Dekriminalisasi Dadah: Perlunya Penyelesaian Holistik

Pendekatan tradisional yang berasaskan hukuman penjara dan denda semata-mata tidak menampakkan kesan, kerana penagih dadah meringkuk di penjara berulang kali tanpa menerima rawatan sewajarnya sebagai pesakit yang memerlukan pemulihan. 

Peningkatan 31.6% dalam jumlah penagih dadah yang dikesan pada tahun 2024, iaitu sebanyak 169, 691 orang berbanding tahun sebelumnya, 128,911 orang menunjukkan trend yang membimbangkan dalam penyalahgunaan dadah di Malaysia.

Kemunculan dadah sintetik baharu yang lebih mudah dihasilkan dan diedarkan, menjadikan usaha membanterasnya semakin mencabar. Peningkatan ini mengisyaratkan bahawa pendekatan baharu yang lebih berkesan perlu diperkenalkan bagi menangani masalah dadah secara holistik.

Dadah dalam perspektif Islam

Islam menutup segala jalan yang membawa keburukan, sejajar dengan maqasid syariah dalam menjaga akal dan nyawa. Kaedah Sadd az-Zari‘ah digunakan dalam menilai hukum perkara yang mendatangkan mudarat.

Oleh itu, dadah diharamkan kerana ia memabukkan dan merosakkan akal, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Setiap yang memabukkan itu khamr dan setiap yang memabukkan itu haram.”
(HR Muslim, no. 2003)

Menurut ulama kontemporari seperti Wahbah al-Zuhaili dalam karyanya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, semua jenis dadah seperti ganja, heroin dan seumpamanya adalah haram kerana ia membawa kemudaratan kepada tubuh dan akal manusia. Penggunaan bahan ini secara tidak terkawal menyebabkan pergantungan, perubahan tingkah laku dan merosakkan kesejahteraan masyarakat.

Dari sudut perundangan Islam, kesalahan berkaitan dadah dikategorikan di bawah hukuman takzir, bukan hudud. Ini memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menentukan hukuman yang sesuai demi kemaslahatan rakyat. 

Oleh itu, tiada halangan dari sudut syariah jika pihak berkuasa berpandangan bahawa dekriminalisasi penggunaan dadah dalam jumlah kecil adalah lebih baik, dengan syarat wujud mekanisme kawalan seperti pemulihan wajib.

Pendekatan baharu dalam menangani ketagihan dadah di Malaysia

Di Malaysia, usaha untuk menyemak semula pendekatan terhadap isu dadah telah bermula sejak tahun 2019 apabila kerajaan memperkenalkan langkah penyahjenayahan atau dekriminalisasi terhadap pemilikan dadah bagi kegunaan peribadi.

Dekriminalisasi dadah merujuk kepada pendekatan undang-undang yang menyatakan pemilikan dan penggunaan dadah dalam jumlah kecil untuk kegunaan peribadi tidak lagi dianggap sebagai jenayah yang boleh dihukum dengan hukuman penjara atau rekod jenayah. Sebaliknya, ketagihan dilihat sebagai isu kesihatan, bukan jenayah. 

Walau bagaimanapun, dekriminalisasi bukan bermaksud dadah dibenarkan secara bebas, sebaliknya lebih kepada pendekatan rawatan berbanding hukuman.

Penggunaan dadah masih dianggap sebagai kesalahan, tetapi tidak lagi dihukum sebagai jenayah. Sebaliknya, individu dianggap sebagai pesakit yang perlu diberi peluang mendapatkan rawatan dan sokongan tanpa perlu melalui sistem kehakiman jenayah.

Langkah ini bukan sekadar mengurangkan populasi penjara dan perbelanjaan kerajaan terhadap tahanan, tetapi dapat juga pihak berkuasa memberi tumpuan kepada pengedaran dan penyeludupan dadah yang lebih berbahaya.

Dalam masa yang sama, ia dapat memastikan sistem keadilan jenayah dapat digunakan dengan lebih berkesan dan mengatasi isu pelanggaran hak asasi banduan dadah. 

Lebih penting lagi, dekriminalisasi membolehkan penagih dadah dialihkan daripada pendekatan bersifat hukuman semata-mata seperti penangkapan, tahanan dan rawatan paksa kepada rawatan yang lebih berkesan, sukarela dan berasaskan komuniti.

Pendekatan ini merangkumi rawatan perubatan serta intervensi psikologi dan sosial, yang terbukti berkesan dalam membantu mereka keluar daripada kancah ketagihan.

Dekriminalisasi bukanlah satu-satunya penyelesaian dalam menangani masalah ketagihan dadah di Malaysia. Ia perlu digabungkan dengan pelbagai strategi lain yang disesuaikan dengan cabaran pelaksanaan serta mengambil kira faktor sosial, ekonomi, budaya dan agama dalam masyarakat.

Pendekatan alternatif yang komprehensif ini boleh menjadi pemangkin perubahan dalam usaha pemulihan penagih dadah. Jika tidak ditangani dengan strategi yang lebih inklusif, isu dadah akan terus mengancam kestabilan sosial dan masa depan negara. 

Resolusi Konvensyen Kepulihan Kebangsaan 2025: Menyemai harapan baharu

Resolusi Konvensyen Kepulihan Kebangsaan (KKK) 2025 menggariskan keperluan untuk beralih daripada pendekatan menghukum kepada pemulihan berasaskan kesihatan. Hal ini termasuk penyahjenayahan penggunaan dadah untuk kegunaan peribadi serta memperkukuh peranan organisasi komuniti dalam program rawatan.

Selain itu, resolusi ini menekankan kepentingan pengukuhan program rawatan berasaskan bukti, sokongan kepada pusat pemulihan komuniti serta pembentukan kerjasama antara sektor awam dan swasta untuk memastikan pemulihan yang lebih berkesan.

Kolaborasi erat antara kerajaan, NGO, agensi berkaitan dan masyarakat sivil juga diperlukan untuk menyelaraskan strategi pelaksanaan dekriminalisasi serta mempertingkatkan koordinasi dalam sektor kesihatan, kebajikan dan penguatkuasaan undang-undang.

Malah, usaha mengubah persepsi masyarakat turut menjadi agenda utama. Pendidikan, media dan program pencegahan awal harus diperkasakan bagi membendung ketagihan baharu, menghapuskan stigma terhadap penagih, sekali gus memberi mereka peluang kedua untuk kembali berfungsi sebagai anggota masyarakat yang produktif.

Ke arah penyelesaian yang lebih holistik

Penyelesaian masalah dadah memerlukan keseimbangan antara penguatkuasaan dan pemulihan. Dekriminalisasi bukan bermaksud menghalalkan penggunaan dadah, tetapi melihat isu ketagihan sebagai isu kesihatan yang memerlukan rawatan dan sokongan, bukan semata-mata hukuman.

Pendekatan ini memberi peluang kepada mereka yang terjerumus dalam ketagihan untuk pulih tanpa terus dibebani stigma dan rekod jenayah yang menghalang pemulihan mereka.

Kejayaan inisiatif ini bergantung pada kesediaan semua pihak berkepentingan untuk menyediakan sokongan komprehensif kepada bekas penagih, termasuk dalam aspek rawatan, pemulihan sosial dan pemerkasaan ekonomi. 

Pada masa yang sama, kawalan ketat terhadap pengedaran dan pembekalan dadah mesti terus diperkuat bagi memastikan pendekatan ini tidak disalah guna dan benar-benar memberi manfaat kepada mereka yang ingin berubah.

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita harus bersikap lebih inklusif dan membantu mereka yang berusaha memulihkan diri daripada ketagihan.

Bersama kita membina negara yang lebih maju dan penyayang tanpa meninggalkan mereka yang pernah tersilap langkah tetapi bertekad untuk kembali ke pangkal jalan.

Sumber: Konvensyen Kepulihan Kebangsaan (KKK) 2025

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia