Bersama Tangani Ajaran Sesat dan Penyelewengan Akidah

Islam telah terancam oleh penganut yang mengaku sebagai Islam apabila seruan dan ajarannya diselewengkan daripada ajaran sebenar yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Ajaran-ajaran sesat ini bertentangan dengan seruan Islam untuk tidak mensyirikkan Allah, tidak mengamalkan bidaah, tidak mempersendakan hukum-hakam agama dan tidak mengikut hawa nafsu dalam beragama. Syaitan akan terus berusaha untuk membelokkan manusia dari jalan lurus ini dengan segala cara.

Allah SWT telah memberikan peringatan secara jelas untuk hamba-Nya berpegang teguh kepada ajaran lslam sepertimana seruan-Nya dalam Surah Al-An’am ayat 153 yang bermaksud:

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya.”

Berjalan mengarah ke jalan yang lurus itulah yang diperintahkan Allah kepada hamba-Nya kerana inilah jalan yang akan memberikan jaminan kebahagiaan dan ketenteraman hidup di dunia dan di akhirat.

Demikianlah Allah memerintahkan hamba-Nya agar bertakwa dengan selalu menjaga diri agar jangan sampai celaka iaitu dengan melaksanakan ajaran islam dengan baik dan benar, sama ada kewajiban atau larangan. Inilah bentuk kasih sayang Allah kepada manusia agar mereka bahagia.

Namun, akibat lemahnya pegangan agama, manusia menzalimi diri sendiri. Ayat-ayat suci al-Quran dan hadis yang disalahtafsirkan tidak dapat ditepis, amalan bidaah yang jelas bertentangan dengan syariat dijadikan ikutan dan agama disalahgunakan demi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.

Lebih parah, fahaman ekstrem dan ajaran-ajaran sesat disebarkan dengan mencampur aduk ajaran Islam dengan kepercayaan dan amalan yang tidak berdasarkan Islam. Penyelewengan agama ini boleh merebak seperti api dalam sekam, menyusup halus ke dalam jiwa apabila tiada benteng kukuh untuk menapis antara yang hak dan batil.

Oleh sebab itu, kejahilan dalam memahami ilmu agama dan ketiadaan penghayatan mendalam terhadap ajaran Islam menjadi antara faktor ramai yang mudah terjerumus dan terperosok jauh sesat ke dalam.

Perbaiki nilai kehidupan

Ada banyak gerakan ajaran menyeleweng yang diwartakan sebagai sesat oleh sebahagian negeri di Malaysia iaitu Al-Arqam, Millah Abraham, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir, Kerajaan Langit dan banyak lagi. Pengikutnya pula ramai sehingga ada kumpulan yang mempunyai beribu-ribu ahli.

Suburnya kumpulan ajaran sesat di negara ini menjadi isyarat bahawa masyarakat perlu memperbaiki nilai-nilai yang mendasari kehidupan seharian. Akar permasalahan ini tidak boleh hanya dilihat dari luaran semata-mata, tetapi perlu diselami hingga ke dasar jiwa setiap individu.

Nilai-nilai yang lahir daripada pemahaman yang benar tentang Islam perlu disemai, bermula daripada keluarga, sekolah hingga ke peringkat masyarakat secara menyeluruh. Harus ada usaha kolektif dan berterusan untuk membina sebuah ekosistem yang menyokong perkembangan rohani yang holistik.

Pendidikan agama yang berteraskan al-Quran dan hadis perlu diperkuat dengan mensinergikannya bersama penghayatan terhadap nilai-nilai Islam dalam setiap aspek kehidupan.

Hanya dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, kita mampu mengembalikan kebenaran yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan diwarisi oleh para ulama yang ikhlas.

Oleh sebab itu, masyarakat harus dididik untuk merujuk institusi keagamaan seperti mufti, asatizah yang berwibawa dan para ulama yang mempunyai ilmu serta kefahaman yang mendalam dan benar tentang ajaran Islam.

Pada masa yang sama, institusi agama perlu bersifat inklusif dan responsif terhadap permasalahan masyarakat agar dapat menjadi rujukan utama, sebagaimana yang telah dipraktikkan oleh beberapa institusi keagamaan. Pendekatan ini dapat mencegah masyarakat yang memerlukan pencerahan segera daripada merujuk kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Institusi keagamaan memainkan peranan penting dalam memastikan ajaran Islam yang disampaikan kepada masyarakat selari dengan al-Quran dan hadis. Mereka menjadi benteng pertahanan akidah umat terutama dalam menghadapi cabaran-cabaran moden yang sering kali didepani persoalan hukum-hakam agama dan membuka ruang kepada penyelewengan.

Melalui bimbingan pihak yang berautoriti dalam bidang agama, kefahaman yang sahih mengenai syariat dapat diperkukuh dan umat Islam dapat dielakkan daripada terpengaruh dengan ajaran yang menyimpang.

Inisiatif program rehabilitasi yang dibuat oleh kerajaan harus disokong bagi membantu pengikut ajaran yang terseleweng untuk membina hidup baru.

Inisiatif ini sepertimana yang disarankan oleh Ketua Unit Akidah dan Perkhidmatan, Institusi Kajian Hadis dan Akidah, Universiti Islam Selangor, Dr. Mohamed Fairooz Mohamed Fathillah:

“Betulkan persepsi, program rehabilitasi bukan untuk memenjarakan tapi bimbingan untuk hidup sejahtera dalam masyarakat.”

