“Bangsa idaman sebagai usaha penyatupaduan berterusan pada peringkat semua lapisan masyarakat untuk menyelesaikan defisit sosial berwahana tapak integrasi berpaksikan tawar-menawar, perundingan dan mediasi.”
Kecoh di media sosial tentang berserakan hiasan perayaan Halloween di pasar raya besar di Malaysia, sedangkan Malaysia adalah negara masyarakat majmuk yang punya lebih banyak perayaan yang sangat memaknai latar sosiobudaya masyarakatnya. Perayaan Halloween ini bukanlah daripada latar budaya Malaysiana kita!
Nama perayaan ini adalah “All Souls’ Day” dan “All Saints’ Day” dan disambut pada tanggal 2 November. Mereka memanggil dengan nama ‘All-Hallows Eve’. Orang Barat Kristian lain mula menyambut All-Hallows Eve, kemudian nama bertukar kepada Halloween.
Justeru, bagi masyarakat Muslim khasnya, menyambut perayaan ini adalah dilarang!
“Katakanlah; Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu juga tidak akan menyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan menyembah sebagaimana caramu menyembah. Kamu juga tidak menyembah sebagaimana caraku menyembah. Bagi kamu agamamu sendiri dan bagiku agamaku sendiri.” (Al-Kafirun ayat 1-6).
Bagi masyarakat majmuk Malaysia amnya, terdapat pelbagai jenis perayaan yang disambut dalam kehidupan harian masyarakat, ada antaranya yang disambut sebagai perayaan keagamaan atau etnik seperti sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Wesak, Pesta Menuai, Hari Gawai dan lain-lain.
Terdapat juga perayaan yang bersifat memupuk semangat kenegaraan seperti sambutan Hari Kemerdekaan dan pelbagai lagi jenis perayaan lainnya. Salah satu daripada jenis perayaan yang biasanya disambut dalam sesebuah kelompok masyarakat adalah perayaan rakyat atau perayaan masyarakat.
Perayaan rakyat
Perayaan rakyat telah bertahan merentasi masa baik dan buruk dalam komuniti. Ia bertahan pada masa yang baik untuk meraikan tuah kejayaan serta mengharungi masa yang sukar untuk menguatkan semangat dalam menanti masa depan yang lebih baik.
Oleh itu, maka tidak hairanlah jika terdapat lagu, tarian, makanan, pakaian, pepatah positif dan acara kemasyarakatan yang diwujudkan bagi membolehkan sesebuah perayaan rakyat tersebut lebih diterima dalam kalangan masyarakat.
Pada masa kini, perayaan rakyat sudah menjadi sebuah bentuk sambutan perayaan yang menjadi acara tahunan dalam sesebuah komuniti untuk memastikan faedahnya terus dapat dinikmati oleh generasi baharu.
Malaysia baru sahaja merayakan Deepavali pada Oktober yang lalu. Bunyi mercun jam 3 pagi di Malaysia pada perayaan tersebut dan perayaan-perayaan lain menandakan sifat toleransi tinggi masyarakat majmuknya dalam memahami erti persaudaraan dan setiakawan sebuah bangsa Malaysia. Pernyataan ini bukanlah retorik semata-mata tetapi situasi dan suasana nyata Malaysiana.
DeepaRaya, Kongsi Raya dan Terbuka Raya adalah konsep biasa di Malaysia yang menyaksikan masyarakat meraikan perayaan rentas etnik di Malaysia.
Sinonim dengan sajian enak dan rumah terbuka, Malaysia seolah-olah menjadi syurga perayaan sebagaimana yang terpapar dalam slogan “Malaysia Truly Asia”, walaupun setiap perayaan adalah unik dan tersendiri, atau dari perspektif antagonis, memang banyak perbezaan daripada perayaan-perayaan ini.
Namun, rakyat Malaysia memilih perspektif protagonis dengan menjadikan detik perbezaan ini sebagai detik perpaduan iaitu detik yang menyatupadukan! Selain perayaan, rakyat Malaysia dilihat sangat menghargai detik-detik perpaduan mereka melalui acara sukan, majlis perkahwinan, kesihatan dan juga makanan! Indah nian bukan?
Etos nasional
Mencapai perpaduan daripada kesatuan telah menjadi etos nasional di Malaysia. Etos nasional adalah “ciri-ciri unik masyarakat setempat yang mengikat seseorang individu dengan individu yang lain, dan yang mengikat rakyat dengan negara” melalui perkongsian nilai, perasaan dan semangat, kepercayaan dan identiti bersama (Mohd Mahadee Ismail, 2015).
Membina negara daripada pelbagai latar belakang sejarah, etnik, bahasa, agama, budaya dan geografi yang berbeza adalah sesuatu yang lebih daripada sekadar memupuk konsensus mengenai watak asas sesebuah negara dan warga. Ia melibatkan pemupukan:
(1) pengalaman sejarah yang dikongsi,
(2) nilai yang dikongsi,
(3) perasaan identiti bersama,
(4) nasib bersama yang merentasi sempadan etnik tanpa menjejaskan identiti etnik,
(5) kesetiaan,
(6) komitmen, dan
(7) keterikatan emosi kepada negara dan pembungaan etos kebangsaan yang jelas.
Perayaan merupakan sebuah identiti yang amat penting dalam konteks budaya dan kehidupan sosial masyarakat. Melalui sambutan perayaan, usaha untuk memelihara tinggalan nenek moyang mahupun pewujudan tapak integrasi dalam masyarakat dapat dilakukan.
Perayaan ialah suatu peristiwa atau fenomena sosial yang ditemui dalam hampir semua budaya manusia (Falassi,1987; Chali & Awang Azman, 2021).
Menurut McFee dan Baker (2006), di kebanyakan tempat, perayaan memfokuskan beberapa aspek seperti keunikan tempat dan identiti komuniti; meraikan sejarah serantau dan meningkatkan ekonomi serta bertujuan meningkatkan kesedaran etnik atau alam sekitar; menyebarkan penghargaan terhadap cerita rakyat serantau, seni rakyat, muzik dan makanan.
Gugusan peristiwa
Secara etimologi, istilah perayaan berasal dari bahasa Latin iaitu festum. Tetapi pada asalnya perkataan ini Latin mempunyai dua istilah iaitu festum dan feria. Festum merujuk kepada kegembiraan umum, keriangan dan pesta pora.
Manakala perkataan feria pula bermaksud rehat daripada bekerja untuk menghormati perkataan yang hampir sama turut digunakan dalam bahasa lain misalnya dalam bahasa Perancis yang menggunakan perkataan fête untuk sambutan hari jadi (Dictionnaire de l’Acaddmie Frangaise, 1932).
Dalam bahasa Inggeris kontemporari, perayaan bermaksud (a) masa perayaan yang suci atau tidak suci, yang ditandai dengan perayaan khas; (b) perayaan tahunan seseorang atau acara yang terkenal, atau penuaian produk penting; (c) acara kebudayaan yang terdiri daripada siri persembahan karya dalam seni halus, selalunya ditumpukan kepada artis atau genre tunggal; (d) pameran; (e) keriangan generik, kemesraan, keceriaan (Kurath & Kuhn, 1952).
Makna perayaan dalam sains sosial merangkumi gugusan peristiwa yang sangat berbeza, suci dan profan, peribadi dan awam, menyetujui tradisi dan memperkenalkan inovasi, mencadangkan kebangkitan nostalgia, menyediakan cara ekspresif untuk kelangsungan adat resam turun-temurun dan meraikan seni halus elit yang sangat spekulatif dan eksperimental (Falassi, 1987; Sharifah Darmia, 2020; Chali & Awang Azman, 2021).
Ahli sarjana sains sosial seperti Falassi (1987) mengatakan bahawa takrifan perayaan biasanya bermaksud “acara sosial yang berulang secara berkala di mana, melalui kepelbagaian bentuk dan satu siri acara yang diselaraskan, mengambil bahagian secara langsung atau tidak langsung dan kepelbagai peringkat, semua ahli seluruh komuniti, disatukan oleh etnik, linguistik, agama, sejarah, ikatan dan berkongsi pandangan dunia.” (Falassi, 1987).
Fungsi sosial dan makna simbolik perayaan berkait rapat dengan satu siri nilai terang-terangan yang diakui masyarakat sebagai penting kepada ideologi dan pandangan dunianya, kepada identiti sosialnya, kesinambungan sejarahnya dan kepada kelangsungan hidup fizikalnya, yang pada akhirnya menyebabkan sesebuah perayaan tersebut diraihkan (Seligman & Johnson, 1937; Smith, 1972; Turner, 1978).
Elemen penting
Perayaan merupakan satu entiti dan elemen budaya yang amat penting dalam konteks mencapai keharmonian hubungan etnik masyarakat majmuk di Malaysia.
Bagi menilai sejauh mana perayaan rakyat ini boleh memberi impak terhadap hubungan harmoni, dimensi motivasi perlulah diambil kira. Hal ini begitu kerana peranan perayaan rakyat dalam hasrat mencapai hubungan harmoni antara kumpulan etnik yang pelbagai adalah amat signifikan demi hasrat mencapai perpaduan nasional.
Perayaan rakyat bukan sahaja memberi faedah kepada peningkatan pendapatan dan ekonomi kepada ahli masyarakat dan negara seperti dalam sektor pelancongan dan pertanian tetapi yang lebih utama dalam konteks kajian ini adalah sumbangannya terhadap pengukuhan hubungan harmoni dan persefahaman dalam masyarakat.
Justeru, adalah amat wajar jika pemahaman berkenaan konsep perayaan rakyat ini dapat diterokai dengan kajian yang lebih sistematik dan saintifik.
Hal ini adalah kerana faedah atau manfaatnya terhadap memahami hubungan harmoni masyarakat dan perpaduan kaum dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Justeru, perayaan rakyat bukan sekadar menjadi tatapan pelancong semata-mata tetapi ia juga boleh menjurus dan menyokong kepada kemakmuran ekonomi dan merupakan platform penting kepada hubungan harmoni dan kesejahteraan masyarakat Malaysia.
Lestarinya detik perpaduan daripada perbezaan ini boleh dikekalkan dengan aktiviti dan situasi perundingan, persefahaman, urusan harian, bertolak ansur dan juga perbincangan.
Kita sebenarnya punya pilihan untuk mengurangkan dan membuang terus aktiviti dan situasi etnosentrisme, rasisme, prejudis, stereotaip dan diskriminasi daripada menunjangi detik-detik perbezaan kita.
Keharmonian
Indeks Keharmonian sosioagama di Malaysia menyarankan betapa perlunya usaha-usaha bersepadu antara kerajaan dan masyarakat secara keseluruhan dalam memperbaiki keadaan harmoni masyarakat pelbagai agama di Malaysia.
Sikap prejudis dan kurang persefahaman antara kelompok berbeza dalam masyarakat akan menyukarkan proses perpaduan dan integrasi nasional.
Empat syor mudah – mampu praktis kepada seluruh warga bagi transformasi detik perbezaan menjadi detik perpaduan.
- Penyuburan elemen-elemen perpaduan seperti pembinaan persefahaman dan sikap saling menghormati antara masyarakat pelbagai agama.
- Literasi pentingnya perpaduan dan keharmonian serta nilai-nilai baik dalam agama masing-masing yang dapat membantu ke arah merealisasikan perpaduan.
- Mengamalkan aspek kesederhanaan dalam pemikiran dan tindakan dalam kalangan penganut agama diberi penekanan agar masyarakat memahami pentingnya perkara ini kepada pembinaan keharmonian dan perpaduan dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia.
- Pengaplikasian syor secara berterusan agar ia menjadi satu rujukan kepada keadaan harmoni sosioagama di Malaysia.
Surah al-Hujurat adalah surah ke-49 daripada 114 surah dalam al-Quran. Surah al-Hujurat memiliki 18 ayat, merupakan surah Madaniyah yang mengandungi manhaj pembentukan dan penyusunan umat beradab.
Ayat-ayat Allah ini mengajar tentang tatacara kehidupan yang sepatutnya ada dalam masyarakat, mengajar kita bagaimana untuk menghormati orang lain.
- Selidiki suatu khabar berita.
- Damaikan saudara yang bersengketa.
- Berlaku adil dalam segala perkara.
- Jangan mencemuh dan merendah-rendahkan orang lain.
- Jangan mengaibkan sesama.
- Jangan memanggil (melabel) seseorang dengan gelaran yang buruk.
- Jauhi dari bersangka buruk.
- Jangan mengintip-intip dan mencari-cari kesalahan orang lain.
- Jangan mengumpat.
- Hendaklah berkenal-kenalan, beramah mesra antara satu dengan yang lain .
- Ketinggian nilai takwa.
- Hakikat keimanan.
Dr. Rosfazila Abd Rahman
Pensyarah kanan / Penyelidik/ Ketua Pasca Siswazah
Jabatan Pengajian Ketamadunan & Pembangunan Insan, Fakulti Sains Sosial (FSS)
Universiti Islam Selangor (UIS)