KUALA LANGAT – Hari Keluarga IKRAM Pusat 2025 yang berlangsung pada 1-2 Februari di Villea Morib di sini melabuhkan tirainya dengan kehangatan ukhuwah dan penuh kemeriahan.
Bertujuan memperkukuh ukhuwah dan menghargai jasa para petugas IKRAM, pelbagai aktiviti menarik telah disusun, termasuk majlis makan malam bertemakan ‘klasik’ serta sukaneka keluarga dalam suasana santai tapi bermakna.
Dengan kehadiran 145 peserta daripada 42 keluarga, yang terdiri daripada kakitangan ibu pejabat dan barisan Jawatankuasa Pusat (JKP) IKRAM, program ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim tetapi juga menjadi medan penghargaan kepada jasa dan dedikasi mereka dalam perjuangan dakwah dan kebajikan.
Presiden IKRAM, Haji Badlishah Sham bin Baharin menzahirkan rasa syukur atas kehadiran para hadirin yang memeriahkan majlis.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran organisasi, sambil menekankan kepentingan nilai kebersamaan dalam gerak kerja IKRAM.
Hari Keluarga menjadi lebih bermakna dengan slot meraikan Md Nasir Tampol, yang baru sahaja bersara daripada IKRAM pada Disember tahun lalu setelah lebih 11 tahun berkhidmat sejak 2013.
“Saudara Nasir sentiasa bersedia berkhidmat di mana sahaja diperlukan. Pengorbanan beliau dalam menjalankan amanah tanpa mengira lokasi dan cabaran amat dihargai,” kata Presiden dalam ucapannya.
“Kita doakan semoga Allah merahmati beliau dengan kesihatan dan keberkatan dalam fasa kehidupan seterusnya.”
Sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja IKRAM yang berdedikasi, majlis turut menyampaikan Anugerah Nilai Bersama (E.P.I.I.K) dan Anugerah Ragaman kepada kakitangan serta ahli JKP yang telah dipilih melalui undian dalam kalangan JKP dan kakitangan ibu pejabat IKRAM.
Program bermula dengan majlis makan malam bertemakan ‘klasik’, yang memberi ruang kepada peserta untuk bersantai dan berinteraksi dalam suasana penuh nostalgia. Keesokan harinya, santapan rohani menjadi pembuka tirai dengan solat Subuh berjemaah dan tazkirah, mengingatkan kepentingan tarbiah dalam kehidupan seharian.
Sukaneka keluarga yang dianjurkan pada hari terakhir menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dalam suasana santai dan ceria. Kanak-kanak dan ibu bapa serta semua ahli keluarga turut serta dalam pelbagai acara yang menguji kerjasama serta ketangkasan mereka.
Gelak tawa, momen indah serta semangat kekeluargaan menyemarakkan lagi suasana, menjadikan program ini lebih daripada sekadar sebuah acara tahunan tetapi lambang kebersamaan.
Dengan berakhirnya Hari Keluarga IKRAM Pusat 2025, ukhuwah yang terjalin mesra sepanjang program ini diharapkan dapat terus menyemarakkan semangat kerja dan perjuangan dalam IKRAM.