebih ramai ibu dan ahli muda untuk hadir ke masjid dengan tenang. Kami berharap lebih banyak masjid akan membuka ruang kerjasama bagi memastikan lebih ramai jemaah mendapat manfaat,” kata Melati.
Diharapkan inisiatif Ramadan Kid’s Corner ini akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai keluarga di negeri ini, insya-Allah.