Di samping itu, usaha untuk memperkasakan pendidikan agama di semua peringkat harus dipergiat. Kurikulum yang jelas berasaskan kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) perlu diperkuat di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan tinggi. Hal ini bagi memastikan generasi muda diasuh dengan pemahaman dan penghayatan yang betul mengenai Islam.

Selain itu, masyarakat perlu diajar untuk lebih berwaspada terhadap ajaran yang disebarkan secara tidak rasmi atau tanpa autoriti yang jelas. Keghairahan untuk mengikuti trend agama atau individu tertentu tanpa penelitian boleh membuka pintu kerosakan akidah dan kekeliruan.

NGO membangunkan masyarakat

Gerakan Islam berperanan menawarkan penyelesaian yang bersifat multidimensi terhadap permasalahan masyarakat dan negara. Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam yang berasaskan dakwah dan tarbiah seperti IKRAM, ABIM, WADAH dan HALUAN ditubuhkan untuk membangunkan masyarakat yang sejahtera dari aspek pegangan agama, nilai moral dan kehidupan sosial.

Atas kesedaran untuk membangunkan peradaban ummah berteraskan nilai Islam wasatiy yang bercirikan prinsip keadilan, kemajuan dan kemanusiaan sejagat, keempat-empat NGO Islam ini bergabung tenaga di bawah Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM).

IKRAM dan pertubuhan-pertubuhan Islam lain bukan sekadar berperanan sebagai penggerak dakwah, tetapi juga berhasrat menjadi nadi penggerak semangat keagamaan dalam masyarakat Islam. Organisasi ini dilengkapi dengan sumber, kepakaran dan jaringan yang luas serta aktif bergerak di pelbagai lapisan masyarakat melalui kerjasama dengan banyak organisasi, persatuan dan juga agensi kerajaan.

Melalui aktiviti dakwah dan tarbiah yang dilaksanakan kepada ahli dan masyarakat setempat, NGO Islam berusaha membentuk komuniti Muslim yang sejahtera dengan menyediakan ruang bagi individu mempertingkatkan kualiti diri dan mendalami ilmu agama berlandaskan ketakwaan kepada Allah SWT.

Usaha ini turut membimbing masyarakat mengamalkan cara hidup Muslim yang berpandukan prinsip-prinsip Islam. Selari dengan usaha tersebut, IKRAM menggalakkan ahli-ahlinya yang terdiri daripada golongan ustaz dan ustazah untuk mengajar agama di masjid dan surau.

Dalam suasana yang semakin mencabar dengan ancaman akidah dan penularan budaya materialisme, keberadaan dalam kelompok masyarakat yang baik menjadi keperluan bagi memelihara diri daripada anasir negatif.

Justeru, NGO Islam mengambil peranan strategik dalam menyediakan ruang persekitaran yang kondusif bagi pembangunan spiritual dan sosial masyarakat, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW:

“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut) atau kamu membeli daripadanya atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula akan membakar bajumu dan juga kamu mendapat bau yang busuk.” (Riwayat al-Bukhari, 5534)

Pertubuhan-pertubuhan Islam mahu membentuk komuniti yang mengukuhkan nilai-nilai murni, saling menjaga dan memperingati dalam kebaikan dan mencegah kemungkaran yang berlaku.

Pelbagai aktiviti kemasyarakatan dianjurkan seperti Rumah Ngaji ALA di Bachok untuk memberi peluang pada penduduk sekitar belajar al-Quran, projek Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak (IMPAK) iaitu sebuah projek pembangunan akademik bagi anak-anak B40 dan juga Sambutan Bulan Kebangsaan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia dan bermacam-macam program lain.

Jaringan sokongan antara ahli memperkukuh semangat dalam mengamalkan cara hidup Islam. Program kemasyarakatan yang dianjurkan bukan sekadar merapatkan ukhuwah, malah membentuk sistem sokongan sosial yang penting dalam memelihara identiti Muslim.

Sistem mentor-menti yang dilaksanakan memastikan setiap ahli mendapat bimbingan berterusan dalam perjalanan spiritual mereka. Di samping itu, institusi keluarga diberi perhatian khusus melalui program-program kekeluargaan yang membantu ibu bapa mendidik anak-anak dengan nilai-nilai Islam.

Usaha dan pendekatan menyeluruh

Perlu diingatkan, usaha membendung penyelewengan agama dan ajaran sesat memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan berterusan. Sinergi kerja antara agensi agama kerajaan pusat bersama  institusi agama negeri meningkatkan kecekapan membanteras penyelewengan agama dan ajaran sesat.

Namun, ia bukan sekadar tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa agama semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama erat antara institusi keagamaan lain, sistem pendidikan, pertubuhan Islam dan setiap lapisan masyarakat untuk mampu membina sebuah komuniti yang harmoni berpaksikan ajaran Islam yang murni serta dilindungi daripada ancaman penyelewengan akidah dan moral.

Untuk melihat perubahan, setiap orang harus mempunyai komitmen melakukan perubahan. Seperti kata pepatah orang Afrika, “sekampung diperlukan untuk membesarkan seorang anak”.

Hanya dengan kembali kepada kebenaran dan menghidupkan syariat Islam dalam setiap aspek kehidupan, umat Islam akan mencapai kesejahteraan rohani dan jasmani, serta mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia