Penghujung tahun, khususnya bulan Disember, adalah waktu yang tepat untuk kita melakukan refleksi atau muhasabah terhadap segala aktiviti sepanjang tahun, termasuk tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Salah satu kewajipan utama yang perlu diberi perhatian ialah pelaksanaan zakat ke atas harta yang dimiliki, terutamanya harta yang telah memenuhi syarat-syarat seperti tempoh pemilikan dan kadar kelayakan zakat.
Dalam usaha menggalakkan kesedaran ini, pejabat-pejabat zakat di seluruh Malaysia semakin giat melancarkan pelbagai kempen melalui laman web, media sosial, khutbah Jumaat dan kaunter-kaunter terbuka di lokasi tumpuan ramai.
Bahkan, para pegawai zakat turut digerakkan sepenuhnya untuk memastikan kutipan zakat dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.
Oleh itu, artikel ini akan mengupas secara terperinci jenis-jenis zakat yang wajib dikeluarkan serta mekanisme umum pengiraannya, agar kita semua dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan tepat dan penuh kesedaran.
Objektif utama pembayaran zakat
Zakat memainkan peranan penting bukan sahaja kepada pembayar, tetapi juga kepada penerimanya, dengan membawa pelbagai kesan positif dalam kehidupan. Bagi pembayar zakat, tanggungjawab ini membentuk sifat pemurah, menghindarkan mereka daripada sifat kedekut dan tamak terhadap harta.
Lebih daripada itu, zakat menjadi medium penyucian harta daripada elemen yang meragukan, sekali gus membawa keberkatan kepada rezeki yang diperoleh.
Bagi penerima pula, zakat mampu meringankan beban kewangan dan membantu mereka menghadapi kesukaran hidup. Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 13 Disember 2024 menekankan bahawa zakat berperanan mengangkat maruah umat manusia, khususnya golongan seperti mualaf, yang memerlukan sokongan untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai Muslim.
Sebahagian besar dana zakat disalurkan kepada fakir dan miskin, golongan terbesar dalam kalangan rakyat Malaysia. Bantuan ini membantu mengurangkan jurang sosial, meningkatkan keyakinan diri penerima, dan memberi peluang kepada mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih bermaruah dalam dunia yang penuh cabaran ini.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr ayat 7 turut mengingatkan kepentingan zakat. Ia bermaksud:
“Supaya harta itu tidak hanya beredar antara orang-orang kaya dalam kalangan kamu.”
Jenis-jenis zakat dalam Islam
Masih ramai dalam kalangan umat Islam yang kurang menyedari atau memahami jenis-jenis harta yang wajib dikenakan zakat, meskipun ia merupakan kewajiban penting dalam syariat.
Artikel ini akan mengupas pelbagai jenis zakat, termasuk syarat-syarat dan mekanisme pengeluarannya, bagi membantu pembaca lebih cakna terhadap tanggungjawab ini.
1. Zakat pendapatan
Kita mulakan dengan zakat pendapatan yang merupakan penyumbang besar kepada kutipan zakat di pusat-pusat zakat di Malaysia. Pendapatan merangkumi semua jenis hasil atau pulangan sebagai ganjaran atas perkhidmatan yang diberikan.
Ia termasuk gaji, upah, bonus, dividen, pendapatan daripada sewaan, royalti, hibah, elaun, honorarium, pampasan, pencen, keuntungan daripada perniagaan bermusim serta apa sahaja bentuk pendapatan yang diperoleh melalui kerjaya atau profesion seseorang.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 267 bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik.”
Kadar zakat bagi jenis harta ini adalah 2.5% berpandukan kepada kadar zakat emas.
2. Zakat simpanan
Zakat wang simpanan ialah zakat yang dikenakan ke atas wang yang disimpan, sama ada dalam bentuk tunai, syiling atau aset lain yang setara dengan emas dan perak, yang mempunyai nilai kuasa beli.
Ia meliputi simpanan dalam akaun simpanan, akaun tetap, akaun semasa, serta pelbagai bentuk simpanan lain. Sumber penghujahan kepada zakat simpanan adalah berdasarkan kepada hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud:
“Tiada wajib sesuatu (pada emas) atas engkau sehingga engkau memiliki 20 dinar (85 gram). Apabila engkau mempunyai 20 dinar dan cukup haul, maka wajiblah zakat ½ dinar (2.5 %).”
Pengiraan zakat wang simpanan dilakukan berdasarkan baki terendah dalam akaun simpanan yang dimiliki sepanjang tahun, selepas ditolak faedah (bagi akaun konvensional) dan ditambah dengan hibah (bagi akaun wadiah) yang diterima dalam tempoh tersebut.
3. Zakat emas dan perak
Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 34 bermaksud:
“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak tetapi tidak membelanjakannya di jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka azab seksa yang pedih.”
Ayat di atas menunjukkan hukuman berat kepada pemilik harta jenis emas dan perak yang tidak mengeluarkan zakat emas dan perak. Emas dan perak merupakan hasil bumi yang bernilai dan memberikan manfaat kepada manusia, sama ada dalam bentuk asalnya atau setelah diproses.
Dalam syariat Islam, emas dan perak diharuskan penggunaannya sebagai mata wang serta sebagai perhiasan. Namun, kedua-duanya tertakluk kepada hukum zakat apabila memenuhi syarat nisab dan haul, bertujuan memastikan harta tersebut dimanfaatkan secara adil dan tidak hanya disimpan tanpa memberi manfaat kepada masyarakat.
Kaedah pengiraan zakat emas bergantung kepada jenis emas yang dimiliki. Bagi emas yang tidak dipakai, zakat dikenakan ke atas keseluruhan nilai emas menggunakan formula: Zakat Emas = Nilai Emas × 2.5%.
Sebagai contoh, jika harga emas ialah RM80/gram dan berat emas yang dimiliki ialah 100 gram, jumlah zakat yang perlu dibayar ialah RM8,000 × 2.5% = RM200. Manakala bagi emas perhiasan wanita, zakat hanya dikenakan ke atas emas yang melebihi kadar ‘uruf (kadar pemakaian biasa), dengan formula: Zakat Emas = (Nilai Emas – ‘Uruf) × 2.5%.
Kiraan ini memastikan pemilik emas memenuhi kewajiban syariat berdasarkan nilai dan kegunaan emas yang dimiliki.
Kaedah pengeluaran zakat perak
Ijmak ulama menetapkan bahawa nisab zakat perak ialah lima auqiyah (bersamaan 200 dirham atau 595 gram). Hal ini bermakna zakat hanya diwajibkan jika berat perak yang dimiliki melebihi atau mencapai nisab ini. Formula Kiraan Zakat Perak ialah; Zakat Perak = Nilai Perak × Berat Perak × 2.5%.
Pengiraan zakat perak ini memastikan pemilik perak memenuhi kewajiban syarak apabila hartanya melebihi nisab yang ditetapkan.
4. Zakat pertanian
Zakat pertanian ialah zakat yang dikenakan ke atas hasil tanaman yang menjadi makanan asasi bagi penduduk sesebuah negeri. Di Malaysia, makanan asasi utama ialah beras. Untuk tanaman yang menggunakan sumber berbayar, seperti sistem pengairan menggunakan pam air atau saliran yang memerlukan kos, kadar zakatnya ialah 5%.
Manakala, bagi tanaman yang dijaga dengan gabungan sumber percuma dan berbayar, kadar zakat yang dikenakan ialah 7.5% daripada jumlah hasil tuaian. Penetapan kadar ini memastikan keadilan dalam pelaksanaan zakat berdasarkan usaha dan kos yang dikeluarkan oleh petani.
5. Zakat binatang ternakan
Zakat binatang ternakan ialah zakat yang diwajibkan ke atas binatang yang dipelihara seperti lembu, kerbau, kambing, biri-biri, kibas dan unta apabila memenuhi syarat-syarat tertentu. Binatang ini menjadi salah satu kategori harta yang dikenakan zakat kerana nilainya yang tinggi dan manfaatnya kepada pemilik dan masyarakat.
Zakat binatang ternakan hanya diwajibkan apabila memenuhi beberapa syarat. Pertama, binatang ternakan mestilah saaimah, iaitu dipelihara secara bebas di padang ragut atau kawasan ternakan tanpa kos makanan yang tinggi; binatang yang diberi makan secara intensif seperti dengan makanan yang dibeli tidak dianggap saaimah dan tidak wajib zakat.
Kedua, binatang tersebut tidak digunakan untuk kerja, seperti mengangkut barang atau membajak sawah, kerana binatang yang digunakan untuk tujuan kerja tidak dikenakan zakat.
Ketiga, binatang ternakan mesti mencapai nisab, iaitu bilangan minimum yang ditetapkan syarak, dan nisab ini perlu kekal sepanjang haul. Akhir sekali, binatang tersebut mesti dipelihara selama setahun penuh mengikut kalendar Hijrah.
Zakat lembu atau kerbau dikenakan apabila bilangan ternakan mencapai nisab tertentu, dengan kadar zakat yang berbeza mengikut bilangan haiwan. Bagi setiap 30 ekor lembu, wajib dikeluarkan zakat berupa seekor anak lembu jantan berumur satu tahun, manakala bagi setiap 40 ekor lembu, zakatnya ialah seekor anak lembu betina berumur dua tahun.
Jika ternakan terdiri daripada campuran lembu dan kerbau, pembayar zakat boleh memilih untuk mengeluarkan zakat daripada jenis ternakan yang sederhana atau menggantikannya dengan nilai harga ternakan tersebut. Kaedah ini memberikan fleksibiliti kepada pembayar zakat untuk memenuhi kewajiban mereka dengan adil dan mudah.
Zakat kambing atau biri-biri dikenakan apabila bilangan ternakan mencapai nisab, dengan kadar zakat bertambah mengikut jumlah ternakan. Setiap pertambahan 100 ekor kambing, zakatnya ialah satu ekor kambing berumur dua tahun, dan seterusnya.
Jika semua kambing yang mencapai nisab adalah jantan, zakat boleh dikeluarkan dalam bentuk kambing jantan. Namun, jika terdapat kambing betina, sebahagian zakat mesti terdiri daripada kambing betina.
Sekiranya ternakan terdiri daripada campuran kambing dan biri-biri, zakat boleh dikeluarkan berdasarkan pilihan pemilik, sama ada kambing atau biri-biri, atau diganti dengan nilai harga ternakan tersebut. Kaedah ini memberikan pilihan kepada pemilik ternakan untuk melaksanakan zakat dengan cara yang sesuai dan adil.
6. Zakat caruman berkanun
Wang KWSP, LTAT, dan KWSG merujuk kepada wang caruman milik individu yang dikumpul sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Syarat wajib zakat bagi wang ini sama seperti zakat pendapatan atau wang simpanan, dengan syarat utama ialah ‘sempurna milik’.
Syarat ini hanya dipenuhi apabila wang caruman tersebut dikeluarkan. Oleh itu, zakat hanya diwajibkan setelah wang berkenaan dikeluarkan oleh pemiliknya.
Terdapat dua kaedah pengiraan zakat bagi harta jenis caruman berkanun iaitu:
- Zakat caruman berkanun wajib dikeluarkan pada hari wang caruman diterima oleh pemiliknya, dengan kadar zakat yang dikenakan adalah sebanyak 2.5% daripada jumlah wang yang diterima.
- Zakat caruman berkanun wajib dikeluarkan setelah cukup haulnya, iaitu genap setahun selepas wang tersebut diterima, sebagaimana yang ditetapkan berdasarkan pandangan Mazhab Syafie. Ketetapan ini juga disahkan oleh Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kelima yang bersidang pada 16-17 November 1982.
7. Zakat perniagaan
Terdapat beberapa jenis bentuk perniagaan yang berbeza bergantung kepada struktur pemilikan dan operasi.
Perniagaan persendirian dimiliki oleh seorang individu yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas modal perniagaan, sama ada daripada wang simpanan sendiri, pinjaman, sewa beli, pajakan atau kredit perdagangan, dengan kuasa penuh terhadap perniagaan.
Perniagaan perkongsian pula melibatkan dua atau lebih individu yang bergabung untuk menjalankan perniagaan dengan tujuan memperoleh keuntungan, dengan modal disumbangkan oleh rakan kongsi dan keuntungan diagihkan mengikut peratusan sumbangan modal masing-masing.
Perniagaan syarikat adalah entiti berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965, yang merupakan entiti berasingan daripada pemiliknya, sama ada dalam bentuk Syarikat Sendirian Berhad atau Syarikat Awam Berhad. Koperasi, sebaliknya, adalah organisasi perniagaan yang dibentuk oleh sekumpulan individu secara sukarela berdasarkan hak dan kepentingan bersama, dengan modal diperoleh daripada yuran dan unit saham yang dimiliki oleh anggota koperasi.
Pensyariatan zakat bagi harta perniagaan adalah bersandarkan kepada hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud:
“Rasulullah SAW menyuruh kami mengeluarkan zakat daripada harta yang kami sediakan untuk dijual.”
Zakat perniagaan boleh dikira menggunakan dua kaedah utama, iaitu Kaedah Modal Kerja dan Kaedah Modal Berkembang. Kaedah Modal Kerja menggunakan formula: [(Aset Semasa – Tanggungan Semasa) +/- Pelarasan] × Peratus Pemilikan Saham Muslim × 2.5%, yang mengambil kira harta semasa dan liabiliti semasa perniagaan.
Kaedah Modal Berkembang pula menggunakan formula: [(Ekuiti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang – Aset Tetap – Aset Bukan Semasa) +/- Pelarasan] × Peratus Pemilikan Saham Muslim × 2.5%, yang menilai pertumbuhan modal berdasarkan ekuiti pemilik dan liabiliti jangka panjang, dengan mengambil kira pelarasan.
Kedua-dua kaedah ini memberikan fleksibiliti kepada perniagaan untuk memilih cara yang paling sesuai bagi memastikan zakat dikira dan dikeluarkan dengan adil.
Justeru, zakat adalah satu kewajipan syariat yang bukan sahaja menyucikan harta tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial. Sebagai umat Islam, pengurusan zakat harta perlu dilakukan dengan teliti, khususnya menjelang akhir tahun, bagi memastikan segala tanggungjawab yang berkaitan telah disempurnakan.
Pelbagai jenis zakat, termasuk zakat pendapatan, simpanan, emas dan perak, pertanian, binatang ternakan, caruman berkanun dan perniagaan, memerlukan pemahaman mendalam tentang syarat-syarat serta kaedah pengiraannya.
Kepentingan zakat tidak hanya terhad kepada pembayar yang mendapat keberkatan dan penyucian harta, tetapi juga kepada penerima zakat, yang dibantu untuk keluar daripada kesempitan hidup.
Institusi zakat pula memainkan peranan penting dalam mengoptimumkan kutipan zakat melalui pelbagai kempen dan kemudahan, sejajar dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr ayat 7 yang menegaskan pentingnya pengedaran harta kepada masyarakat.
Sebagai satu sistem ekonomi Islam yang kukuh, zakat bukan sahaja mengimbangi jurang sosial tetapi juga mengangkat maruah umat. Dengan adanya mekanisme jelas seperti nisab, haul dan kadar zakat, umat Islam dapat memastikan pelaksanaan zakat dilakukan secara adil dan telus.
Pada masa sama, fleksibiliti kaedah pembayaran seperti penggunaan nilai harga dan kaedah pengiraan moden turut mempermudah pembayar untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
Dr. Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan & Koordinator Master in Islamic Banking and Finance (MIBF)
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM, Shah Alam